Ahad, 28 Jun 2015

Travelog : Oh! Riyadh - Wabak MERS


Wabak  MERS


April 2014

Cuaca mulai berubah menjadi semakin panas, alat penghawa dingin mula dipasang. Hujan juga turun beberapa kali di Riyadh. Kota Madinah juga menerima hujan yang agak lebat sehingga air memenuhi dataran Masjid Nabawi. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui kaca televisyen. Ribut pasir juga melanda Riyadh dengan agak kerap. Aku dan Saffura merasai kesan ribut pasir pada satu malam ketika keluar dari kedai H&M yang terletak di Olaya Street. Kami ke H&M untuk membeli baju yang akan Saffura pakai untuk persembahan nasyid di sekolahnya. Angin bertiup dengan kuat disertai dengan ribut pasir. Pedih terasa mukaku yang terdedah dan kami menggunakan tudung untuk menutup muka yang mula terasa sakit. Kelihatan beberapa pemuda menjual penutup muka dan air minum di dalam botol. Ramai yang menggenakan penutup muka bagi lelaki. Ketika ini aku terfikir kebaikan memakai niqab.

Wabak MERS mulai menyerang. MERS-CoV  atau Middle East Respiratory Syndrom Coronavirus mula dikesan di Arab Saudi pada tahun 2013. Tanda-tanda jangkitan bermula dengan selsema,demam,batuk,sakit tekak dan  sakit otot sehingga menyebabkan masalah lain. Seperti demam panas, radang paru-paru,batuk dan kesukaran bernafas. Ianya boleh mendatangkan masalah kesihatan seperti kegagalan fungsi ginjal, menyebabkan koma secara tiba-tiba seterusnya membawa maut. Ianya telah meragut banyak nyawa dan semakin bertambah bilangannya. Warga Malaysia dari Johor juga turut menjadi mangsa apabila pulang dari mengerjakan umrah. Penawar masih dicari bagi penyakit yang turut melanda Qatar dan negara Arab lain yang dikatakan berpunca dari unta.

Di Daar Adh Dhikr sesi membaca al Quran diganti dengan Musabaqah al Quran. Peserta terdiri dari semua pelajar-pelajar dari dua kelas yang berlainan tetapi sama tahapnya. Mualimah yang tidak mengajar kedua-dua kelas ditugaskan untuk mengendalikannya. Pelajar dikumpulkan di dalam sebuah bilik dan dipisahkan antara dua kumpulan. Mualimah menulis nombor soalan di papan putih untuk dipilih oleh wakil kumpulan yang dipilih oleh peserta kumpulan yang satu lagi. Markah 1-10 diberikan kepada wakil kumpulan yang menjawab soalan tersebut. Mualimah akan membaca surah al Quran mengikut nombor yang dipilih. Wakil kumpulan akan membaca ayat-ayat tersebut., ada yang perlu membaca dari awal surah dan ada pula di pertengahan surah tersebut. Semua peserta dari kumpulan lawan akan mengenal pasti kesalahan yang dilakukan oleh wakil tersebut. Markah akan ditolak dari kesalahan tersebut selepas perbincangan terhadap kesalahan dilakukan bersama. Yang pendiam biasanya menjadi mangsa termasuklah aku, tapi Alhamdulillah aku mendapat 7 /10. Ramai yang agak panik kerana terpaksa berdepan dengan bilangan peserta yang ramai. Walaupun kumpulan aku kalah tetapi ianya meninggalkan pengalaman yang manis untuk diingati.

Saffura pula tidak dibenarkan ke sekolah sehingga masalah kutu di kepalanya selesai. Aku kehairanan kerana Saffura sudah lama tidak mengalami masalah kutu di kepala selepas masuk ke darjah satu. Semasa di tadika memang ianya menjadi masalah sehingga aku berjumpa penawarnya. Penawarnya ialah dengan mengisar bawang putih lalu dicampur dengan minyak masak. Lalu dilumur kepada kepala dan dibiarkan untuk beberapa jam. Pihak sekolah menjalankan pemeriksaan ke atas semua pelajar dan pelajar yang mempunyai masalah tersebut tidak boleh hadir ke sekolah namun ada  juga beberapa pelajar yang tidak patuh kepada arahan tersebut. Alhamdulillah setelah aku menggunakan petua tersebut masalah selesai dengan cepat dan Saffura dibenarkan kembali ke sekolah.

Peperiksaan @ Iktibar Al Quran diadakan secara lisan. Mualimah Habsah dan Mualimah Mariam mengendalikan peperiksaan tersebut di sebuah bilik yang tertutup. Kami akan masuk secara sukarela seorang demi seorang sementara yang lain akan duduk menunggu di kelas masing-masing. Semua surah yang telah dihafal akan disoal dan diberi markah. Markah lulus ialah 80%, jika gagal mendapat markah tersebut pelajar tersebut perlu mengulanginya di penggal akan datang. Aku diuji dengan enam surah kecuali surah-surah Al Qariah, Al Insyirah dan Al Qadr. Ada soalan yang memerlukan aku membaca surah tersebut dari awal dan ada juga yang di pertengahan surah. Ianya betul-betul mencabar tapi seronok. Alhamdulillah.

Pada tanggal 27 April 2014 seluruh negara meraikan sambutan ke 9 tahun pemerintahan King Abdullah. Tiada cuti umum namun siaran televisyen KSA2 menyiarkan beberapa rancangan berkaitan dengannya.



                                                                                                                                          zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...