Ahad, 28 Jun 2015

Dapurku D'Riyadh(36) - Kuih Pulut Udang


Aku pernah terlihat kuih pulut udang menjadi sebahagian dari hidangan potluck ketika program yang diadakan di Riyadh. Aku begitu kagum dengan wanita yang menyediakannya. Aku tidak pernah membuatnya dan kalau mahu membelinya pun aku agak cerewet kerana kerapkali rasa intinya tidak sedap. Stok pulut masih banyak di dapur. Aku pernah membuat inti kuih cucur badak yang sedap jadi aku menggunakan resepi yang sama untuk menyediakan inti kuih pulut udang.
Selepas meninjau beberapa blog aku mencubanya.Rupanya tidaklah susah membuat pulut udang dan untuk membakarnya aku cuma gunakan frying pan sahaja. Saffura kehairanan melihat kuih yang tidak pernah aku sediakan ini dan dia menyangka ianya adalah sushi!


Bismillahirrahmanirrahim

Inti pulut udang/cucur badak

Bahan2:

1 1/2 cawan kelapa parut
1/2  sudu besar serbuk cili (boleh lebih jika mahu pedas)
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
3-4 batang serai
1 sudu besar udang kering (direndam)
Sedikit udang hidup
(bawang,halia,serai dan udang dikisar halus)
Garam dan sedikit gula
Sedikit minyak untuk menumis

Cara Membuatnya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan kisar.
    Goreng hingga naik bau, masukkan cili, kunyit, garam dan 
    gula. Kacau sehingga garing.
2. Masukkan kelapa parut dan goreng hingga rata dan agak kering.
3. Sejukkan. Aku sediakan inti yang banyak dan sejuk bekukan.

Inti dan pulut untuk dibalut bersama


Resepi Pulut Udang

1 cawan pulut (direndam)
1 cawan santan*
Sedikit garam*
Sedikit mentega*
Bahan * dicampur dan dimasak sehingga mendidih seketika


Cara Membuatnya:
1.Kukus pulut sehingga masak.Angkat dan gaul dengan santan yang dimasak sehingga sebati.
2.Potong daun pisang dan layurkan.
3.Letakkan pulut di atas daun pisang. Masukkan inti kelapa dan balut rapat-rapat.
   Stapler di kedua-dua hujungnya. Buat sehingga selesai. (10 biji)
Daun pisang kecil...

Siap dibalut rapat

4. Bakar di atas kuali  sehingga warna daun pisang berubah. Tidak perlu
    lama kerana pulut sudahpun masak.
    
Hidangan berbuka puasa



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...