BismillahirRahmanirRahim
![]() |
Cucur jagung yang rangup di luar dan lembut di dalam. |
Ramai dah orang sekarang mula mencari tepung tanpa gluten demi mencuba gaya hidup yang lebih sihat. Pakar pemakanan sering membuat perkaitan antara penyakit dan tabiat pemakanan rakyat Malaysia. Pelbagai penyakit kronik dikaitkan dengan tiga bahan utama yang terdapat pada menu kita. Gula putih, tepung gandum dan susu dikatakan antara bahan yang perlu dielakkan jika mahu pulih daripada pelbagai penyakit kronik.
Kak Jee pun dah mula berpantang dengan tiga jenis sumber makanan tersebut semenjak diserang penyakit gerd dua tahun lepas. Gula putih Kak Jee gantikan dengan gula kelapa, susu memang tak ambil dan diganti dengan banyakkan makan sayur hijau sebagai sumber kalsium. Untuk tepung gandum agak sukar, pernah beberapa kali beli tepung tanpa gluten di pasaran namun harganya amatlah mahal. 250 gram mencecah RM30.00. Yang kecewanya, rasanya tak sedap dan agak keras. Malas nak beli lagi.
Baru-baru ni Kak Jee cuba buat cucur jagung tanpa tepung gandum. Kak Jee guna tepung beras dan tepung ubi kayu, mulanya jadi cair. Mungkin terlebih air, Kak Jee buangkan air dan tambah tepung semula. Gaul perlahan-lahan sampai boleh dijemput adunan tersebut dan goreng seperti biasa denga minyak.
Sungguh tak disangka, rasanya lembut dan agak rangup. Lagi sedap berbanding dengan tepung gandum.
![]() |
Hasil kali pertama. |
Kali kedua buat, bertambah sedap sebab Kak Jee tambahkan daun kunyit yang dihiris halus. Ada kawan yang mencadangkannya. Sedap dan wangi cucur jagung kali ini sehingga dipuji.
Jomlah cuba.
Resipi Cucur Jagung Bebas Gluten
Bahan2:
2 tongkol jagung segar yang diambil isinya
2 cawan tepung beras
2 cawan tepung ubi kayu
1 biji telur
1/2 biji bawang besar dihiris dadu
1 biji cili merah dihiris
Daun bawang dan daun sup yang dihiris atau daun kunyit
Garam
Air sejuk dari peti ais
Sedikit sebuk kunyit
Minyak masak kelapa sawit secukupnya
Cara Membuatnya:
1.Masukkan semua bahan dalam senarai kecuali air sejuk ke dalam sebuah bekas yang sesuai saiznya. Gaul rata semua bahan, baru masukkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh dijemput dengan tangan. Jangan terlalu cair.
2.Goreng dalam minyak yang banyak sehingga garing ikut pilihan masing-masing.
Selamat mencuba, anda pasti suka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan