Selasa, 30 Jun 2015

Travelog : Oh! Riyadh -Seronoknya Ramadhan di Mekah dan Madinah


Seronoknya Ramadhan di Mekah dan Madinah

Januari 1996

Jatuh cinta dengan dua tanah suci, Mekah dan Madinah selepas menunaikan fardu haji pada tahun 1994 mendorong kami untuk ke sana lagi. Aku, suami dan rakan baik suamiku Tn Hj Zulkifli bersama rombongan dari Utas Travel Sdn Bhd berada di sana selama dua minggu sehingga hari raya pertama. Musim sejuk yang amat nyaman ditambah waktu siang yang pendek menjadikan suasana berpuasa ketika itu amat indah. Malam yang panjang membolehkan kami berada lebih lama di Dataran Kaabah, menunaikan sebanyak mungkin ibadah sunat. Waktu subuh pada sekitar 5.00 pagi begitu juga waktu berbuka sekitar 5.00 malam.
Tidak banyak yang boleh diingati kerana ketika itu jangan bermimpi untuk mengambil gambar sekitar Kaabah. Namun keseronokan berbuka puasa sekadar mengalas perut dengan kurma dan air zamzam masih terbayang di ruang ingatan. Kurma diedarkan dengan banyak sehingga ada jemaah umrah dari negara jiran membawa pulang ke negaranya setelah dikumpulkan. Dalam perjalanan ke Masjidil Haram, ramai yang akan menghulurkan pelbagai makanan yang dibungkus yang biasanya terdiri dari air kotak, roti dan yogurt. Sesekali mendapat bakhlava yang begitu manis dan sedap. Berebut tempat untuk menunaikan solat Tarawih di sepuluh malam terakhir Ramadhan menyebabkan aku kerap tersenyum sendirian apabila terkenangkannya. Mana kan tidak ruang untuk sujud terlalu terhad sehingga ada yang terkadang sujud di tubuh jemaah di depannya. Apalagi bising la jadinya. Masih basah di ingatan bagaimana kami menadah tangan hampir 10-15 minit lamanya sewaktu Imam Abdul Rahman Al-Sudais membaca doa qunut yang tersangat panjang sambil air mata bercucuran. Ketika itu kami bersolat ditepi jalan sekitar Masjidil Haram kerana orang terlalu ramai. Kami menunaikan solat sunat Hari Raya Aidil Fitri di Masjidil Haram dan sekali lagi menyambut hari raya di tanah air, syukur diberi peluang menyambut dua kali hari raya di tempat yang berbeza.

September 2009

Kerinduan untuk ke dua tanah suci begitu terasa setelah sekian lama tidak ke sana. Kesibukan semakin berkurang dan rezeki pun bertambah lalu kami menunaikan hasrat ke sana lagi. Musim panas melanda kedua tanah suci jadi cuacanya memang panas sehingga terasa begitu mencabar sekali. Suhu melebihi 40 C di awal pagi adalah perkara biasa dan kali ini kami tinggal di hotel berdekatan masjid yang dipanggil Masjid Kucing. Ketika itu sudah bermula proses pembesaran sekitar Masjidil Haram namun tidak seperti yang dilihat hari ini. Mekah Tower sedang dibina siang dan malam. Subuhnya sekitar pukul 4.00 pagi dan Maghrib pula sekitar pukul 7.00 malam. Cuaca yang amat panas terutama di waktu Zohor dan Asar sehingga Saffura yang baru berusia 7 tahun terpaksa ponteng  berpuasa. Solat Tarawih di Mekah dan Madinah adalah sebanyak 20 rakaat dan para Imam akan memulakan bacaan seterusnya bermula dari Surah Al Baqarah. Ianya berlangsung hampir 2 jam namun orang ramai tidak berganjak untuk terus solat.




Suasana di Dataran Kaabah 
sebelum wujud Mataf 
bertingkat seperti sekarang. 
Terasa luas dan lebih
mendamaikan.













Mekah Tower sedang 
dibina tetapi hotel
di kiri dan kanan 
sudah boleh diduduki.











Sekitar Masjidil Haram
berhadapan dengan
Safwah Tower dan
Hotel Hilton.











Laluan ke hotel.
Pintu masuk 
paling hampir
ialah melalui
Safa dan Marwah.
Dalam perjalanan
pergi dan balik
akan melalui
rumah tempat
Rasulullah s.a.w
dilahirkan yang
dijadikan 
perpustakaan.






Suasana hendak
berbuka puasa
di luar masjid.
Menunggu kurma
diagihkan.










Lepas solat
Maghrib balik
ke hotel untuk
makan yang 
lebih berat.










Suasana sekitar
di luar Masjidil
Haram 
berdekatan
kawasan sai.
Selesai solat
Tarawih.
Masih karpet
merah
digunakan.









Sukar untuk
dapat duduk
sebegini
di depan
Kaabah pada
masa kini.
Rindukan
suasana
sebegini.





Bersama ketua
rombongan umrah
di depan
Masjid Nabawi.
Payung masih
belum siap
sepenuhnya.












Hidangan berbuka
di Masjid Nabawi
lebih banyak
pilihan.












Menunggu
azan Maghrib
dilaungkan.










Julai 2014

Kami bertolak jam 7.00 pagi dan tiba di Hotel Crown Plaza pada pukul 4.00 petang. Pada asalnya kami hanya mahu meraikan sepuluh terakhir di Madinah sahaja kerana begitu sukar mendapatkan hotel yang agak dekat dengan Masjidil Haram. Kebanyakan hotel sudah ditempah dan harganya pula melebihi SR1000, ada yang mencecah SR2000-3000 untuk satu malam. Orang memang ramai dan kebanyakannya dari Turki, India, Mesir dan warga tempatan. Wanita Turki tidak kira usia memang pemurah dan aku kerap kali mendapat tabsih pelbagai warna dan saiz dari mereka. Solat Tarawih biasanya berakhir pada pukul 11.00 malam dan solat Tahajud pula bermula pada pukul 1.00 pagi dengan 10 rakaat yang panjang. Diakhiri dengan solat witir dan doa. Semuanya selesai pada sekitar 2.30 pagi. Selepas solat, makanan untuk sahur diberikan kepada para tetamu dan diadakan diluar Masjid Nabawi. Nasi Arab yang masih panas menjadi rebutan ramai.

Selepas solat Asar, aktiviti persiapan untuk berbuka bermula. Hamparan plastik dibentangkan dan pelbagai jenis makanan diletakkan. Satu jam sebelum masa berbuka kebanyakan tempat duduk sudah dipenuhi. Sebenarnya ramai yang lebih suka duduk di luar kerana lebih banyak pilihan makanan yang akan diperolehi. Termasuk nasi dan lauk pauk yang masih panas yang diedarkan di saat akhir. Di dalam masjid orang tidak begitu ramai. Kita tidak perlu membawa apa-apa bekalan sebab pasti kita akan mendapat set makanan. Kita akan diberi satu beg plastik berisi air jus/kosong, roti, kurma dan yogurt. Ianya diedarkan oleh petugas-petugas yang telah ditetapkan. sebaik sahaja kita duduk di tempat yang disediakan. Kebiasaannya makanan sentiasa berlebihan. Yang menarik di Madinah ialah diberikan sejenis rempah (jintan manis)yang sedap dimakan bersama yogurt atau roti. Kalau kita bernasib baik duduk bersama orang Arab tempatan, kita akan ditawarkan dengan kopi Arab dan pelbagai jenis manisan. Sewaktu keluar dari Masjid Nabawi selepas berbuka puasa, kita akan melihat ramai yang membawa beg-beg plastik yang mengandungi pelbagai makanan yang diperolehinya. Begitu ramai dermawan di Madinah.







Merasa duduk
di hotel dekat
dengan Masjid
Nabawi.

















Set asas untuk berbuka
puasa di Masjid Nabawi.
Kurma memang banyak.
Bekas putih tertutup
ada rempah yang sedap
dimakan dengan roti
atau yogurt.















Terjumpa Bazaar
Ramadhan tidak
jauh dari Masjid
Nabawi.


















Persiapan berbuka
sedang dilakukan.


















Suasana berbuka
di sekitar
Masjid Nabawi.





















Set berbuka
yang pelbagai.













Malam terakhir di Madinah, suamiku mencuba buat kali terakhir untuk melihat jika ada bilik hotel yang masih kosong di Mekah. Pahala mengerjakan umrah di bulan Ramadhan menyamai pahala mengerjakan haji. Pasti peluang yang ada mahu kami gunakan sepenuhnya. Alhamdulillan kami mendapat sebuah bilik di hotel biasa yang jauhnya dari Masjidil Haram sekitar 1 km. Keesokannya kami bertolak ke Mekah dan tiba di sana pada waktu petang. Sebaik sahaja tiba di checkpoint kami tidak dibenarkan meneruskan perjalanan dengan kereta. Ini untuk mengelakkan jemaah yang masuk ke Kota Mekah terus tinggal sehingga musim Haji yang akan datang. Kami menaiki teksi untuk ke hotel dan dalam perjalanan kelihatan Masjid Aisyah di Taneem.
Kami terus mengerjakan umrah dan sempat menunaikan solat Tarawih di bahagian Safa dan Marwah. Kami dalam keadaan keletihan yang amat sangat. Keesokannya pada waktu tengahari kami kembali ke Riyadh. Sehari selepas itu kami kembali ke tanah air untuk bercuti selama sebulan.








Tinggalkan kereta
di kawasan parkir
khas. Lebih kurang
20 km dari Kota
Mekah.

















Orang memang ramai.
Mataf tingkat bawah
sudah siap dan boleh
digunakan.














Berbuka dengan
kenalan baru
dari Tunisia.
di sekitar Masjidil
Haram.


















Meninjau di bangunan
baru Masjidil
Haram yang dibuka
sempena bulan
Ramadhan. Luas
dan cantik.













                                                                                                         zias/riyadh/15

Ahad, 28 Jun 2015

Travelog : Oh! Riyadh - Coklat dan DNA ...


                                                                      Coklat dan DNA ...

Jun 2014

Seluruh Malaysia gempar dengan keputusan ujian yang dijalankan ke atas coklat jenama Cadbury yang disahkan mengandungi gelatin dari DNA babi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bertambah panas lagi apabila Jakim pula kemudiannya menolak dakwaan tersebut apabila ujian yang dilakukan oleh pihaknya mengesahkan coklat tersebut bebas dari DNA babi. Laman FB dipenuhi dengan pelbagai informasi berkaitan kes tersebut. Kami yang begitu bebas makan coklat dan ais krim di Riyadh menjadi agak keliru kerana di Riyadh tiada isu langsung berkaitan hal tersebut. Kami turut mengambil langkah berjaga-jaga dan mulai melihat kandungan bahan-bahan pada bungkusan coklat bagi memastikan tiadanya kod yang melibatkan bahan larangan tersebut. Air krim Baskin Robbin yang semakin diminati kami tinggalkan begitu juga dengan coklat dari butik-butik yang terdapat di sekitar Riyadh. Isu gelatin menjadi semakin sejuk dengan adanya pendapat dari Sheikh Yusuf al-Qaradawi dan Fatwa Majlis Ulama Eropah yang membolehkannya kerana berlaku perubahan sifat (FB Dr MAZA) Lagi pula makanan tersebut belum mampu diusahakan oleh orang muslim. Jadi terpulang kepada penilaian masing-masing kerana ianya termasuk bab khilaf.


Kek Ais krim yang mula diminati

Coklat yang dijual di Butik Coklat

Dunia Islam terus bergolak. Peperangan berterusan di Syria dan Iraq. Orang Islam Rohingya dibunuh sesuka hari di Myanmar oleh sami-sami Buddha. Umat Islam di Sri Lanka juga turut diancam nyawa di mana 3 orang terbunuh sementara berpuluh-puluh lagi cedera akibat diserang oleh pelampau agama Buddha. Terdapat lebih kurang 2 juta jiwa orang Islam di bumi Sri Lanka yang berjumlah 20 juta orang itu. Melalui WhatsApp aku bertanya khabar Shahana Anwar yang baru pulang bercuti bersama keluarganya. Shahana meminta aku mendoakan keselamatan mereka. Walaupun mereka masih selamat tetapi kekacauan sudah merebak sehingga berhampiran kawasan kediaman mereka. Hanya kepada Allah aku berdoa supaya Shahana dan keluarganya selamat. Shahana sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak lelaki yang berumur 4 dan 5 tahun. Suami Shahana bekerja di Sydney Australia, jadi Shahana mengikut bapanya yang sudah puluhan tahun bekerja di Arab Saudi. 

Kami menerima tetamu dari Telekom Malaysia yang menghadiri mesyuarat di Riyadh. Mereka kami jemput untuk makan malam di rumah kami. Aku menyediakan kari kambing dan paprik ayam jika ada yang tidak makan daging kambing. Hanya kari kambing yang dimakan oleh Pn Rafidah dan Pn Hani, hidangan lain tidak dijamah. En Hasry dan suamiku melayan pertandingan bola sepak dunia yang sedang berlangsung sehingga lewat malam baru kami menghantar mereka balik ke Ibis Hotel. Malam esoknya kami membawa mereka bertiga membeli abaya di Owais Market. Tempat terbaik membeli abaya dengan harga murah ialah di Dheerah tetapi suamiku enggan ke sana kerana suasana yang sangat sibuk di kawasan itu. Kami juga tidak pernah ke sana sekadar mendengar cerita dari rakan-rakan atau melalui tulisan di blog. Beribu rial juga yang dibelanjakan oleh Pn Rafidah dan Pn Hani untuk membeli abaya yang dikirim oleh sahabat handai dan saudara mara. Selepas membeli belah kami makan malam di Granada Mall kerana hari sudah lewat malam.
Letih membeli belah abaya
Makan ringan di Granada Mall

Musim panas kian terasa, segala-galanya menjadi panas. Udara yang bertiup terasa panas, semua benda yang dipegang terasa panas termasuk air paip. Kagum dan akur akan  hebatnya penciptaan Allah ke atas alam ini, segala-galanya boleh berubah. Arab Saudi mencatatkan waktu siang terpanjang pada tahun 2014 iaitu 13 jam 48 minit pada 22 Jun 2014. Manakala waktu siang terpendek dicatatkan pada 21/22 Disember 2014. Kebanyakan sekolah sudah memulakan cuti musim panas pada penghujung bulan Mei sehingga bulan Ogos. Ramadhan kian hampir. Arab News meminta orang ramai untuk sama-sama melihat anak bulan Ramadhan secara manual atau menggunakan binokular. Rakyat diminta menghubungi pihak berkuasa jika ternampak anak bulan. Namun kemungkinan untuk melihatnya agak tipis kerana berlakunya sandstorm. Puasa bermula pada hari Ahad, 27 Jun 2014. Ramadhan Kareem.

Pokok kurma mengeluarkan buah di musim panas







                                                                                                                                    zias/riyadh/15

Travelog : Oh! Riyadh - Demam Exam


Demam Exam

Mei 2014

Penggal persekolahan semakin hampir ke penghujungnya. Aku dan Saffura sibuk dengan persediaan untuk menghadapi peperiksaan sedang suamiku pula sibuk menyediakan soalan serta urusan pemarkahan pelajarnya. Segala-galanya perlu dihafal menyebabkan aku terpaksa memikirkan pelbagai kaedah untuk memudahkan proses tersebut. Dinding dapurku penuh dengan nota yang ditampal untuk memudahkan ingatanku ketika memasak. Semuanya di dalam Bahasa Arab.

Mualimah Amal mengajar tentang hadis yang menerangkan maksud Islam, Iman dan Ihsan. Selepas mengajar kami diberi ujian lisan dan jawapan mesti diberi dalam bahasa Arab. Terkial-kial kami menghafalnya sambil menunggu giliran masing-masing. Turut ditanya ialah berkaitan perkara-perkara yang dilarang ketika haid dan nifas. Mujurlah Mualimah Amal tidak begitu tegas bahkan turut membantu kami jika kami tersasul ketika menjawab. Sementara itu pihak sekolah juga menganjurkan Musabaqah Al Quran secar individu . Bagi tahap satu, mereka dikehendaki membaca ayat Qudsi dan bagi tahap 2 pula ialah dua ayat terakhir Surah Al Baqarah. Para peserta akan membaca ayat tersebut secara individu di hadapan dua orang Mualimah. Markah akan diberi berdasarkan kemampuan peserta membaca dengan betul. Pada hari terakhir persekolahan kami diberi hadiah bagi peserta yang masuk bertanding. Hadiah yang diterima berbeza mengikut markah yang diperolehi oleh para peserta.


Hadiah Musabaqah 

Aku semakin mesra dengan kawan-kawan dari Amerika Syarikat dan England. Bilangan mereka agak ramai di sekolah ini. Mereka sebenarnya berasal dari negara Afrika seperti Somalia  dan Ghana. Ibubapa atau datuk nenek  mereka menjadi pelarian ke negara-negara seperti Amerika Syarikat dan England lalu mereka yang dilahirkan di sana menjadi warganegara negara-negara tersebut. Di Arab Saudi, warganegara dari Amerika Syarikat dan England begitu dipandang tinggi tanpa mengira warna kulit. Ianya menjadi perdebatan antara aku dengan Niil yang tinggal di West London itu. Niil asyik memuji kebaikan warga Arab Saudi yang selalu meraikan mereka sedang hakikatnya bagi mereka yang berasal dari negara-negara lain seperti negara Asia dipandang rendah. Niil mengakui hakikat tersebut. Marmara yang berasal dari Canada kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat selalu menjadikan isu MH370 sebagai bahan perbualan kami. Katanya dia tidak menyukai presidennya bila kami berbual berkaitan dengan lawatan Mr Obama ke Kuala Lumpur. Puumaaya, Ameena dan Fatimah yang juga berasal dari Amerika Syarikat  menjadi rakan bualku sekali sekala.

Peperiksaan akhir tahun bermula. Bagi kelas Bahasa Arab terdapat ujian bertulis berkaitan dengan semua perkara yang sudah dipelajari. Pada hari berikutnya pula kami diuji dengan ujian membaca dalam Bahasa Arab. Ianya dijalankan di dalam sebuah bilik. Mualimah Mariam dan Mualimah Habsah akan memberikan kertas bercetak yang mengandungi dialog dan petikan untuk dibaca. Alhamdulillah aku dapat membacanya dengan lancar dan mendapat pujian dari Mualimah Mariam lantas aku bertanya sama ada aku lulus dalam ujian tersebut, dengan senyuman dia menjawab In Shaa Allah. Sementara menunggu giliran masing-masing Sumaira dan Uzma sibuk melukis corak bunga yang diperbuat dari inai yang dipanggil henna. Semua sibuk menghulurkan tangan dan lengan masing-masing untuk dilukis. Pada mulanya aku enggan untuk turut serta tetapi apabila dipujuk berulang kali aku pun turut membenarkan tangan aku dilukis oleh Sumaira yang begitu berseni orangnya.

Henna

Hari terakhir kami diuji dengan ujian solat secara praktikal oleh Mualimah Amal. kami juga meraikan hari terakhir kami dengan menjamu selera dengan memakan kek yang dibawa oleh Marmara dan Niil. Ada juga yang memberi hadiah kepada Mualimah. Sebenarnya kami dilarang memberi hadiah kepada guru-guru kecuali jika semua guru mendapatnya atau jika hadiah yang diberi tidak terlalu mahal harganya. Kami saling menyimpan nombor telefon bimbit masing-masing supaya dapat saling berhubungan ketika bercuti nanti. Kami juga saling berharap dapat berjumpa lagi di penggal persekolahan akan datang. 2 minggu kemudian keputusan peperiksaan dikeluarkan dan Alhamdulillah aku lulus dengan Jahid Jidan dan boleh meneruskan pengajian ke tahap 1 Bahasa Arab dan tahap 3 Al Quran.




                                                                                                                                zias/riyadh/15



Travelog : Oh! Riyadh - Wabak MERS


Wabak  MERS


April 2014

Cuaca mulai berubah menjadi semakin panas, alat penghawa dingin mula dipasang. Hujan juga turun beberapa kali di Riyadh. Kota Madinah juga menerima hujan yang agak lebat sehingga air memenuhi dataran Masjid Nabawi. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui kaca televisyen. Ribut pasir juga melanda Riyadh dengan agak kerap. Aku dan Saffura merasai kesan ribut pasir pada satu malam ketika keluar dari kedai H&M yang terletak di Olaya Street. Kami ke H&M untuk membeli baju yang akan Saffura pakai untuk persembahan nasyid di sekolahnya. Angin bertiup dengan kuat disertai dengan ribut pasir. Pedih terasa mukaku yang terdedah dan kami menggunakan tudung untuk menutup muka yang mula terasa sakit. Kelihatan beberapa pemuda menjual penutup muka dan air minum di dalam botol. Ramai yang menggenakan penutup muka bagi lelaki. Ketika ini aku terfikir kebaikan memakai niqab.

Wabak MERS mulai menyerang. MERS-CoV  atau Middle East Respiratory Syndrom Coronavirus mula dikesan di Arab Saudi pada tahun 2013. Tanda-tanda jangkitan bermula dengan selsema,demam,batuk,sakit tekak dan  sakit otot sehingga menyebabkan masalah lain. Seperti demam panas, radang paru-paru,batuk dan kesukaran bernafas. Ianya boleh mendatangkan masalah kesihatan seperti kegagalan fungsi ginjal, menyebabkan koma secara tiba-tiba seterusnya membawa maut. Ianya telah meragut banyak nyawa dan semakin bertambah bilangannya. Warga Malaysia dari Johor juga turut menjadi mangsa apabila pulang dari mengerjakan umrah. Penawar masih dicari bagi penyakit yang turut melanda Qatar dan negara Arab lain yang dikatakan berpunca dari unta.

Di Daar Adh Dhikr sesi membaca al Quran diganti dengan Musabaqah al Quran. Peserta terdiri dari semua pelajar-pelajar dari dua kelas yang berlainan tetapi sama tahapnya. Mualimah yang tidak mengajar kedua-dua kelas ditugaskan untuk mengendalikannya. Pelajar dikumpulkan di dalam sebuah bilik dan dipisahkan antara dua kumpulan. Mualimah menulis nombor soalan di papan putih untuk dipilih oleh wakil kumpulan yang dipilih oleh peserta kumpulan yang satu lagi. Markah 1-10 diberikan kepada wakil kumpulan yang menjawab soalan tersebut. Mualimah akan membaca surah al Quran mengikut nombor yang dipilih. Wakil kumpulan akan membaca ayat-ayat tersebut., ada yang perlu membaca dari awal surah dan ada pula di pertengahan surah tersebut. Semua peserta dari kumpulan lawan akan mengenal pasti kesalahan yang dilakukan oleh wakil tersebut. Markah akan ditolak dari kesalahan tersebut selepas perbincangan terhadap kesalahan dilakukan bersama. Yang pendiam biasanya menjadi mangsa termasuklah aku, tapi Alhamdulillah aku mendapat 7 /10. Ramai yang agak panik kerana terpaksa berdepan dengan bilangan peserta yang ramai. Walaupun kumpulan aku kalah tetapi ianya meninggalkan pengalaman yang manis untuk diingati.

Saffura pula tidak dibenarkan ke sekolah sehingga masalah kutu di kepalanya selesai. Aku kehairanan kerana Saffura sudah lama tidak mengalami masalah kutu di kepala selepas masuk ke darjah satu. Semasa di tadika memang ianya menjadi masalah sehingga aku berjumpa penawarnya. Penawarnya ialah dengan mengisar bawang putih lalu dicampur dengan minyak masak. Lalu dilumur kepada kepala dan dibiarkan untuk beberapa jam. Pihak sekolah menjalankan pemeriksaan ke atas semua pelajar dan pelajar yang mempunyai masalah tersebut tidak boleh hadir ke sekolah namun ada  juga beberapa pelajar yang tidak patuh kepada arahan tersebut. Alhamdulillah setelah aku menggunakan petua tersebut masalah selesai dengan cepat dan Saffura dibenarkan kembali ke sekolah.

Peperiksaan @ Iktibar Al Quran diadakan secara lisan. Mualimah Habsah dan Mualimah Mariam mengendalikan peperiksaan tersebut di sebuah bilik yang tertutup. Kami akan masuk secara sukarela seorang demi seorang sementara yang lain akan duduk menunggu di kelas masing-masing. Semua surah yang telah dihafal akan disoal dan diberi markah. Markah lulus ialah 80%, jika gagal mendapat markah tersebut pelajar tersebut perlu mengulanginya di penggal akan datang. Aku diuji dengan enam surah kecuali surah-surah Al Qariah, Al Insyirah dan Al Qadr. Ada soalan yang memerlukan aku membaca surah tersebut dari awal dan ada juga yang di pertengahan surah. Ianya betul-betul mencabar tapi seronok. Alhamdulillah.

Pada tanggal 27 April 2014 seluruh negara meraikan sambutan ke 9 tahun pemerintahan King Abdullah. Tiada cuti umum namun siaran televisyen KSA2 menyiarkan beberapa rancangan berkaitan dengannya.



                                                                                                                                          zias/riyadh/15

Dapurku D'Riyadh (37) - Agar-agar Merah


Selalu jumpa agar-agar merah ini di rumah kenduri kahwin terutama di Melaka. Juga resepi warisan yang kerap dilupakan. Untuk mengingatkan diri yang selalu lupa sukatannya.
Di Riyadh, kami dapat membeli agar-agar biasa yang dijual LuLu Hypermarket atau Sadhan Hypermarket. Ada juga agar-agar serbuk. Tetapi untuk resepi ini sebaiknya menggunakan agar-agar biasa.


Bismillahirrahmanirrahim.

Bahan2:

1 cawan agar-agar
4 cawan air
1/2 - 1 cawan gula pasir (ikut rasa manis yang diingini)
1 sudu besar air mawar
Pewarna merah
(Atau guna sirap ros)


Cara Membuatnya:
1. Masak agar-agar bersama air sehingga agar-agar larut
    sepenuhnya.
2. Masukkan gula dan biarkan larut. Masukkan pewarna
    dan air mawar.
3. Tapis dan tuangkan ke dalam bekas yang sesuai. Sejukkan dalam
     peti sejuk.




Dapurku D'Riyadh(36) - Kuih Pulut Udang


Aku pernah terlihat kuih pulut udang menjadi sebahagian dari hidangan potluck ketika program yang diadakan di Riyadh. Aku begitu kagum dengan wanita yang menyediakannya. Aku tidak pernah membuatnya dan kalau mahu membelinya pun aku agak cerewet kerana kerapkali rasa intinya tidak sedap. Stok pulut masih banyak di dapur. Aku pernah membuat inti kuih cucur badak yang sedap jadi aku menggunakan resepi yang sama untuk menyediakan inti kuih pulut udang.
Selepas meninjau beberapa blog aku mencubanya.Rupanya tidaklah susah membuat pulut udang dan untuk membakarnya aku cuma gunakan frying pan sahaja. Saffura kehairanan melihat kuih yang tidak pernah aku sediakan ini dan dia menyangka ianya adalah sushi!


Bismillahirrahmanirrahim

Inti pulut udang/cucur badak

Bahan2:

1 1/2 cawan kelapa parut
1/2  sudu besar serbuk cili (boleh lebih jika mahu pedas)
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
3-4 batang serai
1 sudu besar udang kering (direndam)
Sedikit udang hidup
(bawang,halia,serai dan udang dikisar halus)
Garam dan sedikit gula
Sedikit minyak untuk menumis

Cara Membuatnya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan kisar.
    Goreng hingga naik bau, masukkan cili, kunyit, garam dan 
    gula. Kacau sehingga garing.
2. Masukkan kelapa parut dan goreng hingga rata dan agak kering.
3. Sejukkan. Aku sediakan inti yang banyak dan sejuk bekukan.

Inti dan pulut untuk dibalut bersama


Resepi Pulut Udang

1 cawan pulut (direndam)
1 cawan santan*
Sedikit garam*
Sedikit mentega*
Bahan * dicampur dan dimasak sehingga mendidih seketika


Cara Membuatnya:
1.Kukus pulut sehingga masak.Angkat dan gaul dengan santan yang dimasak sehingga sebati.
2.Potong daun pisang dan layurkan.
3.Letakkan pulut di atas daun pisang. Masukkan inti kelapa dan balut rapat-rapat.
   Stapler di kedua-dua hujungnya. Buat sehingga selesai. (10 biji)
Daun pisang kecil...

Siap dibalut rapat

4. Bakar di atas kuali  sehingga warna daun pisang berubah. Tidak perlu
    lama kerana pulut sudahpun masak.
    
Hidangan berbuka puasa



Dapurku D'Riyadh (35) - Asam Pedas Melaka



Aku dihantar ke Melaka untuk memulakan tugasku sebagai guru di Sekolah Menengah Gajah Berang, Melaka. Aku mula meminati masakan asam pedas Melaka setelah makan buat kali pertama di rumah ibu mertua Pn Shamsiah, pembantu makmal di sekolahku. Setelah berkahwin dengan jejaka dari Melaka aku mula belajar menyediakannya dari emak mentuaku. Asam pedas Melaka berbeza dari asam pedas Penang. Asam pedas Penang walaupun agak cair tapi sedap.Ish..teringat asam pedas keladi yang selalu kakakku Pn Jamilah buat lah pula...enaknya.
Seperti biasa resepi tradisi yang diwarisi perlu diikuti walaupun memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Aku perlu menumbuk halus rencah seperti kunyit hidup, jintan manis, ketumbar, bawang putih,halia dan bawang merah. Habis semua bekas dan tangan menjadi warna kuning. Kini setelah agak berpengalaman, aku permudahkan dengan hanya menggunakan serbuk kunyit jenama Adabi. Ada masanya aku menggantikan jintan manis dan ketumbar dengan sedikit serbuk rempah kari ikan atau ada masanya cukup sekadar cili kering sahaja. Mudahnya masakan ini kerana kita boleh menggunakan apa-apa jenis ikan seperti ikan parang, ikan terubuk, ikan merah atau ikan kembung. Paling aku suka ialah asam pedas ikan terubuk.

Di Riyadh, aku kerap kali kehabisan stok cili kering namun kini tidak menjadi masalah lagi. Pn Rahimah kenalanku di sini telah memperkenalkan serbuk cili jenama Eastern yang tidak terlalu pedas. Lagi mudah untuk aku masak asam pedas dengan menggunakan cili ini dan yang pasti warnanya pun cantik.


Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2:
Ikan merah/kembung (1/2 kg)
2 sudu besar serbuk cili 
1 sudu kecil serbuk rempah ikan(jika suka)
1 sudu kecil kerisik(tak letak pun ok je)
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji bawang besar dihiris(tumis)
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
(Bawang besar,bawang putih dan halia dikisar)
1 batang serai (jika suka)
Beberapa helai daun limau purut
1-2 mangkuk air asam jawa
Minyak untuk menumis
Garam dan sedikit gula
Terung/bendi (jika suka)

Cara Membuatnya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali (minyak kena banyak sebab cili perlu 
    digoreng garing) Masukkan bawang yang dihiris dan goreng hingga
     kekuningan.
2. Masukkan bahan kisar dan sebuk kunyit, kacau hingga naik bau.
3. Masukkan cili kering dan serbuk rempah , kalau sekejap dan masukkan
    sedikit air dan kacau hingga cili garing atau pecah minyak. Masukkan
    garam dan sedikit gula.
4. Masukkan air asam jawa, serai, kerisik   dan biarkan mendidih. 
    Masukkan ikan dan sayur (jika ada). Apabila mendidih perlahankan
    api dan biarkan sehingga ada terbentuk minyak di permukaan kuah.
    Masukkan daun limau purut sebelum padamakan api.



Asam Pedas Ikan Merah

Jumaat, 26 Jun 2015

Travelog : Oh!Riyadh - Berkunjung Ke Jeddah


Berkunjung Ke Jeddah

Selepas melaksanakan Tawaf Wida kami terus keluar dari hotel untuk mengambil kereta di Kudai Parking. Kami menaiki kereta menuju ke Jeddah yang jaraknya lebih kurang 80 km dari Mekah. Lebuh raya yang besar memudahkan perjalanan ke sana.







Mercu tanda yang cukup popular
ketika di dalam perjalanan dari
Jeddah ke Mekah atau sebaliknya.


















Mercu tanda ini juga kelihatan
semasa memasuki Jeddah.


















Sesat beberapa kali
ketika mencari hotel
ini. Terasa Jeddah
begitu luas tapi tidak
teratur seperti Riyadh.
Bilik yang luas dan
selesa mengurangkan
sedikit rasa penat
 mencari.












Ingin mencuba makanan
restoran Thai berdekatan
hotel tetapi masih ditutup.
Jadi makan di kedai
Indonesia. Ramai juga orang
Arab yang makan di sini.
Ada satay udang.










Esoknya bersiar-siar di sekitar
Corniche Jeddah setelah sesat
malamnya. Di sini terdapat
Masjid Terapung yang
menjadi tempat singgah
jemaah haji/umrah yang akan
pulang ke tanah air. Ada
beberapa masjid lain yang
dibina hampir dengan pantai.
Banyak pokok kelapa di sekitar
pantai di sini. Laut Merah yang
luas terbentang hanya boleh
dipandang. Banyak alga hijau
dan batu-batu di dalamnya.








Jeddah yang  terletak di pinggir Laut Merah merupakan bandar kedua terbesar
selepas bandar raya  Riyadh. Ianya juga menjadi pintu masuk utama ke Mekah 
yang datang  dengan  kapal terbang dan  menjadi  pelabuhan terpenting di Arab 
Saudi.  Banyak   tarikan   pelancong   terutamanya  di sekitar  Corniche Jeddah. 
Terdapat  banyak  kawasan  bersantai  di tepi pantai,  taman   permainan  untuk 
kanak-kanak   dan   juga  sebuah   akuarium.   Restoran-restoran    berasaskan 
makanan   laut  juga  banyak  kelihatan  di sepanjang  pantai.  Hotel-hotel    juga 
semakin banyak dibina bagi memenuhi keperluan pelancong. 

Selepas keluar dari hotel kami  terus  bergerak  untuk kembali ke Riyadh. Kami 
sempat  menjamu  selera  di Restoran  Al Baik  yang terletak di laluan lebuh raya 
menuju ke Mekah. Kami tersesat  dan akhirnya  menuju ke arah Masjidil Haram 
bagi mencari jalan keluar menuju ke Taif. Alhamdulillah kami tiba di Riyadh pada
pukul 2.30 pagi.  Seminggu  kami  merentasi  bumi    Arab Saudi   sejauh hampir 
2500 km.




                                                                                                                    zias/riyadh/15





Travelog : Oh! Riyadh- Ziarah ke Kota Madinah


Ziarah ke Kota Madinah

Kali terakhir kami menziarahi Kota Rasulullah s.a.w ini adalah pada tahun 2009 di bulan Ramadhan. Sebelumnya adalah pada tahun 1998. Keadaannya begitu berbeza sekali. Pada tahun 2009 payung besar masih di dalam pembinaan dan kini semuanya sudah siap. Ianya menjadi tumpuan ramai, hanya di kawasan Masjid Nabawi. Kami menginap di hotel yang agak jauh dari Masjid Nabawi dan memerlukan masa yang agak lama untuk tiba di Masjid Nabawi. Ianya terpisah terus dari kawasan hotel-hotel yang terletak bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Kebanyakan bilik hotel sekitar Masjid Nabawi habis ditempah, yang tinggal hanya bilik yang mahal harganya.







Bangunan yang sudah usang namun
masih   digunakan.  Suasana    yang 
tidak    kelihatan    jika     menginap 
di hotel    mewah     berdekatan
Masjid Nabawi
















Laluan  Masjid Nabawi  dari hotel  
kami tempat kami menginap.Masuk 
melalui Pintu No 5, yang bagusnya
kami akan terpandang Kubah Hijau 
setiap kami melangkah masuk
ke kawasan Masjid Nabawi.

















Di sebelah    kiri   Pintu No. 5  
terdapat bangunan    khas yang
dijadikan tempat mempamerkan 
Sejarah Rasulullah s.a.w. Kami 
sempat masuk ke dalamnya namun
90% informasi dalam Bahasa Arab.


















Orang memang ramai kerana 
waktu cuti sekolah dan cuaca 
yang sangat selesa.Suasana 
begitu meriah sekali, ramai yang 
membawa keluarga dan duduk
bersantai di kawasan sekitar 
Masjid Nabawi terutama
pada waktu malam.













  




Masuk   ke Raudhah   selepas 
waktu   Asar   setelah terlepas  
pada  waktu pagi. Orang  terlalu
ramai sehingga  kami    tersepit 
di celah-celah  wanita berketurunan
Arab, Turki,  Pakistan  dan India.
Ini   bangunan  asal Masjid Nabawi, 
terdapat Raudhah di dalamnya. Kita
perlu menunggu giliran masuk di sini.













Ini  kumpulan  jemaah  dari  negara
Asia seperti Malaysia dan Indonesia. 
Mereka dikumpulkan bersama-
sama. Semasa menunggu, ustazah
akan memberi penerangan berkaitan 
amalan yang perlu dilakukan ketika 
berada di dalam Raudhah. Untuk 
pertama kali elok ikut rombongan begini.
















Suasana  kawasan 
Raudhah jika tidak 
dibuka kepada 
kaum wanita.
















Kawasan Raudhah 
ketika dibuka kepada
kaum wanita.


















Hasrat untuk ke Yanbu ditangguhkan 
bagi meraikan  cucu-cucu  saudara  
yang   juga menziarahi   Kota 
Madinah. Mereka  membawa  pelbagai   
barangan  keperluan untuk kami dari 
Malaysia.
Menjamu selera di kedai Turki.














Ziarah ke Bukit 
Uhud dan masjid-
masjid utama
di Kota Madinah.










Selepas    tiga   malam,  kami  
meneruskan perjalanan ke Mekah 
selepas berniat untuk mengerjakan 
umrah dan berihram di Bir Ali.
Jarak Madinah ke Mekah lebih 
kurang 400 km. Di awal perjalanan 
kelihatan gunung-gunung berbatu 
pejal, berwarna perang dan
berlapis-lapis di kiri kanan lebuh raya.
Bentuk bumi berubah dengan timbunan
batu-batu berwarna hitam yang 
begitu luas. Arab Saudi bukan sahaja
kaya dengan minyak tetapi juga
dianugerah Allah dengan hasil bumi
yang melimpah ruah seperti pasir, simen 
dan batu marmar. Kawasan rehat tidak
sebanyak seperti laluan Riyadh- Madinah. 
Kami sampai ke Mekah lebih kurang 
4 jam perjalanan.









Masjidil Haram sedang giat 
diperbesarkan. Mataf  tingkat bawah  
belum siap lagi ketika ini. Orang 
ramai seperti di Madinah.
Kami tinggal di Mekah selama
dua malam.


















Sempat ziarah ke Padang 
Arafah,
sekitar Jabal Rahmah.














Mina - sewaktu di luar musim haji.

Kunjungan kami ke Mekah kali ini bertepatan dengan musim cuti sekolah di Malaysia. Aku sempat berjumpa rakan sejawat dari SMTKL, Ustaz Jusoh bin Ali yang datang mengerjakan umrah bersama anak lelakinya.Kami berjumpa di Restoran D'Saji.




                                                                                                                        zias/riyadh/15









Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...