Selasa, 15 Disember 2020

Rasa Dapur KakJee (372) - Sup Ikan Tenggiri


BismillahirRahmanirRahim




Sup Ikan Tenggiri yang ringkas dan enak rasanya. Tidak disangka rasanya setanding dengan sup ikan merah yang biasa KakJee sediakan sekian lama. Mudah sahaja untuk disediakan. Cubalah.

Resipi Sup Ikan Tenggiri
Bahan2:
2 keping ikan Tenggiri - dibelah 4
1/2 biji bawang besar dihiris 
2-3 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris
1 sudu besar rempah sup jenama ADABI
4 jenis bahan penumis
Sedikit daun sup
Sedikit daun bawang
Sedikit bawang goreng
Sedikit minyak
Garam
Air

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia. Kacau sehingga
garing. Masukkan penumis.
2.Masukkan rempah sup, kacau dan dengan cepat masukkan sedikit air. Kacau sehingga pecah minyak. Masukkan air secukupnya bersama batang daun sup dan batang daun bawang. Biarkan mendidih.
3.Masukkan ikan dan garam. Apabila ikan hampir masak perlahankan api. 
4.Apabila ikan sudah masak, taburkan hirisan daun bawang, hirisan daun sup dan bawang goreng.
Sedap juga dimakan dengan roti.


Selamat Mencuba.












 

Jumaat, 4 Disember 2020

Visit My Malaysia - Pintasan Saloma, Kuala Lumpur

BismillahirRahmanirRahim





Hasrat untuk sampai ke Pintasan Saloma akhirnya terlaksana setelah beberapa kali mencuba. Mulanya kami ke sana sewaktu tengahari selepas menghantar pesanan buku travelog untuk pembekal buku di Petaaling Jaya. Buku Travelog Tunisia dan Travelog Arab Saudi adalah untuk negeri Pulau Pinang. Alhamdulillah.

Jom!

Kami ikut laluan di Kampung Bharu. Laluan yang diikuti agak sempit dan banyak kedai-kedai makan di sekitarnya. Mujur tidak banyak kenderaan seperti biasa dan mudah untuk parkir kereta di tepi jalan. Ada tangga namun kami memilih  menggunakan lif untuk naik ke atas bangunan yang menghubungkan Pintasan Saloma. Hanya aku dan Saffura sahaja di situ, kami bergambar sepuasnya. Kelihatan lebuhraya dan sungai di bawah Pintaasan Saloma. Disebaabkan cuaca yang agak panas, kami tidak terfikir untuk menyeberangi pintasan tersebut.

Kelihatan Menara Petronas dan Menara Public Bank

Takde orang

Pintasan Saloma dari Kampung Bharu ke KLCC

Kelihatan Lebuhraya AKLEH


Tidak puas hati, kami ke sana lagi selepas beberapa hari. Kali ini pada waktu malam pula. Laluan yang sama namun kali ini kami menaiki tangga kerana ada ramai pengunjung di situ. Panorama di waktu malam sangat cantik. Penuh dengan cahaya dan berwarna warni.


Cantik!

Laluan dari arah Kampung Bharu


Kian ramai pengunjung





Kami menyeberangi Pintasan Saloma yang membawa kami ke KLCC.

Menara Berkembar tertinggi di dunia 

Suasana tenang .

Lebih mudah untuk ke Pintasan Saloma melalui jalan ini. Dari KLCC anda perlu melintas jalan dan ikut jalan di hadapan nz Curry House. Jika berkereta, ambil jalan ke Menara Public Bank, ada kawasan parkir di belakang bangunan  Menara Public Bank dan anda hanya perlu berjalan beberapa meter sahaja untuk ke Pintasan Saloma.


Papan Tanda untuk ke Pintasan Saloma. Tak sesat dah.


Laluan untuk ke Pintasan Saloma. Jalan terus sahaja.

Laluan ke Pintasan Saloma melalui arah KLCC

Pencahayaan bertema

Nota Pintasan Saloma

Laluan dari arah KLCC


Pintasa Saloma mula dibuka pada tahun 2020 dan merupakan laluan pejalan kaki bertingkat terpanjang tanpa tiang di Malaysia. Reka bentuk Pintasan Saloma diillhamkan dari gubahan tradisi Sirih Junjung yang simbolik kepada konsep perpaduan masyarakat Melayu. Pintasan Saloma menjadi penghubung utama pejalan kaki di antara Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Kampung Bharu. Jarak keseluruhan Pintasan adalah 370 meter dan struktur utama Pintasan Saloma adalah laluan pejalan kaki bertingkat yang berbumbung sepanjang 69 meter merentasi Sungai Klang dan Lebuhraya AKLEH. Pintasan Saloma telah menjadi salah satu struktur ikonik di bandaraya Kuala Lumpur. Struktur bumbung besi yang melengkung dan dilitupi oleh 4,100 keping panel berbentuk berlian serta dilengkapi dengan impak seni pencahayaan bertema pada waktu malam menjadikannya unik. Orientasi pemasangan kemasan lantai di sepanjang laluan disusun mengikut arah kiblat bagi menwujudkan kesinambungan antara Pintasan Saloma dan Taman Perkuburan Islam Jalan Ampang.











 

Khamis, 26 November 2020

Rasa Dapur KakJee (371) - Rendang Ayam Cili Padi @ Negori

BismillahirRahmanirRahim





Rendang Ayam Cili Padi ini amat KakJee suka. Pernah sekali cuba buat tetapi warnanya lebih hijau berbanding kuning. Mungkin disebabkan penggunaan cili padi berwarna hijau. KakJee lebih suka warna rendang yang kekuningan. Kali ini KakJee guna cili padi yang berwarna kuning dan oren, jika ada yang merah lebih bagus. Resipi ini diberi seorang rakan, orang Negeri Sembilan. Namun KakJee ubah sedikit dengan menumis bahan yang dikisar dalam minyak. Resipi asal tidak tumis terlebih dahulu. Terus sahaja direneh ayam bersama bahan kisar dan santan cair sehingga ayam kecut.

Untuk menyediakan rendang ayam, KakJee lebih suka menggunakan ayam kampung. Teringin juga untuk guna ayam pencen namun sukar untuk didapati. Ayam Kampung jenama AzZain pun okay juga.

Resipi Rendang Ayam Negori
Bahan2:
1 ekor ayam kampung dipotong ikut saiz yang sesuai
1 1/2 inci kunyit hidup*
1 1/2 inci lengkuas* (lebihkan kepada 2 inci jika rendang daging)
1 genggam cili padi* (lebihkan jika mahu lebih pedas)
Bahan * dikisar bersama.
3 batang serai diketuk hancur (ambil agak panjang-sejengkal)
1 1/2 cawan santan pekat ( 1 1/2 biji kelapa)
2 sudu besar kerisik
1 helai daun kunyit
4-5 helai daun limau purut
Minyak masak
Garam

Cara Membuatnya:
1.Panaskan 1 senduk minyak masak dan tumis semua bahan kisar sehingga wangi.
2.Masukkan ayam dan masak sehingga ayam kecut sedikit. Masukkan santan cair dan masak sehingga ayam kecut.
3.Masukkan santan pekat, kerisik dan serai. Masak hingga agak pekat.



4.Masukkan daun kunyit, daun limau kerisik dan perisakan dengan garam.



Selamat Mencuba.

 

Isnin, 23 November 2020

Visit My Malaysia - Gunung Ledang, Tangkak, Johor.


BismillahirRahmanirRahim




Musim buah duku di Muar, Johor  mendorong kami untuk ke sana awal September. Harga buah duku di Kuala Lumpur agak mahal iaitu RM10 sekilogram. Mencekik darah betul. Rugi pula jika ke Muar hanya sekadar membeli buah duku. Jadi kami mengambil keputusan untuk ke Taman Negara Gunung Ledang yang terletak di Tangkak. 


Simpang selepas Tol Tangkak


Sampai di Pekan Tangkak, terus nampak gerai-gerai menjual buah duku. Terus singgah beli RM20 untuk 3 kilogram. Manis buahnya. Pekan Tangkak agak sunyi, tidak seperti di tahun 1990an, ianya begitu terkenal seluruh negara dengan jualan langsirnya. Selepas kewujudan Nilai 3, terus hilang kemasyuran tersebut. Ada banyak papan tanda untuk ke Taman Negara Gunung Ledang, perjalanan diteruskan ke Sagil.

Tu dia Gunung Ledang.


Info berkaitan taman ini


Bayaran RM1 untuk dewasa dan yuran parkir kereta RM2. Untuk mendaki Gunung Ledang bermula pada pukul 8.00 pagi bersama guide Taman Negara dengan bayaran tertentu. Kami tidak berhasrat untuk mendaki gunung tertinggi di selatan Semenanjung Malaysia ini. Ketinggiannya adalah 1,276 meter. 


Pokok anggerik di kawasan parkir

Terus kami melangkah masuk ke kawasan sekitar mengikut tanda arah ke air terjun. Ada taman herba namun kelihatan tidak berfungsi maklumlah lama kawasan ini ditutup akibat pandemik Covid19.  Kami mengikut sahaja laluan yang disediakan. Semakin lama kelihatan hutan dan kedengaran bunyi deruan air. Seronoknya melihat aliran air yang jernih mengalir di celah batu batan yang pelbagai saiz.

Jom masuk ke dalam hutan.

Ada kawasan mandi manda, kelihatan beberapa keluarga bersama anak-anak sedang mandi. Sekumpulan remaja sedang membakar makanan yang dibawa. Tidak disangka ramai yang ke sini untuk mandi-manda kerana lebih privasi.


Sejuk airnya

Terpegun tengok pokok-pokok besar yang berusia

Waah ada laluan ke kawasan yang lebih tinggi


MasyaAllah ada air terjun di sini.

Best!


Suasana lebih tenang

Seronoknya

Ada tempat berkelah


Ada undang2 ya


Air jernih, banyak ikan

Pokok tinggi menjadikan suasana agak gelap

Jom la turun

Tingginya

Ada kabin hutan dan chalet, namun sudah terbiar. 

Kisah Puteri Gunung Ledang

Kawasan mandi berdekatan kabin hutan dan chalet

Info lagi

Nak balik dah


Masih ada masa lagi untuk kami singgah di Hutan Lipur Gunung Ledang, tidak jauh dari Taman Negara Gunung Ledang. Tempat ini terkenal kerana ada Air Terjun Sagil. Oleh itu ianya  D menjadi tumpuan orang ramai untuk berkelah dan mandi manda bersama keluarga. Sepanjang aliran sungai penuh dengan orang ramai.


Jauh juga kena jalan masuk ke dalam dari kawasan parkir

Kawasan terbuka

Ramai betul



Kita makan dulu

Ada gerai jualan

Ada resort yang cantik


Tidak mampu lagi untuk terus berjalan ke air terjun. Kami meneruskan perjalanan ke Muar, sempat juga pusing-pusing sekitar Bandar Muar. Hasrat untuk menikmati mi bandung yang terkenal tidak kesampaian. Kebanyakan kedai ditutup. Sempat aku membeli 2 kilogram lagi buah duku dengan harga RM7 sekilo. Yang dibeli di Tangkak tadi sudah hampir habis.


Gerai menjual buah duku

Sempat singgah di Jeti Parit Jawa, Muar.





Melepasi Bandar Muar arah ke Melaka, lebih banyak buah duku dijual di tepi jalan. Kali ini harga yang ditawarkan lebih murah iaitu RM5 sekilogram. Aku pun singgah beli lagi 6 kilogram untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah sampai di rumah waktu malam. Puas menjamu mata melihat keindahan hutan Khatulistiwa yang masih dipelihara di Malaysia. Puas makan buah duku...11 kilogram tu.😀😂😂



 

Ramadan Mubarak 1445H/2024M

BismillahirRahmanirRahim   Assalamualaikum. Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan ber...