Nasi Biryani @ Beriani memang popular di mana-mana seluruh dunia. Jika di BTHO, Restoran DJu menjadi kegemaran kami untuk menikmati nasi beriani Johor. Restoran Insaf yang terletak di Jalan TAR juga menjadi pilihan suatu masa dahulu. Jika berada di luar negara juga nasi beriani dicari kerana ianya enak dimakan begitu saja.
Nasi Biryani di Melbourne, Australia |
Nasi Biryani Bangladesh di Christchurch, New Zealand |
Nasi Biryani Ikan di Muscat Oman, nasi biryani kambing tidak sempat diambil gambar...dah licin. |
Di Riyadh aku belajar memasak nasi biryani dengan bertanya kawanku dari India bagaimana memasak nasi beriani hyderabab(hyderabadi biryani)yang popular itu. Mehrunisa ada memberi resepi kepadaku namun disebabkan terlalu banyak bahan yang perlu dicari aku lebih gemar menggunakan rempah biryani yang sedia dijual di mall.
Beras perlu dimasak terlebih dahulu dalam air yang banyak sehingga lebih 50% masak. Begitu juga dengan lauk dimasak berasingan kemudian dicampurkan bersama dan dimasak sekali lagi. Mulanya terasa begitu susah tetapi setelah beberapa kali menyediakannya terasa mudah pula. Dah makan nasi biryani masala ini
macam dah insaf je nak makan nasi biryani di Restoran Insaf yang mahal tu...hihi.
Bismillahirrahmanirrahim
Bahan2:
1 ekor ayam (900g)
2 cawan beras basmati (dibasuh,direndam 30 minit dan ditoskan)
3 biji tomato segar dipotong kecil
2 biji bawang besar dihiris nipis
1 biji kentang bersaiz besar (dipotong 8)
1 1/2 sudu besar halia yang dikisar
1 1/2 sudu besar bawang putih yang dikisar
4-5 biji lada hijau
1/4 cawan daun ketumbar dikisar
1/4 cawan daun pudina dikisar (jika ada)
1 cawan minyak/ghee/mentega
1 cawan yogurt segar
1 paket/ 50 g serbuk biryani masala/biryani
2 sudu air lemon
Cara Membuatnya:
1. Panaskan minyak/ghee dalam periuk dan goreng bawang besar sehingga
garing/ kekuningan. Keluarkan 2 sudu besar bawang tersebut dan ketepikan.
2. Menggunakan minyak yang sama, masukkan tomato dan masak sehingga
lembut dan pecah minyak. Masukkan ayam,halia,bawang putih,goreng
selama 1 hingga 2 minit.
3. Masukkan yogurt,kentang dan rempah biryani,kacau selama 5-7 minit dan
tambah 1-2 cawan air jika ayam.Lebihkan air jika memasak kambing atau
daging. Masak sehingga ayam/daging lembut. Gunakan api yang lebih kuat
supaya pecah minyak.Masukkan cili hijau dan tutup api.
4. Masukkan 8-9 gelas air bersama 1 sudu besar garam (boleh tambah 1 sudu
kecil jintan halus jika suka) dan masak sehingga mendidih.Masukkan beras
dan masak sehingga hampir masak. Keluarkan dan toskan.
Masak beras dalam air yang banyak |
Beras sudah kembang |
Ini dah lebih 90% masak |
5. Gunakan periuk yang berlainan, masukkan nasi dan ratakan lapisan nasi
tersebut. Masukkan ayam yang dimasak diikuti dengan daun ketumbar/
pudina di atas nasi. Lapiskan pula dengan nasi selebihnya. Taburkan
dengan bawang goreng, air lemon dan warna kuning dan merah. Tutup
periuk dengan penutupnya dan masak di atas api. Mula-mula gunakan
api yang kuat (2-3 minit).Perlahankan api dan masak selama 15 minit
lagi atau sehingga nasi masak keseluruhannya.
Lapiskan nasi dan ayam yang disediakan berasingan |
Boleh ditambah air mawar dan ghee jika suka |
6. Gaulkan dengan rata sebelum dihidangkan.
Sedia untuk dimakan |
Makan dengan jelatah nenas...suka2 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan