Ahad, 7 Jun 2015

Travelog : Oh! Riyadh - Riyadh Ke Makkah

Riyadh ke Mekah


Januari 2014

Keinginan untuk menunaikan umrah akhirnya tercapai apabila cuti sekolah selama dua minggu bermula. Suamiku pula diberi cuti selama dua hari jadi apabila dicampurkan dengan cuti hujung minggu berjumlah empat hari. Bilangan hari tersebut mencukupi untuk kami bermusafir ke Mekah yang jaraknya lebih kurang 900 km dari Riyadh. Kami menyewa kereta yang lebih besar sedikit supaya lebih selesa bagi perjalanan yang jauh iaitu kereta Hyundai Elantra 1.6. Keretanya masih baru jadi sewanya agak mahal ,SR120 sehari.
Lebih selesa

"Selamat hari raya, apa khabar?" sapa En Adel dari Jordan ketika kami melewati keretanya di kawasan parkir kereta yang terletak di hadapan apartmen kami. En Adel mengambil ijazah sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia, jadi dia masih boleh berbahasa Melayu. Kini bertugas di universiti yang sama dengan suamiku.
"No..Selamat malam bukan hari raya, khabar baik," jawab suamiku sambil menepuk belakangnya. Aku dan Saffura ketawa sambil berlalu meninggalkan suamiku untuk berbual dengan En Adel.
En Adel rajin menegur suamiku dengan menggunakan Bahasa Malaysia yang kadang-kadang betul dan kerap kali tersalah . Menariknya En Adel belajar Bahasa Malaysia dengan sahabat baikku Pn Hjh Faridah Musa yang merupakan guru bahasa di Pusat Bahasa Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada mulanya kami mengajak Dr Majdee untuk bersama kami ke Mekah tetapi Dr Majdee tidak  yakin boleh memandu sehingga ke Mekah. Jadi Dr Majdee dan keluarganya menaiki bas untuk ke sana. Kami nekad untuk menaiki kereta ke sana walaupun terpaksa pergi sendirian buat pertama kalinya. Namun pada saat akhir Dr Abid dan Dr Saifullah mahu bersama kami kerana mereka juga tidak pernah memandu kereta ke Mekah. Hari yang dinantikan tiba dan kami berkumpul di Panda Hypermarket sebelum memulakan perjalanan. Aku mengambil kesempatan berkenalan dengan  Pn Saidah yang merupakan isteri kepada Dr Abid dari Pakistan. Mereka membawa bersama empat orang anak mereka, dua perempuan dan dua lelaki. Isteri Dr Saifullah bernama Pn Fatimah Az Zahra, kedua mereka berasal dari Bangladesh, mempunyai tiga orang anak lelaki. Bapa Dr Saiffulah merupakan seorang profesor di Universiti Islam Antarabangsa dan mereka selalu balik bercuti di Malaysia.
Perjalanan bermula
Kami memulakan perjalanan ke Mekah dalam pukul 8.30 pagi. Suasana jalan raya tidak begitu sibuk tetapi banyak lori dan treler menjalar di atas jalan raya. Banyak kawasan rehat dan rawat yang kelihatan agak selesa sepanjang perjalanan apabila kami masuk ke lebuh raya ke Mekah yang juga merupakan lebuh raya ke Jeddah. Lebuh raya tiga lorongnya agak lebar dan rata memudahkan pemanduan. Yang paling istimewa tiada tol dikenakan sepanjang perjalanan. Kami tiba di check point pertama menuju ke arah Mekah yang terletak lebih kurang 45 km dari pusat bandar Riyadh berhampiran Muhazimiyah.
Mercu tanda di checkpoint ke arah Mekah

Selepas checkpoint

Di sini kita akan menikmati latar belakang dataran tinggi  yang sangat indah seperti Grand Canyon yang terletak di Amerika Syarikat. Aku pernah menikmati pemandangan Grand Canyon di Amerika Syarikat dari atas kapal terbang ketika di dalam perjalanan dari Texas ke Los Angeles. Di hadapan dataran ini kelihatan hamparan tanah rata yang penuh dengan pepohon padang pasir dan khemah-khemah.

Grand Canyon Riyadh

Sepanjang jalan dari Muhazimiyah menuju ke Quwayiyah sejauh lebih kurang 100 km, kelihatan banyak ladang-ladang yang begitu luas saiznya. Kebanyakan ladang-ladang mempunyai pintu gerbang yang besar dengan papan tanda yang tertulis nama ladang-ladang tersebut. Di bahagian depan ladang juga kebiasaannya dipagari dengan pokok-pokok hijau yang tinggi dan hidup begitu subur sekali. Di dalam kawasan ladang kebiasaannya kelihatan deretan pokok-pokok kurma yang tidak terhitung jumlahnya diselangi dengan pelbagai pokok lain. Ada juga ladang yang mempunyai padang rumput yang luas dan menghijau. Terdapat rumah agam yang terletak di puncak bukit atau di satu sudut yang agak tersorok. Paling aku ingat ialah Aziziyah Farm yang begitu besar kelihatan. Bandar Quwayiyah begitu besar dan dilengkapi dengan kemudahan seperti taman, hospital, kedai dan sebagainya. Sesekali kami berhenti untuk ke tandas dan menunaikan solat, malangnya tandas dan surau yang kami singgah begitu sedih keadaannya. Ini disebabkan kami tidak mempunyai pengalaman jadi kami tidak tahu memilih tempat yang sesuai untuk ke tandas. Pengalaman pahit ketika mahu ke tandas di dalam perjalanan sepanjang lebuh raya menuju Mekah atau Madinah kerap menjadi bualan.
Kelihatan ladang-ladang, padang pasir oren kemerahan
Selepas Bandar Quwayiyah ialah Bandar Ruwaydah yang agak besar dan ramai penduduknya. Terdapat kawasan berbukit dengan batu pejal tanpa sebarang tumbuhan di permukaannya. Namun sepanjang perjalanan akan kelihatan unta dan kambing bertaburan. Kambing-kambing biasanya kelihatan dalam jumlah yang banyak sehingga mencapai ratusan. Apabila ada binatang ternakan akan ternampak dari kejauhan khemah-khemah berwarna hitam atau putih . Ada masanya hanya satu khemah sahaja yang kelihatan di tengah padang pasir yang luas. Aku merasa hairan bagaimana mereka boleh hidup sendirian di tempat yang begitu terpencil. Tompokan rumput-rumput kelihatan di mana-mana kadangkala ada pula kolam air di tengah padang pasir. Musim sejuk menjadikan rumput-rumput tumbuh segar sehingga di tepi-tepi jalan sepanjang lebuh raya. Warna padang pasir juga turut berubah, kelabu, putih, kuning dan kemerahan. Warna padang pasir kemerahan kerap menarik perhatian kami kerana warnanya begitu cantik ditambah pula dengan bentuk dan ketinggiannya yang berbeza. Sesekali angin bertiup mengubah aliran pasir. Aku tidak mampu untuk tidur kerana tidak mahu terlepas melihat suasana padang pasir yang begitu mempersonakan.

Persekitaran penuh dengan bukit berbatu pejal
Unik
Khemah putih kepunyaan penternak di padang pasir

Kelihatan kawasan berair

Ada kawasan dipenuhi pokok renek

Kelihatan unta berkeliaran
Selepas lebih kurang 500 km dari Riyadh, kelihatan padang pasir
luas tidak bertepi
Pukul 2.00 petang kami berhenti lagi di salah sebuah stesen minyak. Kebiasaannya stesen minyak akan mempunyai kemudahan-kemudahan lain seperti kedai tayar, kedai membaiki kenderaan, restoran, kedai runcit, masjid dan tandas. Kita perlu memilih lokasi yang sesuai untuk berhenti kerana ada setengah tempat seperti Sasco turut menyediakan kemudahan penginapan bagi yang memerlukan. Adrees juga menyediakan kawasan rehat yang selesa untuk pengguna lebuh raya. Namun jika kita berada di kawasan yang lebih kecil pekannya, kita tidak mempunyai banyak pilihan. Kami makan di dalam kereta masing-masing kerana keadaan di luar agak berangin dan panahan matahari agak terik. Walau bagaimanapun kelihatan juga beberapa keluarga yang membentangkan hamparan dan duduk berkelah bersama keluarga di tepi jalan yang kebiasaannya mempunyai ruang yang cukup luas untuk meletakkan kereta. Situasi ini adalah perkara biasa di bumi ini, ada juga yang berhenti di tepi jalan untuk menunaikan solat. Kami bertukar makanan sesama sendiri. Aku menghadiahkan Pn Saidah dan Pn Fatimah Az Zahra rendang ayam. Pn Fatimah Az Zahra memberi aku nasi beriani yang sedap manakala Pn Saidah memberi kami pasta. Kami turut membawa satu teko air teh untuk membasahkan tekak sepanjang perjalanan.
Tempat R&R  - Isi minyak selalu untuk lebih selamat
Tempat R&R biasanya dilengkapi pelbagai kemudahan

Kawasan R&R milik Sasco banyak terdapat di lebuh raya

Kawasan R&R Sasco juga ada kemudahan penginapan

Taman banyak terdapat di tepi lebuh raya di bandar besar
sepanjang lebuh raya. Tandas lebih bersih di sini.

Kawasan R&R yang agak terpencil, kemudahan tandas agak
membimbangkan namun tiada pilihan bagi kes kecemasan.

Kami melalui pekan yang lebih kecil iaitu Khasrah, Houmiyat,Hufirah dan Zalim. Dari Houmiyat ke Hurifah padang pasir menjadi tersangat luas saujana mata memandang dan kelihatan kambing dan unta berkeliaran di sana sini. Suasana kiri kanan lebuh raya agak sunyi dan susah untuk melihat pekan-pekan kecil seperti biasa sehinggalah kami tiba di sebuah pekan yang lebih besar bernama Muwayh seterusnya pekan bernama Ateef.
Bermula dari Ateef sehingga ke Taif, suasana padang pasir meriah semula dengan banyak binatang peliharaan dan khemah-khemah kadang kala rumah-rumah kecil berbumbung merah.
Hentian di Ateef menjadi pilihan jemaah haji untuk mandi dan memakai ihram
Kelihatan gerai menjual keperluan umrah dan haji
Menghampiri Taif
Kambing kelihatan di mana-mana
  Lori membawa rumput untuk ternakan

Kami tiba di Miqat Qarn Al Manazil atau lebih dikenali sebagai Al Sail Al Kabir pada waktu maghrib. Bahagian sebelah kiri jalan menuju ke masjid tempat Miqat terdapat banyak gerai-gerai menjual pelbagai barang keperluan untuk mengerjakan umrah atau haji seperti selipar, kain ihram dan sebagainya. Di bahagian berdekatan dengan kedai-kedai ini juga terdapat bangunan yang menawarkan bilik-bilik untuk disewa dengan kadar mengikut jam. Ada juga yang menginap di sini jika hotel-hotel sekitar Mekah sudah penuh disewa. Kami terus bergerak menuju ke Masjid yang terletak di Miqat Al Sail Al Kabir.  Kami terus berpisah dengan kaum lelaki dan bergerak ke tandas wanita yang dilengkapi dengan kemudahan tandas, bilik mandi dan tempat wudhu. Terdapat banyak gerai di bahagian parkir dan juga di sekitar tandas wanita. Pelbagai barang keperluan ada dijual dengan harga yang lebih murah dan banyak pilihan.
Kelihatan banyak kedai menjual barang keperluan
umrah dan haji
Ada juga menyediakan kemudahan penginapan
Masjid Miqat di Qarn Al Manazil dari jauh
Sekitar kawasan parkir di depan masjid Miqat
Ruang solat wanita di Masjid Qarn Al Manazil
Anak-anak Dr Abid dan Dr Saiffulah tidak sabar
mahu menunaikan umrah
Sebelah kereta kami kelihatan unta-unta yang comel
Perjalanan dari Taif ke Mekah 

Di sini kami mandi sunat ihram, memakai ihram, menunaikan solat sunat ihram selepas menunaikan solat fardhu seterusnya berniat ihram. Kami meneruskan perjalanan ke bumi Mekah yang terletak 95 km dari Miqat ini. Selepas checkpoint kelihatan menara Mekah Clock Tower dari jauh dengan pancaran lampu cahaya berwarna hijau. Kami begitu teruja untuk melihatnya kerana Mekah Tower masih lagi di dalam pembinaan ketika kami menunaikan umrah pada tahun 2009. Selama ini kami hanya melihat melalui kaca televisyen sekarang ianya semakin hampir. Sambil bertalbiah kami turut membaca doa memasuki Kota Mekah. Jalan semakin sesak dan kereta Dr Abid dan Dr Saifullah hilang dari pandangan. Setelah mencari beberapa waktu suamiku mendapat panggilan telefon dari Dr Abid. Kami mengambil keputusan untuk berpisah di situ kerana Dr Abid dan Dr Saifullah belum menempah bilik hotel. Kami pula perlu segera mendaftar masuk ke bilik hotel yang telah kami tempah seminggu lebih awal.
Petunjuk untuk ke Kudai Parking, mesti kena jumpa
terowong ini dahulu
Kami meneruskan perjalanan mencari Kudai Parking yang terletak tidak jauh dari kawasan sekitar Masjidil Haram. Lama juga kami sesat dan terpaksa menempuh kesesakan yang teruk apabila melalui jalan menuju ke Masjidil haram. Namun akhirnya kami berjumpa juga kawasan tersebut dengan bantuan Maps. Kudai Parking menyediakan kawasan letak kereta dan kenderaan secara percuma sepanjang masa. Banyak kereta dan bas diletakkan di kawasan yang lengkap dengan tandas itu. Kami meletakkan kereta kami di situ setiap kali kami ke Mekah. Dari Kudai Parking ke hotel yang berdekatan Masjidil Haram dengan teksi dikenakan tambang SR30- SR50. Banyak teksi yang akan berpusing sekitar Kudai Parking untuk mencari pelanggan di situ. Alhamdulillah kami tiba di Hotel Le Meridien pada pukul 11.30 malam.

Kelihatan Mekah Tower dari Kudai Parking



                                                                                                                               zias/riyadh/15


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...