Selasa, 13 April 2021

Ramadan 1442H/2021 (1) - Nota Ringkas Ramadan


BismillahirRahmanirRahim





Tetamu Allah SWT yang cuma muncul setahun sekali kini menyapa lagi. Usia semakin bertambah setiap kali hadirnya Ramadan. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang menikmati bulan ibadah ini. Semoga Ramadan kali ini dapat diisi dengan menambahkan amalan dan kebaikan melebihi Ramadan yang lepas. Kerana kita tidak pasti akan bertemu lagi dengannya pada tahun hadapan. Namun didoakan dengan penuh harapan agar peluang tersebut masih ada dengan dikurniakan kesihatan yang baik. Aamiin.

Ingin aku kongsikan nota ringkas mengenai puasa agar puasa kita menjadi lebih bermakna dan diterima sebagai ibadah. Ada juga panduan berkaitan dengan Solat Tarawih, maklumlah kita masih lagi di bawah PKP. Walaupun kebenaran diberi untuk solat tarawih di masjid atau surau namun peluang agak terhad terutama bagi kaum wanita.

Semoga perkongsian ini dapat membantu kita semua dalam melaksanakan solat sunat yang hanya ada di dalam bulan Ramadan. Nota ini adalah milik Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Selamat menunaikan ibadah puasa Ramadan buat semua pengunjung blog ini. Didoakan agar semuanya sihat dan diberi kekuatan untuk meraih sebanyak peluang yang datang.

Mohon maaf zahir batin andai ada yang tersilap dalam penulisan selama ini.











 

Sabtu, 3 April 2021

Rasa Dapur KakJee (378) - Sup Oat Cendawan

BismillahirRahmanirRahim





Gambar resipi kali ini agak istimewa kerana props yang KakJee gunakan adalah kenangan yang dibeli ketika melawat Jepun pada tahun 1992. Sudah lama ianya berada di dalam almari kecuali cerek yang digunakan setiap hari.

Sewaktu belajar kursus fotografi, KakJee tak sempat membeli props jadi apa yang ada sahaja KakJee gunakan.

KakJee kongsikan resipi Sup Oat Cendawan yang menjadi pilihan hidangan makan malam jika tidak mahu makan nasi. Diet lah kononnya. Mudah disediakan dan enak rasanya.

Resipi Sup Oat Cendawan
Bahan2:
1 senduk kecil oat (Whole Rolled Oats) jenama Quaker
1 cawan susu segar
3-4 cendawan segar dipotong kecil
sedikit lada hitam
Sedikit garam
Sedikit serbuk parsley
1 sudu besar tepung gandum
Air.

Cara Membuatnya:
1.Masak oat bersama air sehingga agak lembut.
2.Masukkan susu, cendawan, garam, serbuk parsley dan lada hitam. Masak sehingga cendawan lembut.
3.Bancuh tepung gandum dengan air. Masukkan ke dalam sup sambil dikacau sehingga sup menjadi pekat.

Selamat Mencuba

Visit My Malaysia - Musim Bunga Tekoma

BismillahirRahmanirRahim






Penghujung bulan Mac 2021 seluruh negara meriah dengan kemunculan bunga Tekoma yang indah. Digelar bunga Sakura Malaysia, saban hari ada sahaja yang berkongsi gambar-gambarnya di laman sosial. Tekoma berbunga lebat di Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Penang.

Alhamdulillah aku bernasib baik dapat melihatnya  dan merakamkan momen indah di hadapan deretan pokok-pokok Tekoma. Suamiku agak sporting melayan karenah aku dan Saffura yang mahu mengambil gambar pokok-pokok Tekoma. 

3 lokasi menjadi pilihan kami untuk mendekati pohon Tekoma yang berwarna pink, putih dan kuning.

Gambar Lokasi 1 :
Lokasi ini betul-betul di tepi jalan, sesekali pemandu lori membunyikan hon kepada kami. Hairan kot melihat telatah kami.












Gambar Lokasi 2 :
Terletak agak jauh dari jalan raya, senang sikit kami bergambar di sini.










Gambar Lokasi 3
Kali ini pokok Tekoma berwarna kuning namun pokoknya lebih kecil saiznya. Bentuk bunga sama seperti yang berwarna putih dan pink. Kami temui pokok ini secara kebetulan, jauh dari laluan awam.





Masya-Allah tabarakallah yang telah memberi peluang rakyat Malaysia menikmati musin bunga sewaktu musim COVIC-19. Setelah peluang untuk melihat momen ini di luar negara tertutup rapat. 

Sempat aku nukilkan puisi sonian sempena musim Tekoma.


BUNGA TEKOMA
Tekoma pun mekar
menghias alam
jentik kalbu
pesona.

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...