Demam Exam
Mei 2014
Penggal persekolahan semakin hampir ke penghujungnya. Aku dan Saffura sibuk dengan persediaan untuk menghadapi peperiksaan sedang suamiku pula sibuk menyediakan soalan serta urusan pemarkahan pelajarnya. Segala-galanya perlu dihafal menyebabkan aku terpaksa memikirkan pelbagai kaedah untuk memudahkan proses tersebut. Dinding dapurku penuh dengan nota yang ditampal untuk memudahkan ingatanku ketika memasak. Semuanya di dalam Bahasa Arab.
Mualimah Amal mengajar tentang hadis yang menerangkan maksud Islam, Iman dan Ihsan. Selepas mengajar kami diberi ujian lisan dan jawapan mesti diberi dalam bahasa Arab. Terkial-kial kami menghafalnya sambil menunggu giliran masing-masing. Turut ditanya ialah berkaitan perkara-perkara yang dilarang ketika haid dan nifas. Mujurlah Mualimah Amal tidak begitu tegas bahkan turut membantu kami jika kami tersasul ketika menjawab. Sementara itu pihak sekolah juga menganjurkan Musabaqah Al Quran secar individu . Bagi tahap satu, mereka dikehendaki membaca ayat Qudsi dan bagi tahap 2 pula ialah dua ayat terakhir Surah Al Baqarah. Para peserta akan membaca ayat tersebut secara individu di hadapan dua orang Mualimah. Markah akan diberi berdasarkan kemampuan peserta membaca dengan betul. Pada hari terakhir persekolahan kami diberi hadiah bagi peserta yang masuk bertanding. Hadiah yang diterima berbeza mengikut markah yang diperolehi oleh para peserta.
Aku semakin mesra dengan kawan-kawan dari Amerika Syarikat dan England. Bilangan mereka agak ramai di sekolah ini. Mereka sebenarnya berasal dari negara Afrika seperti Somalia dan Ghana. Ibubapa atau datuk nenek mereka menjadi pelarian ke negara-negara seperti Amerika Syarikat dan England lalu mereka yang dilahirkan di sana menjadi warganegara negara-negara tersebut. Di Arab Saudi, warganegara dari Amerika Syarikat dan England begitu dipandang tinggi tanpa mengira warna kulit. Ianya menjadi perdebatan antara aku dengan Niil yang tinggal di West London itu. Niil asyik memuji kebaikan warga Arab Saudi yang selalu meraikan mereka sedang hakikatnya bagi mereka yang berasal dari negara-negara lain seperti negara Asia dipandang rendah. Niil mengakui hakikat tersebut. Marmara yang berasal dari Canada kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat selalu menjadikan isu MH370 sebagai bahan perbualan kami. Katanya dia tidak menyukai presidennya bila kami berbual berkaitan dengan lawatan Mr Obama ke Kuala Lumpur. Puumaaya, Ameena dan Fatimah yang juga berasal dari Amerika Syarikat menjadi rakan bualku sekali sekala.
Peperiksaan akhir tahun bermula. Bagi kelas Bahasa Arab terdapat ujian bertulis berkaitan dengan semua perkara yang sudah dipelajari. Pada hari berikutnya pula kami diuji dengan ujian membaca dalam Bahasa Arab. Ianya dijalankan di dalam sebuah bilik. Mualimah Mariam dan Mualimah Habsah akan memberikan kertas bercetak yang mengandungi dialog dan petikan untuk dibaca. Alhamdulillah aku dapat membacanya dengan lancar dan mendapat pujian dari Mualimah Mariam lantas aku bertanya sama ada aku lulus dalam ujian tersebut, dengan senyuman dia menjawab In Shaa Allah. Sementara menunggu giliran masing-masing Sumaira dan Uzma sibuk melukis corak bunga yang diperbuat dari inai yang dipanggil henna. Semua sibuk menghulurkan tangan dan lengan masing-masing untuk dilukis. Pada mulanya aku enggan untuk turut serta tetapi apabila dipujuk berulang kali aku pun turut membenarkan tangan aku dilukis oleh Sumaira yang begitu berseni orangnya.
Hari terakhir kami diuji dengan ujian solat secara praktikal oleh Mualimah Amal. kami juga meraikan hari terakhir kami dengan menjamu selera dengan memakan kek yang dibawa oleh Marmara dan Niil. Ada juga yang memberi hadiah kepada Mualimah. Sebenarnya kami dilarang memberi hadiah kepada guru-guru kecuali jika semua guru mendapatnya atau jika hadiah yang diberi tidak terlalu mahal harganya. Kami saling menyimpan nombor telefon bimbit masing-masing supaya dapat saling berhubungan ketika bercuti nanti. Kami juga saling berharap dapat berjumpa lagi di penggal persekolahan akan datang. 2 minggu kemudian keputusan peperiksaan dikeluarkan dan Alhamdulillah aku lulus dengan Jahid Jidan dan boleh meneruskan pengajian ke tahap 1 Bahasa Arab dan tahap 3 Al Quran.
zias/riyadh/15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan