Selasa, 26 April 2022

Visit My Malaysia - Tangga Putrajaya Steps


BismillahirRahmanirRahim


Didoakan semua yang berkunjung ke blog ini dikurniakan kesihatan agar terus dapat beramal sebaiknya di bulan Ramadan yang masih berbaki.

Aku nak berkongsi maklumat berkaitan monumen terkini kat Putrajaya. Mana tahu kot ada yang tak balik kampung dan mahu menghabiskan masa sekitar Putrajaya. Khas untuk penduduk Lembah Klang.

Bagi kami sekeluarga, sudah dua tahun kami bersiar di Putrajaya sewaktu PKP dua tahun  lepas.

Tangga Putrajaya ini terletak di laluan utama menuju ke Masjid Putra atau Pejabat Perdana Menteri. Ianya aalah kesinambungan laluan pejalan kaki dari Dataran Putra melalui Laman Perdana naik ke Mercu Tanda di Taman Putra Perdana.


Aku dan suami berkereta ke Taman Putra Perdana dan meletakkan kereta di kawasan parkirnya. Bulan puasakan tak larat nak jalan jauh kemudian panjat tangga. Waktu tu dah hampir tengahari dengan cahaya yang terang benderang.

Hanya aku yang turun sehinggake kawasan lantai, ambil gambar dan menaiki tangga semula untuk ke kereta. Disebabkan struktur pembinaannya agak mesra pengguna, tak lah letih sangat rasanya.

Pemandangan dari atas.


Pembinaan tangganya tidak terlalu curam dengan 248 anak tangga yang lebarnya tiga meter. Yang bagusnya ada empat plaza dan 14 tapak hentian rehat. Jadi tak letih sangat. Dianggarkan setinggi 30 meter.


Mujur ada pengunjung lain tolong ambik gambar.

Nampak memang tinggi untuk ke mercu tanda,

Panjat pelan2

Naik balik ke atas.

Iklan jap.

Cuaca memang cun.

Kawasan ini memang sesuai untuk riadah dan exercise kerana luas dan berbukit-bukit.

 

Selasa, 19 April 2022

Rasa Dapur KakJee (410) - Lasagna Segera

BismillahirRahmanirRahim




Sejak awal puasa, sibuk Saffura nak makan lasagna. Nak beli yang frozen, belum tentu sedap. Kebetulan semua bahan lain ada kecuali daging kisar, yang menjadi bahan utama untuk buat lasagna.

Tiba-tiba KakJee teringat ada lauk kambing yang disejukbeku yang diberi jiran sebelum puasa. Sedap sangat lauknya. Dapat la idea untuk guna daging tersebut. Lepas bersihkan, KakJee masak bersama sos pasta jenama Adabi. Letak daun bay dan sedikit serbuk oregano. Kacau sampai kering.

Lepas tu buat proses seperti biasa. Jom tengok cara buat.

Resipi Lasagna Mudah
Bahan2
Inti daging
3 keping lasagna direndam  sehingga lembut.
Mozarella cheese

Sos Putih
30 gram mentega
30 gram tepung gandum
250 ml susu segar
Secubit garam 

1.Panaskan mentega dalam periuk sehingga cair. Masukkan tepung gandum dan kacau sehingga sekata.
2.Masukkan susu segar dan garam. Kacau sehingga pekat. Sejukkan.

Cara Membuatnya:
1.Sapu mentega pada permukaan pembakar.
2.Letakkan inti daging dan ratakan.
3.Lapiskan dengan sekeping lasagna (jika basah, keringkan terlebih dahulu).
4.Letakkan sos putih dan ratakan.
5.Ulang sehingga selesai supaya dapat sekurang-kurannya tiga lapisan. Atas sekali mesti sos putih.
6.Akhir sekali taburkan cheese.
7.Bakar pada suhu 150 darjah celsius sehingga cheese berwarna keperangan.



Selamat Mencuba.




Isnin, 18 April 2022

Visit My Malaysia - Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam, Selangor

BismillahirRahmanirRahim



Rabu lepas saya dan suami ke Pustaka Raja Tun Uda yang terletak di kawasan elit Shah Alam. Merupakan perpustakaan milik Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Ada tujuan penting ke sana iaitu untuk meminjam buku Warkah Eropah, tulisan Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said.

Buku yang dicari.


Laluan dari tempat parkir ke bangunan perpustakaan, kami dihidangkan dengan pemandangan tasik yang begitu mendamaikan. Tenang airnya dan kelihatan hijau airnya. Hasil pantulan rimbunan pohon serba hijau di sekelilingnya. Pokok teratai bertaburan di bahagian tepi kolam dengan bunga berwarna pink. Cantik sungguh, masya-Allah.

Kami terus ke tingkat 4 setelah mendapat maklumat di kaunter lobi, di mana buku tersebut berada. Sekali lagi kami dibantu oleh pegawai bertugas untuk mengambil buku tersebut di rak. Buku yang bersaiz besar dengan hard cover itu tidak boleh dipinjam bawa balik, hanya untuk rujukan sahaja. Namun dibenarkan membuat salinan, kemudahan juga disediakan.

Setelah puas membelek buku tersebut, aku mengambil keputusan untuk membelinya di Dewan Bahasa Dan Pustaka walaupun harganya agak mahal iaitu RM120.00. Aku perlukan buku tersebut untuk rujukan bagi menyudahkan manuskrip Travelog Eropah 2 yang sedang disiapkan. Secara tak langsung ianya juga sebagai sumbangan menghargai jasa besar yang telah disumbangkan oleh beliau dalam dunia sastera dan pembukuan negara.

Buku ini mengandungi catatan peribadi beliau selama enam minggu berkelana di Perancis dan England sekitar tahun 1989.

Setelah buku tersebut dikembalikan ke raknya, aku ke komputer untuk mengetahui di mana buku aku berada. Sudah setahun buku Travelog Arab Saudi : Winter D'Riyadh dan Travelog Tunisia : Semanis Kurma Deglet Nour di beli oleh PPAS. Alhamdulillan ada tapi hanya WInter D'Riaydh sahaja, mungkin buku Tunisia belum habis diproses.



Suasana di tingkat dua juga begitu tenang dengan pengunjung sibuk mentelaah di meja masing-masing. 



Kami ke rak dan mencari kedudukan buku tersebut yang dilabel 915.3804 Fa. AllahuAkbar, sukanya hati ini melihat buku tersebut berdiri gagah bersama buku-buku lain tapi hanya sebuah sahaja. Yang satu lagi sudah dipinjam orang.



Jom la ambik gambar.





Alhamdulillah hasrat agar buku-buku saya berada di perpustakaan awam sudah dicapai. Semoga lebih bersemangat untuk terus menulis. Doakan ya agar buku-buku lain pun dapat masuk ke sini dan perpustakaan seluruh negara. Amiin.

Sebaik aku letakkan kembali buku WInter D'Riyadh kat tempatnya, ada yang mengambilnya. Huuh mujur kami cepat sikit, kalau tak pasti kecewa tak boleh ambil bersama.


Ngendap jap

Dah kena ambik


Sebelum melangkah keluar dari tingkat dua, ternampak kata-kata Prof Khoo Kay Kim. 
Insya-Allah akan buat yang lebih baik lagi selepas ini.


Ingat tu!

Bagus betul layanan kaki tangan Pustaka Raja Tun Uda yang memberikan kami layanan First Class. Sehingga dihantar ke tempat parkir kereta. Terima kasih.


Dah lama perkhidmatan ini, kami yang tak tau.

Rasa teruja sebab buku berada di perpustakaan mendorong saya untuk menghubungi kenalan di Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang cawangan Taman Makok. Puan Liza membantu saya dengan mengambil gambar buku-buku saya di rak. Hanya ada buku Travelog Bosnia & Herzegovina dan Travelog New Zealand. Dua buku lagi dipinjam orang.


Sukanya


Inilah antara nikmat terbesar dalam kerjaya saya sebagai penulis buku travelog. Ialah semenjak terlibat secara sepenuh masa pada tahun 2020.

Alhamdulillah.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan." 

Surah Ar-Rahmaan.



Khamis, 14 April 2022

Rasa Dapur KakJee (409) - Sambal Tumis Sotong Kering

BismillahirRahmanirRahim



Rezeki  dari Sabah.  Beberapa hari sebelum Ramadan tiba, saya menerima kiriman PosLaju pelbagai jenis hidupan laut yang dikeringkan.Ya Allah...  terkejut sungguh apabila bungkusannya dibuka. Ikan bilis, udang kering, geragau kering, ikan kering, sotong kering termasuk belacan Sabah.

Pengirim yang baik hati ni bernama Nazifah, yang saya kenal asbab beliau membeli 9 buah buku travelog saya. Sudahlah beli banyak buku, bagi hadiah pula ni. Masya-Allah terharu dengan ukhuwah ini. Beliau berasal dari negeri Pahang dan kini bertugas sebagai seorang guru di Kudat.

Jadi saya pun berkongsi rezeki tersebut dengan saudara mara dan jiran tetangga, agar pahalanya tersebar dan lebih  ramai yang dapat merasanya. Ya Allah kurniakan kesihatan dan rezeki yang melimpah ruah buat Cikgu Nazifah.

Tibalah masanya KakJee buat sambal tumis, kegemaran KakJee dan Saffura. Tak susah sebab stok Ibu Sambal sentiasa ada dalam peti sejuk. Resipinya ada di sini. https://memoryziasaf.blogspot.com/2020/02/rasa-dapurku-323-ibu-sambal.html

Ni hah kirimannya.

Resipi Sambal Tumis Sotong Kering.
Bahan2
1 ekor sotong kering
1 senduk ibu sambal
Air asam secukupnya
1 biji bawang besar dihiris
Garam secukup rasa

Cara Membuatnya:
1.Rendam sotong di dalam air semalaman atau awal pagi hari kejadian.
2.Hiris nipis dan rebus sebentar supaya betul-betul lembut.
3.Panaskan ibu sambal, perisakan dengan air asam dan garam. Bila mendidih, masukkan sotong dan masak hingga lembut.
4.Masukkan bawang besar dan perlahankan api. Biarkan pecah minyak dengan elok baru tutup api.

Sedap dihidang dengan nasi lemak, nasi lemuni atau nasi ulam utara.






Selamat Mencuba dan berbuka.




 

Sabtu, 9 April 2022

Rasa Dapur KakJee (408) - Kuih Vadei

BismillahirRahmanirRahim




Semalam Kak Jee buat Kuih Vadei, antara kuih kegemaran. Rupanya kacang dal ni banyak sangat khasiatnya, sebab itu ianya digunakan dalam pelbagai masakan. Biasanya kita buat dalca la, huuh sedapnya.

Kacang dal ni tinggi kandungan kalsium, protein, kaya dengan serat, mengandungi flavoneid, zat besi, vitamin E, antioksidan serta zat galian lain. Harganya pun murah, sebab itu ianya menjadi pilihan ramai terutama bagi mereka yang mengamalkan  diet vegetarian.

Resipi ini daripada guru penulisan Kak Jee, Puan Sri Diah Shaharuddin. Sedap sungguh kerana ianya garing di luar dan lembut gebu dalamnya. 

Resipi Vadei Terlampau
Bahan2:
1 mangkuk kacang dal - direndam 4 jam
2 labu bawang besar - dihiris
3 bijicili merah - dihiris
3 biji cili hijau - dihiris (tak masuk)
3 sudu besar jintan manis
5 tangkai daun kari
Garam dan bahan perasa
Minyak untuk menggoreng

Cara Membuatnya:
1.Asingkan lebih kurang segenggam kacang dal. Selebihnya dimesin dengan  kira-kira secawan air hingga hancur.
2.Tapis airnya.
3.Campurkan kacang yang hancur tadi bersama semua bahan lain, gaul supaya sekata.
4.Panaskan minyak ( guna banyak minyak supaya boleh tenggelam) tapi jangan biar terlalu panas. Api biar sederhana sahaja. Ambil sedikit doh dan bentukkan, biar mampat dan kering.
5.Goreng sampai dah garing baru terbalikkan (bila perlu). Jangan goreng terlalu banyak dalam satu masa. Baru helok kejadiannya.
6.Sudah garing kedua belah, boleh angkat dan toskan. 


Selamat mencuba, serius memang sedap.





 

Jumaat, 8 April 2022

Sanah Helwah Saffura

BismillahirRahmanirRahim




Belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa Ramadan tahun ini kepada semua pembaca blog saya. Syukur yang tidak terhingga kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk sekali lagi berada di bulan yang berharga ini.

Didoakan agar kita semua dapat menghabiskan puasa pada tahun ini dalam keadaan yang sihat walafiat. Bertemu lagi pada bulan-bulan Ramdan yang berikunya. Diberi rezeki bertemu dan mendapat manfaat malam Lailatul Qadar yang hanya muncul setahun sekali. Aamiin.


Tahun ini sambutan hari lahir Saffura disambut dalam bulan puasa. Umur dah mencapai 20 tahun ni, macam-macam pula permintaannya. Nak bunga segar dan kek aiskrim jenama Baskin Robbins la pulak. Mujur ada kat Aeon Mall, tak jauh dari rumah. Bolehlah layan.

Bunga ros ni ditempah dengan jiran setaman. Mudah dan cantik.

Ambik gambar lepas buka puasa.

Seadanya sahaja.

Keknya. Cepat cairnya.

Dah boleh potong kek.


Tmpang sekaki.


Cepatnya masa berlalu, sudah semakin dewasa anak mama. Semoga sentiasa dalam rahmat dan perlindungi Allah sepanjang hayat.



08042022
6 Ramadan 1443H

Ramadan Mubarak 1445H/2024M

BismillahirRahmanirRahim   Assalamualaikum. Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan ber...