Isnin, 18 Januari 2021

Rasa Dapur KakJee (374) - Ayam Goreng Korea



BismillahirRahmanirRahim







Ketika berada di MyTown, IOI Mall Puchong atau di mana-mana mall sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pasti kelihatan ramai anak-anak muda beratur panjang di outlet makanan ini. Kami kerap terfikir apalah sedapnya Ayam Goreng Korea ni. Sehingga ianya menjadi satu fenomena dan digemari ramai.

Kebetulan ada temu  janji dengan sahabat sewaktu zaman kanak-kanak dahulu iaitu Zana dan Aina. Kami bertemu di Bunch-Oh, Malakat Mall yang ada menyediakan pelbagai hidangan. Zana memesan Ayam Goreng Korea , Aida mahu Sushi dan KakJee pula order Piza . Bahagia betul dapat berjumpa sahabat lama sambil makan-makan. Kat situlah KakJee merasa Ayam Goreng Korea yang semakin terkenal tu.

 Aida (kiri) dan Zana (kanan) 

Saffura memang dah lama suruh KakJee masak Ayam Goreng Korea tapi baru hari ini datang seruu. KakJee pilih resipi Che Nom kerana kebetulan semua bahan ada kecuali sos tomato. Tapi tak apa KakJee letak aje sos cili asalkan ada sos. Sedapnya lah hai, suami pun suka.

Sebaiknya guna ayam bahagian kepak untuk resipi ini tapi yang ada hanya seekor ayam di dalam peti sejuk. Jadi KakJee guna ajelah bahagian yang bertulang dan potong dalam saiz yang sesuai. Satu lagi nak bagi tau, ayam tu perlu digoreng dua kali. Mungkin sebab itu ianya ranggup sewaktu panas dan lembut isinya.

Resipi Ayam Goreng Korea
Bahan2:

Untuk Ayam Goreng
700 gram kepak ayam (bahagi dua bahagian)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
sedikit serbuk lada hitam
garam
1 cawan tepung gandum
2/3 cawan tepung jagung
minyak untuk menggoreng

Cara Membuatnya:
1.Bersihkan ayam dan tos kering. 

Ambil bahagian drumette dan flat/wingette


2.Parut halus bawang putih dan halia ke dalam bekas yang ada ayam. Masukkan lada hitan dan garam. Gaul dan perap sebentar.
3.Campur dan gaul kedua jenis tepung. Celupkan dan gaulkan ketulan ayam bersama tepung dan letakkan ke dalam sebuah bekas.
4.Panaskan minyak dalam kuantiti yang banyak. Pastikan ayam tenggelam dalam minyak. Goreng ayam sehingga kekuningan (sekejap sahaja). Angkat dan rehatkan sekejap.

Goreng kali pertama
                                             
5.Masukkan balik ayam dalam kuali dan masak sehingga garing atau perang. Angkat dan toskan.


Goreng kali ke-2

Untuk Sos
Sedikit minyak (1-2 sudu besar) - guna minyak goreng ayam tadi
2 ulas bawang putih
1 sudu besar kicap manis jenama Kipas Udang
1/2 cawan  air
1 sudu besar gula perang
1 sudu besar serbuk cili (lebihkan jika nak lebih pedas)
2-3 sudu besar sos tomato (ganti dengan sos cili)
1 sudu besar madu
Garam
ayam goreng
bijan putih untuk hiasan

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga kekuningan.
2.Masukkan kicap manis, serbuk cili, air, gula perang, sos tomato, madu dan sedikit garam. Masak sehingga kuah menjadi pekat.
3.Masukkan ayam dan gaulkan sehingga sekata. Angkat dan tabur dengan bijan. 

Sedap dimakan bersama nasi atau dimakan begitu sahaja.
Memang sedap!

Selamat mencuba.

Sedap






 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...