Ahad, 11 Julai 2021

Rasa Dapur KakJee (389) - Garlic Bread


BismillahirRahmanirRahim



Bilangan kes positif Covic-19 semakin hari kian bertambah walaupun negara masih lagi dalam pelaksanaan darurat dan kuncitara (total lockdown). Setakat semalam bilangan kes melebihi 9,000. 

Hospital-hospital kerajaan berada dalam keadaan yang sesak dan kini ruang parkir bangunan turut dijadikan pusat rawatan. Petugas kesihatan pasti semakin ramai dilaporkan melecuh (burnout).

Sebagai rakyat biasa, kita hanya mampu menolong setakat yang boleh. Berdoa semoga semua rakyat kuat menghadapi suasana ini dan selamat. Kita jaga kita. Semoga Allah memberi petunjuk kepada pemimpin kita yang masih leka di atas sana. 

KakJee banyak menghabiskan masa dengan memasak pelbagai resipi. Untuk membeli makanan di luar, tidak perlu rasanya. Lebih baik masak sendiri, ianya jimat dan lebih selamat.

Resipi kali ini, asalnya adalah Cheese Garlic Bread yang KakJee tertengok dalam media sosial. Guna tepung gandum dan macam senang, itu yang KakJee nak cuba. Malas pula nak guna pengadun Kenwood, jadi KakJee uli guna tangan. Berpeluh jugalah walaupun waktu tu hujan turun dengan agak lebat di luar rumah. Lain kali baik lah guna mesin.

Resipi Garlic Bread.
Bahan2:
Bahan A
160 ml  @  (1 cawan + 2 sudu besar + 2 sudu kecil ) susu segar - dimasak hingga suam
19 gm  @ (1  1/2 sudu besar) gula
3/4 sudu kecil garam
1  1/4 sudu kecil yis
30 ml @ ( 2 sudu besar minyak zaitun ), boleh ganti dengan 26 gm mentega dan cairkan
260 gm @ (2 cawan ) tepung gandum

Bahan B
30 gm mentega
2 sudu besar bawang putih yang disagat halus
Sedikit daun ketumbar dihiris (ganti dengan parsley kering)
Sedikit garam

Cara Membuatnya:
1.Masukkan susu, gula, garam, yis dan minyak zaitun ke dalam bekas yang sesuai. Gaul rata.
2.Campurkan tepung dan gaul dengan alat yang sesuai sebab panas hingga sebati.
3.Uli sehingga doh menjadi licin, tidak melekat pada bekas dan boleh buat doh bulat.
4.Tutup bekas dengan kain dan rehatkan sehingga doh menjadi dua kali ganda saiznya.(1 jam)
5.Gaulkan semua Bahan B sehingga sebati dalam bekas yang sesuai.
6.Tumbuk doh tadi dan canai mengikut saiz bekas untuk dibakar. Dalam 2 cm tebalnya.
7.Potongkan kepada beberapa bahagian ikut kesesuaian.
8.Sapukan Bahan B di permukaan doh sehingga rata. Jika mahu letak cheese, selitkan disetiap ruang yang dipotong tadi. KakJee taburkan bijan.
9.Bakar pada suhu 180 darjah celcius sehingga permukaan menjadi perang. lebih kurang 25- 30 minit. Keluarkan daripada oven dan sapu dengan mentega jika suka.





Sedap terutama ketika panas.
Dah sejuk pun masih lembut.

 Selamat Mencuba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...