Selasa, 23 Jun 2015

Travelog : Oh! Riyadh -Tragedi MH370

Tragedi MH370

Mac 2014

Berita kehilangan pesawat MAS, MH370 di udara ketika di dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing benar-benar mengejutkan kami. Siaran lansung dari CNN, BBC dan Al Jazeerah menjadi tumpuan kami sepanjang minggu, tidak ketinggalan pelbagai sumber dari Fb. Penerbangan terakhirku menaiki pesawat MAS ialah pada tahun 1999 untuk ke Brisbane, Australia. Selepas itu kami lebih kerap menggunakan pesawat yang lebih murah. Namun syarikat penerbangan milik Malaysia itu tetap di hati. 239 penumpang yang menaiki pesawat tersebut tidak diketahui nasibnya sehingga kini, kami turut berdukacita dengan nasib mereka. Di sekolah, aku ditanya dengan pelbagai soalan berkisar tragedi tersebut sehingga sukar untuk aku menjawabnya. Dari rakan sekelas sehingga kepada pekerja-pekerja berbangsa Indonesia pasti menyoal aku jika terpandang wajahku. Hari demi hari bertukar kepada bulan sehingga habis pengajianku di situ, misteri kehilangan MH370 masih belum terjawab.

Riyadh International Book Fair berlansung di Riyadh International Convention Center. Kami mengambil kesempatan untuk ke sana pada sebelah petang seusai solat Jumaat. Orang agak ramai dan kami terpaksa beratur panjang untuk masuk ke dalamnya. Menariknya di satu sudut berhampiran kawasan parkir kereta disediakan bank bergerak untuk memudahkan para pengunjung mengeluarkan wang bagi membeli buku dan sebagainya di pesta tersebut. Lelaki dan perempuan diasingkan laluan masuk ke dalam dewan yang besar tersebut. Kami mesti melalui pemeriksaan keselamatan persis seperti di lapangan terbang. Ada pegawai khas yang akan melakukan pemeriksaan disamping ujian imbasan. Terdapat kaunter yang menjual beg beroda seperti beg yang dibawa ke pasar. Tetapi beg ini boleh diubah menjadi kerusi dan rodanya lebih besar dari biasa. Ramai pula orang Arab yang membeli beg tersebut yang terdiri dari pelbagai corak dan warna. Pasti mereka mahu membeli banyak buku dan pasti buku yang ditawarkan murah harganya atau ianya sebagai alas duduk, aku berkata di dalam hati. Pelbagai buku dalam pelbagai bahasa dijual namun lebih dominan buku berbahasa Arab. Terdapat juga siaran lintas langsung oleh siaran televisyen berkaitan program yang sedang berlangsung. Menariknya ada ruang pameran buku berbahasa Melayu iaitu Fajar Ulung Sdn Bhd. Wakilnya dari negara Mesir menjual buku-buku ilmiah dari universiti tempatan seperti USM, UPM, UITM dan sebagainya.


Minggu ini juga kami mendapat jemputan makan yang diadakan oleh adik ipar kawan suamiku yang sudah lama menetap di Arab Saudi. Kesudian En Amir  yang bekerja sebagai peguam dan isterinya Pn Zaliah menjemput kami hadir ke majlis tersebut memberi peluang kepada kami berkenalan dengan warga Malaysia di Riyadh. Di sinilah aku berkenalan dengan pensyarah dari Universiti Prince Sultan bernama Dr Noreha dan Dr Fariza. Dr Fariza sebelum ini bekerja di Madinah dan beliau banyak memberi sumbangan kepada pelbagai aktiviti  yang dijalankan di Riyadh. Dr Noreha pula baru mula bekerja di Riyadh, beliau sudah jatuh cinta bekerja di sini dan sedang menguruskan untuk bersara awal dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Cuaca menjadi tidak menentu, adakalanya panas kadang-kadang kembali sejuk sehingga di bawah paras 10 C. Kedutaan Malaysia mengadakan Jualan Bazaar di kawasan sekitar pejabatnya yang terletak di dalam Diplomatic Quaters. Warga Malaysia di Riyadh dan juga dari Jubail turut hadir meraikannya. Kami sampai agak lambat jadi banyak makanan yang sudah habis dijual. Mee kari, laksa, satay, Char Kuey Teow, nasi ayam dan sebagainya menjadi rebutan ramai. Aku sempat membeli cili kering, kicap masin dan rempah tapi harganya memang mahal. Di sinilah aku bertemu dengan Om dan berkenalan dengan Pn Hjh Rahimah.
Rombongan dari  Jubail


Di sekolah kami agak sibuk dengan ujian demi ujian kerana tidak berapa lama lagi kami akan bercuti selama seminggu. Dalam kesibukan belajar aku sempat berbual dengan rakan-rakan dari Turki. Aku menunjukkan gambar yang aku ambil di depan Masjid Biru ,Istanbul yang disimpan di dalam telefon bimbitku. Dahlia, Kamsah dan Muna begitu terkejut kerana mereka sendiri tidak pernah sampai ke Istanbul walaupun mereka orang Turki. Norjan pula memang berasal dari Istanbul dan kini menetap di Busra. Suami mereka kesemuanya bertugas sebagai guru di sekolah warga Turki yang dibuka di Riyadh. Kami menerima rakan baru iaitu Khadijah dan Rukiah dari Negara China. Mereka mendaftar agak lewat jadi mereka hanya masuk ke kelas untuk belajar sahaja tanpa perlu mengambil peperiksaan. Mereka berdua juga tidak boleh berbahasa Arab atau berbahasa Inggeris. 

Sebelum bercuti pihak sekolah mengadakan parti pada hari terakhir persekolahan. Kami dikehendaki menyediakan makanan untuk dijual sebagai jualan amal. Warna pakaian pula dihadkan kepada warna kuning,biru dan merah. Walau bagaimana pun kami digalakkan memakai pakaian terbaik dan abaya dilarang pada hari tersebut. Aku mengenakan baju kurung yang diperbuat dari kain sutera Terengganu. Aku agak terkejut apabila melihat kebanyakan rakan-rakan terutama dari India dan Pakistan berpakaian begitu hebat sekali. Mereka memakai pelbagai aksesori dan mendandan rambut masing-masing. Aku seolah melihat pelakon filem Bollywood.
" Nahi...nahi...Mohabbat ," aku menuturkan beberapa perkataan yang aku tahu kepada Uzma dan Sumaira.
 Mereka ketawa dan membalas dengan beberapa perkataan lain yang aku tidak tahu.
Sara tersenyum simpul bila aku mengusiknya dengan menyatakan dia kelihatan seperti Juhi Chaula. Kelas menjadi riuh rendah seketika dengan telatah kami semua. Beberapa aktiviti permainan berkaitan bahasa Arab diadakan sebelum solat Maghrib dan kami dibahagikan kepada  3 kumpulan berdasarkan warna pakaian kami. Pertandingan mencipta kek juga turut diadakan di mana kek-kek tersebut kemudian dijual untuk mendapatkan dana.

Selepas solat Maghrib kami hanya bersantai sambil menjamu selera pelbagai makanan yang dibeli dari gerai jualan. Ada juga gerai yang menjual pakaian terpakai, kraftangan, sabun tradisional dan pokok-pokok. Sambil makan aku berbual dengan lebih rapat dengan Pranvera yang berasal dari Albania. Masih muda dan baru mendirikan rumah tangga dengan pemuda dari Yaman. Pranvera bertemu dengan suaminya yang memiliki kedai menjual aksesori telefon bimbit di Tirana , Albania. Majoriti rakyat Albania beragama Islam dan Pranvera berulangkali memberi jaminan Albania selamat untuk dilawati. Pranvera juga memperkenalkan aku dengan rakan-rakannya yang lain dari Bosnia yang turut bersekolah di situ. Pranvera sedang menunggu jawapan permohonan untuk masuk ke universiti, jadi masa menunggu digunakan untuk belajar di sekolah tersebut.



                                                                                                                            zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...