Isnin, 26 Julai 2021

Rasa Dapur KakJee (391) - Beef Lasagna



BismillahirRahmanirRahim




Aduhai KakJee memang sukan sangat dengan Lasagna dan kebanyakan makanan barat.  Lasagna paling sedap yang pernah KakJee rasa ialah di Ancasa Hotel Kuala Lumpur. Waktu itu KakJee sebagai Pengerusi Kelab Guru dan AJK memilih tempat tersebut untuk jamuan akhir tahun. Namun KakJee agak terkilan kerana tidak dapat makan dengan puas, maklumlah banyak tugas menanti.

Sejak itu KakJee memang menanam keinginan untuk membuat sendiri Lasagna sebab bila beli ada saja tak puas hati. Alhamdulillah akhirnya KakJee dapat resipi yang agak mudah dan disesuaikan dengan rasa sendiri.

Resipi Beef Lasagna
Bahan2:
3 keping lasagna direndam  sehingga lembut.
Mozarella cheese
Cheddar cheese (tak letak)


Kepingan lasagna

Inti Bolognese
200 gram daging kisar jenama ADABI
3 sudu besar sos bolognese jenama ADABI
1 biji bawang  Holland dipotong dadu
1/2 biji capsicum hijau dipotong dadu
1 biji tomato dipotong dadu
Carrot dipotong dadu (ikut banyak mana)
Cendawan butang dipotong dadu (tak letak)
3 biji cili padi dihiris nipis
1 sudu besar sos lada hitam
1 sudu kecil serbuk lada hitam
Garam
Sedikit oregano
Sedikit basil
Sedikit thyme
Minyak zaitun
Sedikit mentega

1.Panaskan minyak zaitun dan mentega. Masukkan bawang dan kacau sehingga sedikit perang. Masukkan daging kisar dan kacau sebentar. 
2.Masukkan semua bahan lain dan masak hingga hampir kering. Sejukkan.

Sos Putih
30 gram mentega
30 gram tepung gandum
250 ml susu segar
Secubit garam 

1.Panaskan mentega dalam periuk sehingga cair. Masukkan tepung gandum dan kacau sehingga sekata.
2.Masukkan susu segar dan garam. Kacau sehingga pekat. Sejukkan.

Cara Membuatnya:
1.Sapu mentega pada permukaan pembakar.
2.Letakkan isi bolognese dan ratakan.
3.Lapiskan dengan sekeping lasagna (jika basah, keringkan terlebih dahulu).
4.Letakkan sos putih dan ratakan.
5.Ulang sehingga selesai supaya dapat sekurang-kurannya tiga lapisan. Atas sekali mesti sos putih.
6.Akhir sekali taburkan cheese.


7.Bakar pada suhu 180 darjah celsius sehingga keperangan atasnya.
8.Sedap dimakan sewaktu panas.



Dah masak.

 Selamat Mencuba.

Jumaat, 23 Julai 2021

Aidiladha Vs Vaksin.

BismillahirRahmanirRahim



Alhamdulillah, kita dapat menyambut suasana Hari Raya Aidil Adha 1442H/2021M. Walau masih dalam suasana PKP, hanya diraikan di rumah sendiri bersama ahli keluarga. Pastinya persediaan seringkas yang boleh. 

Sebenarnya KakJee dan suami tidak perasan temu janji untuk suntikan vaksin Sinovac untuk Covic-19 yang kedua adalah pada hari raya. Kira-kira tiga hari sebelum tarikh tersebut baru kami menyedarinya. Serba salah juga apabila memikirkan waktu untuk solat sunat Aidiladha.

Jadi KakJee memasak terlebih dahulu beberapa jenis juadah seperti sate, kuah kacang dan Karahi Ayam. Semuanya disejuk beku setelah siap dimasak. Tinggal merebus ketupat nasi sahaja sehari sebelum hari raya. KakJee tak mahu terlalu letih, sebagai persediaan untuk disuntik nanti.

Sarung ketupat yang dianyam suami.

Pukul 8:30 pagi, KakJee dan suami ke MIECC untuk menerima suntikan vaksin Sinovac. Kernderaan berderet menanti giliran untuk di parkir di ruang yang disediakan. Ada petugas yang meminta kami menunjukkan temu janji di MySejahtera sebelum dibenarkan masuk ke dewan. Kali ini tidak dibenarkan pengiring mengikut peserta yang akan disuntik.

Di checkpoint pertama, ada petugas yang meminta kami membuka aplikasi MySejahtera untuk menjawab beberapa soalan. Lama juga. Kemudian ke checkpoint seterusnya, kami ditunjukkan laluan khas untuk mereka yang akan mengambil suntikan kedua. Petugas agak ramai dan peserta dipisahkan mengikut kategori doa pertama atau kedua.

Di checkpoint seterusnya kami diberi nombor dan  diminta duduk menanti giliran untuk ke meja yang disediakan. Kemudian bertemu dengan petugas di meja yang ditetapkan, MySejahtera dan borang yang sedia ada (diisi semasa suntikan pertama) diperiksa. Sampai di dewan untuk disuntik yang terletak di tingkat atas, kami terus disuruh duduk menanti giliran. Tidak perlu berjumpa dengan doktor yang bertugas.

Kerusi disusun dan kami duduk mengikut giliran untuk dipanggil ke bilik suntikan. Di depan bilik suntikan, kami disuruh duduk sekali lagi sebelum dipanggil misi yang bertugas. Kali ini KakJee berkongsi bilik di mana ada dua orang misi dan dua orang peserta. Mulanya KakJee tidak berapa setuju, ialah nanti nampak aurat pula. Mujur peserta seorang lagi adalah wanita juga sewaktu KakJee hendak disuntik.


KakJee meminta izin untuk melihat proses suntikan, maklumlah sudah ada beberapa kes dimana peserta disuntik tanpa vaksin di dalam picagari. Dibuktikan melalui beberapa rakaman video yang viral di media sosial. Misi yang bertugas pun menunjukkan cecair vaksin yang disedut dalam picagari sebanyak 0.5 ml. Tengok juga la jarum dicucuk ke sebelah atas lengan sebelah kiri. Baru puas. Alhamdulillah.

Selepas disuntik, kertas nombor giliran 2092 dan surat yang ditandatangani diserah kepada petugas dan KakJee disuruh duduk di ruang yang disediakan. Apabila nama dan nombor dipanggil, KakJee diberi semula surat tadi dan KakJee meminta tunjuka ajar bagaimana untuk mendapatkan sijil yang menunjukkan KakJee sudah menerima suntikan lengkap. Waah seronoknya. Siap disuntik pada pukul 9.00. Cepat kan.

Langkah setrusnya, kami berdua mengambil gambar kenangan peristiwa bersejarah ini. Semoga Allah melindungi kita semua daripada wabak merbahaya ini. Aamiin. 



Sampai di rumah, cepat-cepat mandi dan bersedia untuk sarapan juadah yang sudah disediakan. Kemudian solat sunat hari raya, bergambar dan berehat.











Tahun ini KakJee melaksanakan ibadah korban di Uganda, tahun ketiga dah. Kali ini KakJee menamakan pahala korban untuk kakak KakJee iaitu Puan Jamilah Abdul Hamid. Semoga ibadah diterima Allah SWT.



Cerita Vaksin

KakJee dan keluarga agak lambat mendaftar untuk suntikan vaksin. Kami tidak mahu terburu-buru dan berebut, biarkan terlebih dahulu golongan yang layak diberi vaksin terlebih dahulu. Seperti petugas di bahagian hadapan negara atau golongan berusia dan yang ada penyakit.

Pada 22.06.202, kami mendaftarkan diri dengan MySejahtera dan mendapat tarikh temu janji pada 27.06.2021. Tarikh suntikan dos pertama adalah pada 29.06.2021 di PPV MIECC, Seri Kembangan Selangor. Namun masa tidak sama, di mana suami KakJee sebelah pagi manakala KakJee pula pada sesi petang. Namun KakJee mahu ikut waktu suami dan berdoa agar ianya diterima.

Pukul 8.30 pagi, kami bertolak ke tempat suntikan yang hanya memerlukan sekitar 10 minit untuk sampai. KakJee dibenarkan ikut suami malah digalakkan pula jika tarikhnya adalah sama. Lega. Kami perlu melalui petugas pertama dan kedua untuk memastikan temu janji kami adalah betul dengan merujuk MySejahtera.

Di checkpoint ketiga, kami diberi nomnor giliran borang untuk diisi dan disuruh duduk menanti di ruang yang disediakan. Suasana amat legang kerana orang tidak ramai dan petugas pula agak ramai. Kami berdua diminta bersama dalam urusan seterusnya iaitu bertemu dengan petugas  di meja untuk disemak butir yang ditulis dalam borang.



Seterusnya kami ke tingkat atas, di ruang yang lebih luas. iaitu HCO A.Disebabkan tidak ramai orang jadi kami tidak perlu menunggu. Terus bertemu dengan pegawai perubatan yang bertugas. Dr Vinesh bertanya jika kami mempunyai masalah kesihatan. Seterusnya menerangkan jenis vaksin yang akan kami terima, iaitu jenis Sinovac. Penerangan juga diberi jika terdapat kesan sampingan akibat suntikan.


Di HCO A


Dr Vinesh

Kami diminta turunkan  tanda tangan di borang yang diisi tadi. Selepas itu kami terus ke bilik untuk disuntik. KakJee agak ngeri sebab lama tidak disuntik sehingga tidak mahu melihat jarum atau cecair yang digunakan. Akhirnya lengan sebelah atas disuntik tanpa rasa sakit yang nyata.

Bilik untuk disuntik

Sempat selfie dengan misi


Selepas disuntik, kami diminta berehat selama 15 minit di kerusi yang disediakan sambil menanti nama dan nombor giliran dipanggil. Kami diberi tarikh untuk suntikan kedua iaitu pada 20.07.2021. 








Pastilah kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan di tempat khas yang disediakan. Alhamdulillah semuanya selesai pada pukul 9.15 pagi. Terima kasih kepada semua yang terlibat.

















Jom balik.











 

Ahad, 18 Julai 2021

Rasa Dapur KakJee (390) - Hokkaido Cupcake


BismillahirRahmanirRahim




Salam 9 Zulhijjah buat semua pengunjung blog ini. Tarikh yang sangat istimewa buat semua umat Islam di mana mereka yang terpilih sedang wukuf di Padang Arafah. Meraka adalah tetamu Allah untuk menunaikan haji bagi tahun ini. 

Disebabkan pandemik Covic-19 yang masih ada, hanya rakyat Arab Saudi dan warga luar yang menetap di sana sahaja yang dibenarkan melaksanakan ibadah haji. Tahniah buat semua. 

Kita yang tidak berpeluang untuk ke sana, boleh mengambil kesempatan yang dikurnaikan Allah SWT dengan berpuasa sunat. Juga berdoa sebanyaknya terutama pada waktu kemuncak iaitu pukul 5:30 petang sehingga 12:00 malam, waktu Malaysia. Waktu kemuncak di mana doa mustajab, selepas tergelincir matahari sehingga terbenam matahari di Arafah.

Daripada Abdullah bin 'Amru r.a. Nabi SAW bersabda dengan maksudnya, "Sebaik-baik doa, doa Hari Arafah. Dan sebaik-baik ucapan aku serta nabi-nabi sebelumku."

KakJee ingin berkongsi satu resipi yang sesuai untuk hidangan di Hari Raya Aidiladha. Agak mudah disediakan dan sedap rasanya.

Resipi Hokkaido Cupcake
Bahan-bahan :
Bahan A
6 biji kuning telur
40 gram gula kastor
85 gram susu segar
110 gram tepung naik sendiri
30 gram tepung jagung
50 gram minyak jagung

1.Masukkan telur kuning, gula dan susu dalam kelas yang sesuai. Kacau dengan whisk sehingga sebati.
2.Masukkan tepung naik sendiri dan tepung jagung. Kacau hingga sebati.
3.Masukkan minyak jagung dan kacau biar sebati. Ketepikan.

Bahan B
6 biji putih telur
60 gram gula kastor
1/2 sudu kecil cream of tartar
1/2 sudu kecil esen vanila

1.Campurkan semua Bahan B dalam bekas dan pukul dengan mixer sehingga bertanduk. Bila diterbalikkan bekas, adunan tidak berjatuh dipanggil meringue.

Cara Membuatnya
1.Masukkan bahan B ke dalam bahan A sedikit demi sedikit sambil dikaup balik sehingga selesai. Kacau sehingga sebati.
2.Masukkan adunan ke dalam acuan yang sesuai sehingga hampir penuh.



3.Bakar pada suhu 160 darjah celsius selama lebih kurang 30 minit.
4.Keluarkan dari oven dan buatkan lubang di tengahnya ketika masih panas. Sejukkan.



Untuk Krim Kastad

Bahan A
200 ml susu segar
1 1/2 sudu besar tepung kastad
3 sudu besar gula kastor

Masak semua bahan A sambil dikacau sehingga kental. Sejukkan.

Bahan B
1 cawan whipping cream
2 sudu gula aising

Pukul denga mixer sehingga kental

Cara membuatnya
1.Campurkan kedua bahan dan kacau sehingga licin dan sebati. Sejukkan dalam peti sejuk terlebih dahulu supaya mudah dihias nanti.
2.Masukkan ke dalam piping beg. Gunting hujungnya dan masukkan ke dalam kek tadi.
3.Hiaskan dengan buah strawberi.







Selamat Mencuba.

 

Ahad, 11 Julai 2021

Rasa Dapur KakJee (389) - Garlic Bread


BismillahirRahmanirRahim



Bilangan kes positif Covic-19 semakin hari kian bertambah walaupun negara masih lagi dalam pelaksanaan darurat dan kuncitara (total lockdown). Setakat semalam bilangan kes melebihi 9,000. 

Hospital-hospital kerajaan berada dalam keadaan yang sesak dan kini ruang parkir bangunan turut dijadikan pusat rawatan. Petugas kesihatan pasti semakin ramai dilaporkan melecuh (burnout).

Sebagai rakyat biasa, kita hanya mampu menolong setakat yang boleh. Berdoa semoga semua rakyat kuat menghadapi suasana ini dan selamat. Kita jaga kita. Semoga Allah memberi petunjuk kepada pemimpin kita yang masih leka di atas sana. 

KakJee banyak menghabiskan masa dengan memasak pelbagai resipi. Untuk membeli makanan di luar, tidak perlu rasanya. Lebih baik masak sendiri, ianya jimat dan lebih selamat.

Resipi kali ini, asalnya adalah Cheese Garlic Bread yang KakJee tertengok dalam media sosial. Guna tepung gandum dan macam senang, itu yang KakJee nak cuba. Malas pula nak guna pengadun Kenwood, jadi KakJee uli guna tangan. Berpeluh jugalah walaupun waktu tu hujan turun dengan agak lebat di luar rumah. Lain kali baik lah guna mesin.

Resipi Garlic Bread.
Bahan2:
Bahan A
160 ml  @  (1 cawan + 2 sudu besar + 2 sudu kecil ) susu segar - dimasak hingga suam
19 gm  @ (1  1/2 sudu besar) gula
3/4 sudu kecil garam
1  1/4 sudu kecil yis
30 ml @ ( 2 sudu besar minyak zaitun ), boleh ganti dengan 26 gm mentega dan cairkan
260 gm @ (2 cawan ) tepung gandum

Bahan B
30 gm mentega
2 sudu besar bawang putih yang disagat halus
Sedikit daun ketumbar dihiris (ganti dengan parsley kering)
Sedikit garam

Cara Membuatnya:
1.Masukkan susu, gula, garam, yis dan minyak zaitun ke dalam bekas yang sesuai. Gaul rata.
2.Campurkan tepung dan gaul dengan alat yang sesuai sebab panas hingga sebati.
3.Uli sehingga doh menjadi licin, tidak melekat pada bekas dan boleh buat doh bulat.
4.Tutup bekas dengan kain dan rehatkan sehingga doh menjadi dua kali ganda saiznya.(1 jam)
5.Gaulkan semua Bahan B sehingga sebati dalam bekas yang sesuai.
6.Tumbuk doh tadi dan canai mengikut saiz bekas untuk dibakar. Dalam 2 cm tebalnya.
7.Potongkan kepada beberapa bahagian ikut kesesuaian.
8.Sapukan Bahan B di permukaan doh sehingga rata. Jika mahu letak cheese, selitkan disetiap ruang yang dipotong tadi. KakJee taburkan bijan.
9.Bakar pada suhu 180 darjah celcius sehingga permukaan menjadi perang. lebih kurang 25- 30 minit. Keluarkan daripada oven dan sapu dengan mentega jika suka.





Sedap terutama ketika panas.
Dah sejuk pun masih lembut.

 Selamat Mencuba.

Jumaat, 2 Julai 2021

Rasa Dapur KakJee (386) - Pai Epal @ Apple Pie


BismillahirRahmanirRahim




Buah epal ni kurang diminati oleh ahli keluarga. Walaupun ianya sangat baik untuk tubuh badan terutama untuk kulit yang cantik. Biasanya epal dibeli dalam bentuk pek yang mengandungi paling kurang 6 biji kan. Memang lambatlah nak habis.

Biasalah kan tatkala PKPD ni, ada banyak masa untuk mencuba pelbagai resipi. Kebetulan ada pula lagi 3 keping Puff Pastry, lebihan buat Tat Telur. Apa lagi KakJee pun mulakan operasi seusai solat asar. 

Tapi sebelum tu, KakJee dah buat intinya terlebih dahulu selepas siapkan menu makan tengahari. Jadi petang tu hanya masukkan inti dalam pastry dan bakar. Siap dalam pukul 6.30 petang. Memang tak sabar, panas-panas terus ngap. Serbuk kulit kayu manis benar-benar menambah aroma dan sedapnya pai epal ni.

Resipi ni tak spesifik dari mana, sebab KakJee rujuk beberapa resipi di Google dan Youtube.

Pai - ditutup atasnya
Tat - terbuka atasnya

Resipi Apple Pie 
Bahan2:
4 biji buah epal Gala
2 sudu besar gula perang
1 sudu kecil serbuk kayu manis
1/2 cawan kismis
1 sudu besar mentega
2 keping puff pastry bersaiz besar
1 biji kuning telur

Cara Membuatnya:
1.Buang kulit epal dan bijinya. Potong dadu dan rendam dalam air garam supaya warna tak lebam.
2.Panaskan mentega dalam bekas yang sesuai. Masukkan epal, gula, kismis dan serbuk kulit kayu manis. Kacau sehingga masak/kering. Sejukkan.
3.Letakkan sekeping puff pastry di atas plastik untuk memudahkan kerja. Jika perlu taburkan sedikit tepung supaya tidak melekat. Canaikan kepingan puff pastry.
4.Letakan separuh inti di atas puff pastry dan lipatkan menjadi dua.
5.Kemaskan bahagian tepinya dengan garfu. Ulangi untuk yang kedua. Kelarkan permukaannya ikut paten yang disukai.
6.Sapukan kuning telur di atas permukaan pai tadi.
7.Bakar pada suhu 180 darjah celsius  sehingga berwarna perang keemasan. Lebih kurang 40 minit.

Mai sepotong.



 Selamat Mencuba.

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...