Seronoknya Ramadhan di Mekah dan Madinah
Januari 1996
Jatuh cinta dengan dua tanah suci, Mekah dan Madinah selepas menunaikan fardu haji pada tahun 1994 mendorong kami untuk ke sana lagi. Aku, suami dan rakan baik suamiku Tn Hj Zulkifli bersama rombongan dari Utas Travel Sdn Bhd berada di sana selama dua minggu sehingga hari raya pertama. Musim sejuk yang amat nyaman ditambah waktu siang yang pendek menjadikan suasana berpuasa ketika itu amat indah. Malam yang panjang membolehkan kami berada lebih lama di Dataran Kaabah, menunaikan sebanyak mungkin ibadah sunat. Waktu subuh pada sekitar 5.00 pagi begitu juga waktu berbuka sekitar 5.00 malam.
Tidak banyak yang boleh diingati kerana ketika itu jangan bermimpi untuk mengambil gambar sekitar Kaabah. Namun keseronokan berbuka puasa sekadar mengalas perut dengan kurma dan air zamzam masih terbayang di ruang ingatan. Kurma diedarkan dengan banyak sehingga ada jemaah umrah dari negara jiran membawa pulang ke negaranya setelah dikumpulkan. Dalam perjalanan ke Masjidil Haram, ramai yang akan menghulurkan pelbagai makanan yang dibungkus yang biasanya terdiri dari air kotak, roti dan yogurt. Sesekali mendapat bakhlava yang begitu manis dan sedap. Berebut tempat untuk menunaikan solat Tarawih di sepuluh malam terakhir Ramadhan menyebabkan aku kerap tersenyum sendirian apabila terkenangkannya. Mana kan tidak ruang untuk sujud terlalu terhad sehingga ada yang terkadang sujud di tubuh jemaah di depannya. Apalagi bising la jadinya. Masih basah di ingatan bagaimana kami menadah tangan hampir 10-15 minit lamanya sewaktu Imam Abdul Rahman Al-Sudais membaca doa qunut yang tersangat panjang sambil air mata bercucuran. Ketika itu kami bersolat ditepi jalan sekitar Masjidil Haram kerana orang terlalu ramai. Kami menunaikan solat sunat Hari Raya Aidil Fitri di Masjidil Haram dan sekali lagi menyambut hari raya di tanah air, syukur diberi peluang menyambut dua kali hari raya di tempat yang berbeza.
September 2009
Kerinduan untuk ke dua tanah suci begitu terasa setelah sekian lama tidak ke sana. Kesibukan semakin berkurang dan rezeki pun bertambah lalu kami menunaikan hasrat ke sana lagi. Musim panas melanda kedua tanah suci jadi cuacanya memang panas sehingga terasa begitu mencabar sekali. Suhu melebihi 40 C di awal pagi adalah perkara biasa dan kali ini kami tinggal di hotel berdekatan masjid yang dipanggil Masjid Kucing. Ketika itu sudah bermula proses pembesaran sekitar Masjidil Haram namun tidak seperti yang dilihat hari ini. Mekah Tower sedang dibina siang dan malam. Subuhnya sekitar pukul 4.00 pagi dan Maghrib pula sekitar pukul 7.00 malam. Cuaca yang amat panas terutama di waktu Zohor dan Asar sehingga Saffura yang baru berusia 7 tahun terpaksa ponteng berpuasa. Solat Tarawih di Mekah dan Madinah adalah sebanyak 20 rakaat dan para Imam akan memulakan bacaan seterusnya bermula dari Surah Al Baqarah. Ianya berlangsung hampir 2 jam namun orang ramai tidak berganjak untuk terus solat.
Suasana di Dataran Kaabah
sebelum wujud Mataf
bertingkat seperti sekarang.
Terasa luas dan lebih
mendamaikan.
Mekah Tower sedang
dibina tetapi hotel
di kiri dan kanan
sudah boleh diduduki.
Sekitar Masjidil Haram
berhadapan dengan
Safwah Tower dan
Hotel Hilton.
Laluan ke hotel.
Pintu masuk
paling hampir
ialah melalui
Safa dan Marwah.
Dalam perjalanan
pergi dan balik
akan melalui
rumah tempat
Rasulullah s.a.w
dilahirkan yang
dijadikan
perpustakaan.
Suasana hendak
berbuka puasa
di luar masjid.
Menunggu kurma
diagihkan.
Lepas solat
Maghrib balik
ke hotel untuk
makan yang
lebih berat.
Suasana sekitar
di luar Masjidil
Haram
berdekatan
kawasan sai.
Selesai solat
Tarawih.
Masih karpet
merah
digunakan.
Masih karpet
merah
digunakan.
Sukar untuk
dapat duduk
sebegini
di depan
Kaabah pada
masa kini.
Rindukan
suasana
sebegini.
Bersama ketua
rombongan umrah
di depan
Masjid Nabawi.
Payung masih
belum siap
sepenuhnya.
Hidangan berbuka
di Masjid Nabawi
lebih banyak
pilihan.
Menunggu
azan Maghrib
dilaungkan.
Julai 2014
Kami bertolak jam 7.00 pagi dan tiba di Hotel Crown Plaza pada pukul 4.00 petang. Pada asalnya kami hanya mahu meraikan sepuluh terakhir di Madinah sahaja kerana begitu sukar mendapatkan hotel yang agak dekat dengan Masjidil Haram. Kebanyakan hotel sudah ditempah dan harganya pula melebihi SR1000, ada yang mencecah SR2000-3000 untuk satu malam. Orang memang ramai dan kebanyakannya dari Turki, India, Mesir dan warga tempatan. Wanita Turki tidak kira usia memang pemurah dan aku kerap kali mendapat tabsih pelbagai warna dan saiz dari mereka. Solat Tarawih biasanya berakhir pada pukul 11.00 malam dan solat Tahajud pula bermula pada pukul 1.00 pagi dengan 10 rakaat yang panjang. Diakhiri dengan solat witir dan doa. Semuanya selesai pada sekitar 2.30 pagi. Selepas solat, makanan untuk sahur diberikan kepada para tetamu dan diadakan diluar Masjid Nabawi. Nasi Arab yang masih panas menjadi rebutan ramai.
Selepas solat Asar, aktiviti persiapan untuk berbuka bermula. Hamparan plastik dibentangkan dan pelbagai jenis makanan diletakkan. Satu jam sebelum masa berbuka kebanyakan tempat duduk sudah dipenuhi. Sebenarnya ramai yang lebih suka duduk di luar kerana lebih banyak pilihan makanan yang akan diperolehi. Termasuk nasi dan lauk pauk yang masih panas yang diedarkan di saat akhir. Di dalam masjid orang tidak begitu ramai. Kita tidak perlu membawa apa-apa bekalan sebab pasti kita akan mendapat set makanan. Kita akan diberi satu beg plastik berisi air jus/kosong, roti, kurma dan yogurt. Ianya diedarkan oleh petugas-petugas yang telah ditetapkan. sebaik sahaja kita duduk di tempat yang disediakan. Kebiasaannya makanan sentiasa berlebihan. Yang menarik di Madinah ialah diberikan sejenis rempah (jintan manis)yang sedap dimakan bersama yogurt atau roti. Kalau kita bernasib baik duduk bersama orang Arab tempatan, kita akan ditawarkan dengan kopi Arab dan pelbagai jenis manisan. Sewaktu keluar dari Masjid Nabawi selepas berbuka puasa, kita akan melihat ramai yang membawa beg-beg plastik yang mengandungi pelbagai makanan yang diperolehinya. Begitu ramai dermawan di Madinah.
Merasa duduk
di hotel dekat
dengan Masjid
Nabawi.
Set asas untuk berbuka
puasa di Masjid Nabawi.
Kurma memang banyak.
Bekas putih tertutup
ada rempah yang sedap
dimakan dengan roti
atau yogurt.
Terjumpa Bazaar
Ramadhan tidak
jauh dari Masjid
Nabawi.
Persiapan berbuka
sedang dilakukan.
Suasana berbuka
di sekitar
Masjid Nabawi.
Set berbuka
yang pelbagai.
Malam terakhir di Madinah, suamiku mencuba buat kali terakhir untuk melihat jika ada bilik hotel yang masih kosong di Mekah. Pahala mengerjakan umrah di bulan Ramadhan menyamai pahala mengerjakan haji. Pasti peluang yang ada mahu kami gunakan sepenuhnya. Alhamdulillan kami mendapat sebuah bilik di hotel biasa yang jauhnya dari Masjidil Haram sekitar 1 km. Keesokannya kami bertolak ke Mekah dan tiba di sana pada waktu petang. Sebaik sahaja tiba di checkpoint kami tidak dibenarkan meneruskan perjalanan dengan kereta. Ini untuk mengelakkan jemaah yang masuk ke Kota Mekah terus tinggal sehingga musim Haji yang akan datang. Kami menaiki teksi untuk ke hotel dan dalam perjalanan kelihatan Masjid Aisyah di Taneem.
Kami terus mengerjakan umrah dan sempat menunaikan solat Tarawih di bahagian Safa dan Marwah. Kami dalam keadaan keletihan yang amat sangat. Keesokannya pada waktu tengahari kami kembali ke Riyadh. Sehari selepas itu kami kembali ke tanah air untuk bercuti selama sebulan.
Tinggalkan kereta
di kawasan parkir
khas. Lebih kurang
20 km dari Kota
Mekah.
Orang memang ramai.
Mataf tingkat bawah
sudah siap dan boleh
digunakan.
Berbuka dengan
kenalan baru
dari Tunisia.
di sekitar Masjidil
Haram.
Meninjau di bangunan
baru Masjidil
Haram yang dibuka
sempena bulan
Ramadhan. Luas
dan cantik.
zias/riyadh/15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan