Ahad, 28 Jun 2015

Travelog : Oh! Riyadh - Coklat dan DNA ...


                                                                      Coklat dan DNA ...

Jun 2014

Seluruh Malaysia gempar dengan keputusan ujian yang dijalankan ke atas coklat jenama Cadbury yang disahkan mengandungi gelatin dari DNA babi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bertambah panas lagi apabila Jakim pula kemudiannya menolak dakwaan tersebut apabila ujian yang dilakukan oleh pihaknya mengesahkan coklat tersebut bebas dari DNA babi. Laman FB dipenuhi dengan pelbagai informasi berkaitan kes tersebut. Kami yang begitu bebas makan coklat dan ais krim di Riyadh menjadi agak keliru kerana di Riyadh tiada isu langsung berkaitan hal tersebut. Kami turut mengambil langkah berjaga-jaga dan mulai melihat kandungan bahan-bahan pada bungkusan coklat bagi memastikan tiadanya kod yang melibatkan bahan larangan tersebut. Air krim Baskin Robbin yang semakin diminati kami tinggalkan begitu juga dengan coklat dari butik-butik yang terdapat di sekitar Riyadh. Isu gelatin menjadi semakin sejuk dengan adanya pendapat dari Sheikh Yusuf al-Qaradawi dan Fatwa Majlis Ulama Eropah yang membolehkannya kerana berlaku perubahan sifat (FB Dr MAZA) Lagi pula makanan tersebut belum mampu diusahakan oleh orang muslim. Jadi terpulang kepada penilaian masing-masing kerana ianya termasuk bab khilaf.


Kek Ais krim yang mula diminati

Coklat yang dijual di Butik Coklat

Dunia Islam terus bergolak. Peperangan berterusan di Syria dan Iraq. Orang Islam Rohingya dibunuh sesuka hari di Myanmar oleh sami-sami Buddha. Umat Islam di Sri Lanka juga turut diancam nyawa di mana 3 orang terbunuh sementara berpuluh-puluh lagi cedera akibat diserang oleh pelampau agama Buddha. Terdapat lebih kurang 2 juta jiwa orang Islam di bumi Sri Lanka yang berjumlah 20 juta orang itu. Melalui WhatsApp aku bertanya khabar Shahana Anwar yang baru pulang bercuti bersama keluarganya. Shahana meminta aku mendoakan keselamatan mereka. Walaupun mereka masih selamat tetapi kekacauan sudah merebak sehingga berhampiran kawasan kediaman mereka. Hanya kepada Allah aku berdoa supaya Shahana dan keluarganya selamat. Shahana sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak lelaki yang berumur 4 dan 5 tahun. Suami Shahana bekerja di Sydney Australia, jadi Shahana mengikut bapanya yang sudah puluhan tahun bekerja di Arab Saudi. 

Kami menerima tetamu dari Telekom Malaysia yang menghadiri mesyuarat di Riyadh. Mereka kami jemput untuk makan malam di rumah kami. Aku menyediakan kari kambing dan paprik ayam jika ada yang tidak makan daging kambing. Hanya kari kambing yang dimakan oleh Pn Rafidah dan Pn Hani, hidangan lain tidak dijamah. En Hasry dan suamiku melayan pertandingan bola sepak dunia yang sedang berlangsung sehingga lewat malam baru kami menghantar mereka balik ke Ibis Hotel. Malam esoknya kami membawa mereka bertiga membeli abaya di Owais Market. Tempat terbaik membeli abaya dengan harga murah ialah di Dheerah tetapi suamiku enggan ke sana kerana suasana yang sangat sibuk di kawasan itu. Kami juga tidak pernah ke sana sekadar mendengar cerita dari rakan-rakan atau melalui tulisan di blog. Beribu rial juga yang dibelanjakan oleh Pn Rafidah dan Pn Hani untuk membeli abaya yang dikirim oleh sahabat handai dan saudara mara. Selepas membeli belah kami makan malam di Granada Mall kerana hari sudah lewat malam.
Letih membeli belah abaya
Makan ringan di Granada Mall

Musim panas kian terasa, segala-galanya menjadi panas. Udara yang bertiup terasa panas, semua benda yang dipegang terasa panas termasuk air paip. Kagum dan akur akan  hebatnya penciptaan Allah ke atas alam ini, segala-galanya boleh berubah. Arab Saudi mencatatkan waktu siang terpanjang pada tahun 2014 iaitu 13 jam 48 minit pada 22 Jun 2014. Manakala waktu siang terpendek dicatatkan pada 21/22 Disember 2014. Kebanyakan sekolah sudah memulakan cuti musim panas pada penghujung bulan Mei sehingga bulan Ogos. Ramadhan kian hampir. Arab News meminta orang ramai untuk sama-sama melihat anak bulan Ramadhan secara manual atau menggunakan binokular. Rakyat diminta menghubungi pihak berkuasa jika ternampak anak bulan. Namun kemungkinan untuk melihatnya agak tipis kerana berlakunya sandstorm. Puasa bermula pada hari Ahad, 27 Jun 2014. Ramadhan Kareem.

Pokok kurma mengeluarkan buah di musim panas







                                                                                                                                    zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...