Sabtu, 30 Januari 2021

Rasa Dapur KakJee (375) - Kuetiau Sup Chinese Style

BismillahirRahmanirRahim



Ada masa kita teringin untuk makan tengahari selain daripada nasi. Kebetulan ada satu bungkus kuetiau dalam peti sejuk. Selalu sangat buat kuetiaw goreng untuk sarapan, hari ini tukar selera. Kita buat kuetiau sup pula. Bukan sup biasa tu tapi masakan yang lebih mudah dan ringkas.

Jumpa pula resipi kuetiau sup kat Blogdailymakan.com, semua bahan pun ada. Tetapi KakJee gantikan ayam dengan daging. Sedap sangat dan begitu segar rasanya sewaktu makan. Bawang putih yang dicincang dan digoreng, betul-betul menguasai rasa, walau tanpa perencah lain. Habis sekali makan. Meh jengah resipinya.


Resipi Kuetiau Chinese Style

Bahan2
1 bungkus kuetiau
1 labu bawang putih - dicincang
100 - 200 gram daging dihiris nipis dan direbus hingga lembut
10 biji fish ball
1 keping fish cake dihiris nipis
2 tangkai sawi Jepun/Pak Choy
Air secukupnya
Garam
Minyak masak secukupnya
Daun bawang/sup dihiris nipis
Cili padi dihiris
Kicap

Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak dan goreng bawang puith hingga keperangan. Keluarkan separuh untuk disimpan dan dimakan nanti.
2.Masukkan daging bersama air rebusan. Tambah air jika perlu dan perisakan dengan garam.
3.Bila mendidih, masukkan fish ball dan fish cake. Akhir sekali sawi.Tutup api.
4.Kuetiau dicelur dalam air panas dan toskan.
5.Hidang bersama hirisan daun bawang/sup dan cili padi.


Selamat mencuba.









Isnin, 18 Januari 2021

Rasa Dapur KakJee (374) - Ayam Goreng Korea



BismillahirRahmanirRahim







Ketika berada di MyTown, IOI Mall Puchong atau di mana-mana mall sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pasti kelihatan ramai anak-anak muda beratur panjang di outlet makanan ini. Kami kerap terfikir apalah sedapnya Ayam Goreng Korea ni. Sehingga ianya menjadi satu fenomena dan digemari ramai.

Kebetulan ada temu  janji dengan sahabat sewaktu zaman kanak-kanak dahulu iaitu Zana dan Aina. Kami bertemu di Bunch-Oh, Malakat Mall yang ada menyediakan pelbagai hidangan. Zana memesan Ayam Goreng Korea , Aida mahu Sushi dan KakJee pula order Piza . Bahagia betul dapat berjumpa sahabat lama sambil makan-makan. Kat situlah KakJee merasa Ayam Goreng Korea yang semakin terkenal tu.

 Aida (kiri) dan Zana (kanan) 

Saffura memang dah lama suruh KakJee masak Ayam Goreng Korea tapi baru hari ini datang seruu. KakJee pilih resipi Che Nom kerana kebetulan semua bahan ada kecuali sos tomato. Tapi tak apa KakJee letak aje sos cili asalkan ada sos. Sedapnya lah hai, suami pun suka.

Sebaiknya guna ayam bahagian kepak untuk resipi ini tapi yang ada hanya seekor ayam di dalam peti sejuk. Jadi KakJee guna ajelah bahagian yang bertulang dan potong dalam saiz yang sesuai. Satu lagi nak bagi tau, ayam tu perlu digoreng dua kali. Mungkin sebab itu ianya ranggup sewaktu panas dan lembut isinya.

Resipi Ayam Goreng Korea
Bahan2:

Untuk Ayam Goreng
700 gram kepak ayam (bahagi dua bahagian)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
sedikit serbuk lada hitam
garam
1 cawan tepung gandum
2/3 cawan tepung jagung
minyak untuk menggoreng

Cara Membuatnya:
1.Bersihkan ayam dan tos kering. 

Ambil bahagian drumette dan flat/wingette


2.Parut halus bawang putih dan halia ke dalam bekas yang ada ayam. Masukkan lada hitan dan garam. Gaul dan perap sebentar.
3.Campur dan gaul kedua jenis tepung. Celupkan dan gaulkan ketulan ayam bersama tepung dan letakkan ke dalam sebuah bekas.
4.Panaskan minyak dalam kuantiti yang banyak. Pastikan ayam tenggelam dalam minyak. Goreng ayam sehingga kekuningan (sekejap sahaja). Angkat dan rehatkan sekejap.

Goreng kali pertama
                                             
5.Masukkan balik ayam dalam kuali dan masak sehingga garing atau perang. Angkat dan toskan.


Goreng kali ke-2

Untuk Sos
Sedikit minyak (1-2 sudu besar) - guna minyak goreng ayam tadi
2 ulas bawang putih
1 sudu besar kicap manis jenama Kipas Udang
1/2 cawan  air
1 sudu besar gula perang
1 sudu besar serbuk cili (lebihkan jika nak lebih pedas)
2-3 sudu besar sos tomato (ganti dengan sos cili)
1 sudu besar madu
Garam
ayam goreng
bijan putih untuk hiasan

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga kekuningan.
2.Masukkan kicap manis, serbuk cili, air, gula perang, sos tomato, madu dan sedikit garam. Masak sehingga kuah menjadi pekat.
3.Masukkan ayam dan gaulkan sehingga sekata. Angkat dan tabur dengan bijan. 

Sedap dimakan bersama nasi atau dimakan begitu sahaja.
Memang sedap!

Selamat mencuba.

Sedap






 

Ahad, 10 Januari 2021

Rasa Dapur KakJee (373) - Roti Paratha Gulung


BismillahirRahmanirRahim




Didoakan agar semua yang terlibat dengan banjir diberi kemudahan dalam menghadapi ujian daripada Allah SWT. Terutama bagi mereka yang berada di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Hanya doa yang mampu dikirimkan dari kejauhan.

Kali ini KakJee nak share resipi Roti Paratha Gulung yang mudah disediakan andainya tiada kuah untuk dicicah dengan roti paratha. Kebetulan roti paratha ini sentiasa sahaja ada dalam stok dalam peti sejuk. Maklumlah terkadang tidak sempat menyediakan sarapan yang berat jadi kebiasaannya roti inilah yang menjadi mangsa.

Menjadi amalan KakJee untuk menyejuk bekukan kuah kari atau kuah asam pedas yang berlebihan. Jadi jika mahu makan roti paratha, hanya perlu panaskan sahaja kuah-kuah tersebut. Namun idea untuk menyediakan Roti Paratha Gulung ini timbul apabila tiada kuah dalam stok. Kebetulan ada inti daging untuk kuih cara berlauk jadi KakGee cubalah resipi sendiri. Sedap pula dan lebih berkhasiat.

Resipi Roti Paratha Gulung
Bahan2:
Inti Daging
400 g daging kisar jenama Ramly
1 biji bawang besar dipotong dadu
3 ulas bawang putih diketuk
3-4 sudu besar serbuk kari daging jenama Adabi
Minyak masak
Garam
Air

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dan masukkan bawang besar dan bawang putih. Kacau sehingga kekuningan.
2.Masukkan serbuk kari, kacau sebentar supaya semuanya kena minyak. Dengan cepat masukkan 1/2 cawan air. Kacau sehingga pecah minyak.
3.Masukkan daging kisar bersama sedikit air. Kacau sehingga daging masak dan kering.

Untuk sediakan Roti Paratha Gulung
3 keping roti paratha
Salad
Kentang goreng (jika suka)
Hirisan Tomato (jika suka)

Masak roti paratha di atas kuali sehingga keperangan. Angkat.
Letakkan salad dan bahan-bahan lain.
Gulung dan potong dua.
* Boleh masukkan pelbagai bahan lain, ikut apa yang ada.



Nak letak sos dan mayonis pun boleh

Mudah disediakan dan mengenyangkan.


Isnin, 4 Januari 2021

Visit My Malaysia - Taman Saujana Hijau Putrajaya


BismillahirRahmanirRahim




Belum terlambat rasanya untuk aku berkongsi rasa kesyukuran kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk menatap mentari tahun 2021 Masihi. Selamat Tahun Baharu 2021.

Kali ini aku mahu berkongsi tempat beriadah yang sangat menarik iaitu Taman Saujana Hijau, Presint 11 Putrajaya. Taman yang unik ini khusus bagi penanaman dan pemeliharaan kumpulan tumbuhan Gimnosperma tropika dan subtropika.




Dibina supaya dapat menjadi pusat penyelidikan, rujukan dan pembelajaran terhadap tumbuhan Gimnosperma. Pun begitu turut disediakan pelbagai kemudahan buat penduduk sekitar beriadah dan rekreasi.


Papan tanda


Berkeluasan kira-kira 117 ekar dengan kawasan berbukit-bukit dan dikelilingi kawasan perumahan. Sesuai untuk joging, berbasikal,  berkelah dan sesi fotografi kerana suasananya yang indah dan mendamaikan.

Pokok Pain yang tinggi belaka

Gaya landskap ala-ala Eropah dengan pokok pain, tanah lapang dengan rumput hijau dan pokok-pokok bunga menghiasi persekitaran.


Pokok spesis Gimnosperma

Pokok bunga Taik ayam

Astaka

Kawasan lapang untuk berkelah

Namun yang mencuri perhatian ramai pastilah deretan pokok bunga matahari yang sedang berkembang.

Aku sendiri ke sana dua hari berturut-turut. Hari pertama untuk beriadah dan bergambar. Hari kedua hanya untuk bergambar di sekitar pokok bunga matahari. Menemani Saffura yang tidak berpeluang ikut pada hari sebelumnya.

Deretan pokok bunga matahari

Sedang kembang elok


Panas sikit , gunalah topi.

Tumpang sekaki


Jom beli - 0133645560

Jom beli 0133645560

Ni pun cantik. Boleh berbasikal di taman ini

Kawasan paling tinggi untuk dinaiki

Agak mencabar tingginya

Di puncak Taman Saujana  Hijau. Kelihatan kawasan perumahan.

Ada tram kot.



Silalah ke sana.

 

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...