Isnin, 8 Jun 2015

Travelog : Oh! Riyadh - Umrah

 Umrah


Januari 2014

Kami berehat di bilik hotel bagi melepaskan rasa letih setelah berbelas jam di dalam kereta. Kami keluar pad pukul 1.00 pagi menuju ke Masjidil Haram  yang terletak kira-kira 150 m dari hotel kami. Suasana begitu sibuk dengan orang ramai di semua tempat. Kereta bertali arus di jalan yang terletak berhadapan dengan hotel tempat kami menginap. Suasana di Dataran Masjidil Haram berdepan dengan Mekah Tower begitu berbeza. Kami masuk ke dalam Masjidil Haram melalui King Abdul Aziz Gate untuk terus ke Dataran Kaabah bagi melaksanakan ibadah umrah. Orang memang ramai, suasana begitu sesak seolah musim haji. Semua negara-negara di Timur Tengah sedang bercuti sekolah menyebabkan ramai yang mengambil kesempatan menunaikan umrah. Lagi pula cuaca begitu nyaman sekitar 22 C ketika ini, masa yang paling sesuai untuk ke Mekah. Namun cuaca di Mekah tidak sesejuk cuaca di Riyadh.

Sentiasa dilimpahi ribuan jemaah unrah
Aku merasa begitu bersyukur kerana kami sekeluarga berpeluang menjadi tetamu Allah sekali lagi. Kedatangan kami kali ini berbeza kerana kami sedang berhijrah di bumi yang begitu dekat dengan tempat perjuangan Rasulullah saw. Sepanjang tawaf aku mengambil kesempatan untuk berdoa dan memohon keampunan dari Allah. Aku berazam untuk menggunakan setiap peluang yang ada untuk memperbaiki diri di bumi anbiya ini. Semoga Allah memberi keselamatan dan kemudahan bagi setiap urusan kami. Aku tidak lupa berdoa bagi semua ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga, bekas pelajar dan yang mengenali diriku. Ya Allah kepadaMu aku memohon agar kami semua dianugerah iman yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan tubuh badan dan fikiran, tercapai semua hasrat, dipanjangkan umur untuk melakukan amal soleh dan dimasukkan ke syurga tanpa hisab. Amiin Ya Rabb.

Melihat Kaabah saja kita akan mendapat pahala 

Kami selesai melaksanakan sai dan bertahalul sekitar pukul 2.30 pagi dan keletihan yang amat sangat. Kami hanya mengisi perut dengan ais krim yang dijual di kedai yang terletak di laluan ke hotel dan terus tidur dengan pakaian ihram.
Melaksanakan ibadah sai
Sewaktu minum pagi di restoran yang berada di tingkat 21, sambil menikmati pemandangan sekitar hotel yang terletak berdepan dengan Kompleks Istana Shafa di Bukit Qubais. Kami mengambil bilik untuk 3 orang dengan bayaran SR2600 bagi tiga malam termasuk sarapan pagi. Menu sarapan pagi penuh dengan juadah barat dan makanan Arab. Namun  restoran di tingkat 8 menyediakan menu tambahan berupa nasi goreng, khas bagi jemaah haji yang datang dari Malaysia dan Indonesia.

Istana Shafa di atas Bukit Qubais
Kelihatan Dataran Masjidil Haram dari hotel kami menginap
Kelihatan juga Mekah Tower

Kacang Foul, kegemaranku setiap kali ke Mekah

Kami memaksimumkan masa yang ada dengan berada di dalam Masjidil Haram. Suasana Masjidil Haram yang berada di depan mataku kini begitu berbeza dengan suasana pada tahun 2009. Banyak binaan sekitar sudah dirobohkan dan bangunan baru sedang dibina. Pembinaan Mataf bertingkat menambahkan lagi rasa kelainannya. Buat masa ini hanya tingkat atas mataf sahaja yang boleh digunakan kerana bahagian bawah sedang dalam pembinaan. Sekitar bulan Mei kedua-dua tingkat Mataf berbentuk cincin ini sudah boleh digunakan. Aku paling sedih apabila aku duduk di tangga-tangga yang ada di sekitar Dataran Kaabah. Aku tidak dapat lagi melihat pemandangan keseluruhan Kaabah seperti biasa. Pemandangan terhalang oleh mataf yang telah dibina buat sementara itu. Situasi ini mungkin akan berterusan sehingga tahu 2020, tahun dijangka siapnya projek pembesaran kawasan Masjidil Haram secara besar-besaran yang menelan belanja berbilion. Pemandangan yang terlalu berbeza berbanding pertama kali aku di sini ketika menunaikan fardhu haji pada tahun 1994. Satu demi satu kesan sejarah hilang seperti telaga air zam zam yang suatu masa dulu begitu hampir dengan Kaabah. Begitu juga bumbung-bumbung unik yang dibina Kerajaan Uthamaniyyah sedang di keluarkan untuk dibaikpulih. Semoga Makam Ibrahim kekal di situ.

Pelan pembesaran Masjidil Haram dipamerkan

Pemandangan yang sedikit sebanyak menganggu tumpuan jemaah

King Abdul Aziz Gate kini sudah tinggal sejarah
Kawasan solat  di tingkat dua juga tinggal sejarah
Kami juga mengambil kesempatan bertawaf di tingkat atas mataf, masa yang lebih pendek diperlukan untuk menyelesaikan tujuh pusingan kerana kurang kesesakan. Aku dan Saffura juga mengambil kesempatan untuk turut menunaikan solat jumaat di dataran Masjidil Haram. Kami terperangkap di dalam kesesakan setelah selesai solat Jumaat. Jemaah umrah berpusu-pusu mahu masuk ke dalam masjid lalu bertembung dengan jemaah yang mahu keluar dari masjid. Keadaan menjadi terlalu padat dan tolak menolak apabila ramai jemaah yang mahu mengambil kesempatan untuk memegang jenazah yang sedang dibawa keluar. Jeritan kanak-kanak dan kaum wanita kedengaran. Syukur kerana aku dan Saffura dapat melepasi kesesakan tersebut setelah hampir 30 minit terperangkap. Kami bertemu di tingkat 3 Safwah Tower untuk makan tengahari di Restoran D' saji milik Felda. Namun menunya tidak begitu menarik lalu kami makan nasi kabsah dari World Restaurant yang terletak bersebelahan dengan D'Saji.
Makcik dari Turki yang peramah ...layan aje lah

Suasana penuh meriah dengan orang ramai yang berziarah

Solat Jumaat di Dataran Masjidil Haram

Masa berlalu begitu cepat sekali dan kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal. Kami berazam untuk datang lagi dan kesedihan sewaktu melaksanakan tawaf wida tidak dapat dibendung. Hanya doa pengubat hati dan harapan menggunung agar berpeluang lagi ke sini.

Nasi lemah, roti canai, roti jala dan lauk pauk Malaysia...semuanya ada

Tempat membeli air zam zam

Kami menaiki teksi ke Kudai Parking dengan bayaran SR20 pada pukul 12.00 tengahari. Berhampiran Kudai Parking terletak pusat untuk membeli air zam zam bagi mereka yang menetap di Arab Saudi. Dengan menunjukkan  iqamah kami diberi peluang membeli sebanyak 4 botol air zam zam yang berkapasiti 10 liter setiap botol. Harganya pula SR5 bagi setiap botol. Dari Kudai Parking kita perlu membuat U-turn berdekatan Hotel Le Meridien. Jalan terus, kita akan jumpa beberapa lampu isyarat kemudian akan kelihatan papan tanda besar di sebelah kanan. Kita juga boleh membeli air zam zam di tepi jalan atau di kedai-kedai yang terletak di kawasan rehat yang berhampiran dengan Kota Mekah dengan harga SR15

Kami meneruskan perjalanan ke Taif.  Dari melalui laluan untuk ke Arafah dan seterusnya Universiti Umm Al Qura. Kami menaiki lebuh raya yang dibina membelah kawasan bergunung yang begitu tinggi. Walau bagaimana pun keadaan jalannya yang luas dan cantik menyebabkan kami tidak terasa begitu gayat. Kelihatan kereta kabel melintasi laluan melalui laluan kabel yang panjang. Aku begitu teruja melihat rupa bentuk deretan gunung-ganang yang begitu tinggi, besar dan gagah. Ianya penuh dengan batu-batu besar dan pejal tanpa tumbuhan di permukaannya. Sesekali kelihatan begitu mengerunkan.

Aku teringat kisah Rasulullah saw yang mahu menyampaikan Islam kepada penduduk Taif tapi ditolak.
Bahkan mereka mengusir dan melempar Rasulullah saw dengan batu hingga terluka. Lantas Rasulullah saw memperbanyakkan doa kepada Allah SWT. Malaikat Jibril datang kepada Rasulullah saw dan menawarkan untuk menghukum masyarakat Taif kerana telah berlaku kejam, dengan menimpakan satu dua buah gunung kepada mereka.
Namun Rasulullah saw menolak tawaran Jibril dan melarang malaikat Allah melakukan hal itu."Jangan engkau lakukan wahai Jibril. Mereka memperlakukan aku seperti ini kerana mereka belum tahu. Aku harap suatu saat keturunan mereka akan menjadi pengikutku"( Dari Blog merdeka.com)
Semoga akhlak Rasulullah saw yang begitu mulia mampu kita ikuti ketika kita dimusuhi dan dizalimi. Amiin.

Deretan gunung-ganang memenuhi alam.

Laluan jalan yang panjang dan berliku.

Berakhir lebuh raya yang tinggi dan curam - kelihatan papan tanda
Bandar Taif- Bandar Bunga Ros

Kami meneruskan perjalanan pulang, sesekali kami singgah makan, solat, ke tandas ataupun mengisi minyak.
Kami juga mendapat panggilan telefon dari Dr Abid dan Dr Saifullah yang turut berada di lebuh raya pada masa yang sama dengan kami. Mereka sempat singgah di Jeddah kerana menziarahi keluarga mereka di sana. Kami juga sempat tidur melepaskan rasa mengantuk yang tidak boleh ditahan lagi di kawasan rehat yang disediakan. Aku tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana kedengaran bunyi kereta yang semakin banyak memenuhi lebuh raya. Kereta dipandu dengan begitu laju dan aku terlalu yakin kelajuan terlebih jauh dari had laju yang dibenarkan iaitu 125 km/j. Aku hanya mampu mengelengkan kepala melihat cara pemandu di Arab Saudi  memandu kereta di lebuh raya.

Suasana malam di R&R lebih ceria, penuh dengan hiasan lampu
pelbagai warna.

Alhamdulillah kami sampai ke rumah pada pukul 11.00 malam. Semoga kami beroleh umrah mabrur.



                                                                                                                           zias/riyadh/15





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...