Ahad, 15 Mei 2016

Travelog : Oh!Riyadh (108) - Hantar Barang Balik Malaysia


Hantar Barang Balik Malaysia


Minggu peperiksaan pun bermula di Al Alameen International School. Pun begitu terdapat satu kertas peperiksaan pada hari Khamis lepas yang tidak dimasukkan di dalam jadual peperiksaan, iaitu  subjek Arab Sosial. Subjek yang diwajibkan oleh Kementerian Pendidikan Arab Saudi tetapi markah subjek ini tidak perlu dimasukkan ke dalam keputusan peperiksaan. Peperiksaan terakhir di Riyadh ini akan berakhir pada 22 Mei 2016. Kebanyakan sekolah milik kerajaan juga sedang mengalami situasi yang sama bahkan ada yang sudah bermula pada minggu lepas. Pensyarah universiti juga sedang sibuk menguruskan peperiksaan dan menanda kertas peperiksaan. Kebanyakan warga Malaysia yang tinggal di Riyadh sudah mula terasa bahang musim panas dan tidak sabar untuk pulang bercuti ke kampung halaman sempena cuti musim panas. Tahun ini cuti musim panas bagi sekolah dan universiti lebih panjang kerana ianya bersambung sehingga selepas cuti Hari Raya Aidil Adha. 

Bagi kami pula, tiada lagi istilah balik bercuti kerana kami akan balik terus ke negara asal kami. Alhamdulillah kerana Allah menunaikan hasrat kami untuk merasa tinggal di luar negara. Tiga tahun hampir berlalu, masa berjalan begitu pantas sekali. Urusan menghantar barang balik ke tanah air sudah selesai dilaksanakan semalam. 


Buat kenangan Dari Riyadh. Barang paling besar.
Terdapat rakan Malaysia yang menyediakan khidmat penghantaran pulang barang-barang ke Malaysia. Mulanya kami berhasrat untuk berkongsi kontena dengan rakan yang lain memandangkan tidak banyak barang yang perlu dihantar pulang. Menjadi kebiasaan rakyat Malaysia yang belajar atau bekerja di sini menghantar barang pulang melalui kontena jika mahu exit. Harga sebuah kontena bernilai sehingga SAR22,000, jadi jika ianya dikongsi pasti menjimatkan. Lagi pula menghantar barang melalui kontena, kita tidak perlu risau jumlah berat barang yang akan dimuatkan. Kerana ianya bergantung kepada jumlah keluasan kontena. Ada yang berkongsi separuh atau satu pertiga dari sebuah kontena.

Bermula selepas subuh. 
Untuk berkongsi kontena juga bukan senang seperti yang dijangkakan. Seperti kami, pada mulanya dijanjikan rakan yang boleh berkongsi kontena namun di saat akhir ianya tidak berlaku. Maklumlah macam-macam barang hendak dibawa balik, pasti tidak cukup ruang. Mujur ada  perkhidmatan kargo yang ditawarkan dari Riyadh ke Malaysia seperti yang disiarkan melalui Komuniti Warga Malaysia, Riyadh. Perkhidmatan kargo milik Tuan Ahmad Syihan Ismail (no hp : +60199536581) ini menawarkan bayaran sebanyak SR16 sekilo untuk ke Semenanjung dan SR25 sekilo untuk ke Sabah/Sarawak. Dengan nilai minima 35 kg bagi Semenanjung dan 45 kg bagi Sabah/Sarawak. Menjanjikan penghantaran terus ke rumah dengan tempoh masa sampai lebih kurang dua minggu dari tarikh pos.

Semua dah masuk kotak

Kami melakukan sendiri kerja-kerja memasukkan barang-barang ke dalam kotak dan beg. Tidak banyak barang yang dibeli sepanjang berada di sini. Buku-buku, pakaian, karpet,barang elektrik dan lain-lain dihantar terlebih dahulu. Kesemuanya lebih kurang 25 kotak (400++ kg) pelbagai saiz. Tuan Ahmad Syihan melakukan kerja-kerja membungkus barang yang lebih besar iaitu bantal dan tilam 'majlis' yang sempat kami beli di Ahsa. Pasti ada yang hairan kenapa tidak banyak barang yang kami miliki ketika tinggal di sini. Ini kerana rumah yang kami duduki ini disediakan oleh pihak universiti. Segala-galanya disediakan termasuk pinggan mangkuk, alat memasak dan cadar. Tuan Ahmad Syihan bersama seorang rakannya turut membalut kesemua kotak dengan plastik seperti perkhidmatan yang dilakukan  di lapangan terbang. Ini membolehkan barang-barang di dalam kotak lebih selamat dan  kelihatan lebih kemas. Kami membeli plastik tersebut di Saco. Kerja-kerja selesai sehingga hampir pukul 9.00 malam. Moga tidak ada sebarang masalah di dalam perjalanan dan selamat tiba di rumah kami. Aaminn.


Siap.

Hari Jumaat lepas sempat kami menziarahi sahabat Wan Salisa yang baru melahirkan cahaya mata ke enam. Turut menziarahinya pada hari yang sama ialah Pn Hjh Fauziah Agus dan Dr NurBarizah. Moga jadi anak solehah yang menjadi aset buat emak dan ayah, di dunia dan akhirat. Amiin .Mabrook Wan Salisa dan Dr Fauzi.


Siti Sumayyah...baru 10 hari.



                                                                                                                                                                       zias/riyadh/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...