Khamis, 4 Jun 2015

Dapurku D'Riyadh (14) - Apam Beras


Kuih kegemaranku terutama di bulan puasa. Warna kuning,hijau dan ros lembut begitu sedap sekali. Aku tidak sangka boleh membuatnya ketika berada di perantauan. Mulanya aku ternampak resepi di fb, dua resepi yang berbeza. Aku mencubanya namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Aku tidak berputus asa lalu meminta resepi dari kakak iparku, Pn Fazidah di Melaka. Kali ini apamku menajdi tapi tidak senyum seperti apam yang aku beli. Rasanya sedap dan habis dimakan. Dalam satu perjumpaan ibu-ibu Riyadh Pn Nor membawa apam beras untuk jamuan pot luck kami. Apam beras senyum menjadi topik perbualanku dengan beberapa rakan rakan yang lain. Kebetulan Pn Hjh Siti Zaleha memang biasa membuat apam beras yang tersenyum. Beberapa hari kemudian Pn Hjh Siti Zaleha sudi berkongsi resepi tersebut denganku.
Program Hafazan
Menyediakan apam beras menjadi eksperimenku yang paling banyak setakat ini. Enam kali mencuba baru aku mendapat hasil yang aku kehendaki. Sekarang aku tidak risau lagi jika nasi putih tidak habis kerana keesokannya aku boleh buat apam yang gebu lagi sedap. Ibu-ibu Riyadh memang pandai masak, setiap kali program mereka membawa makanan yang sedap dan cantik pula. Memang payah mahu diet jika menghadiri sebaran program bersama mereka sebab pelbagai jenis juadah ada.
Perjumpaan di rumah Pn Hjh Afifah  Mee Udang yang sedap.
Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2

2 cawan nasi
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
2 cawan gula halus
2 1/2 cawan air
1 sudu kecil yis kering
pewarna (jika suka)
kelapa parut digaul dengan garam
(Aku selalu menggunakan separuh bahan yang menghasilkan lebih kurang 30 biji apam beras)

Cara Membuatnya:
1. Mesin nasi dan air sehingga hancur dan halus.
2. Masukkan gula dan mesin lagi sehingga sebati
3 .Campurkan bersama tepung gandum,tepung beras dan yis.Masukkan
    kesemua bahan ini ke dalam bahan yang dimesin dan kacau sehingga sebati.
   (aku masukkan semuanya dalam mesin dan mesin sehingga sebati)
4. Masukkan ke dalam mangkuk besar dan tutup. Perap selama 3 jam atau lebih.
5. Panaskan air dalam pengukus sehingga betul-betul mendidih (api kuat).
6. Sapu acuan dengan minyak kemudian masukkan adunan ke dalam acuan.
7. Jika mahu diwarnakan, keluarkan sedikit adunan dan ditambah warna yang disukai.
8. Penutup pengukus hendaklah dibalut dengan kain.
9. Masak lebih kurang 10 - 15 minit. Jangan buka penutup semasa masak kerana
    apam ni pemalu sikit,  jika dibuka selalu sahih tak senyum apam tersebut.
10.Hidangkan bersama kelapa.
 Masukkan adunan dalam acuan.
Percubaan kali ke 5 - untuk dibawa ke majlis
Percubaan kali ke 6 - baru senyum apamku
Setelah puluhan kali  membuatnya - senyum sampai ke telinga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...