Jumaat, 20 Mei 2016

Travelog : Jalan2 Australia, Melbourne (1) - Transit Aje


Transit Aje

Benua Australia semakin diminati sebagai tempat yang menarik untuk dilawati. 4 buah bandarnya berada  di dalam senarai 10 Kota Terbaik di Dunia 2015. Melbourne meraih tempat pertama di dalam senarai tersebut, Adelaide ditempat ke enam, tempat ke tujuh Sydney dan Perth di tempat ke lapan. Dengan adanya penerbangan tambang murah dari AirAsia, lebih ramai rakyat Malaysia yang mahu ke Australia. Australia yang pernah mencipta sejarah dengan sikap penduduknya yang rasis terutama terhadap pendatang dari Asia, sudah tidak kedengaran lagi. Pernah seorang rakanku yang belajar di Adelaide sekitar tahun 1980an diludah di atas bas oleh penduduk berkulit putih. Ketika itu memang ramai pelajar Malaysia dihantar ke luar negara untuk menyambung pelajaran selepas mencapai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM.  Ramai yang berpeluang ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan New Zealand. Keadaan di Australia sudah banyak berubah malah semakin ramai pendatang dari Asia diterima menjadi penduduk tetap di negara tersebut.


Teringin benar mahu ke Australia.

Melbourne merupakan bandar ke empat yang sempat aku lawati  di Australia selain Sydney, Brisbane dan Gold Coast. Disebabkan perjalanan ke Melbourne masih agak baru yakni sekitar tahun 2012 maka travelog mengenainya aku dahulukan. Berbanding ke Sydney pada tahun 1998 dan Gold Cost @ Brisbane pada tahun 1999. Perjalanan ke Melbourne adalah juga merupakan sebahagian dari perjalanan kami ke Pulau Selatan New Zealand.

Menaiki AirAsia...bagasi juga kena bajet.

Pengalaman kali pertama dan kedua ke Australia membuatkan kami tidak membawa apa-apa barang yang dilarang terutama yang melibatkan makanan. Sekadar mee segera sebagai bekalan jika berlaku kecemasan bila mana kami tidak sempat mencari kedai makan yang halal dan bersih. Jadi kami tidak perlu membuat sebarang pengakuan berkaitan barang yang dibawa. Mudah sahaja kami melepasi pemeriksaan kastam. 18 jam transit di Melbourne memberikan kami cukup masa untuk  kami bersiar-siar sekitar Melbourne. Kami tinggalkan bagasi di kedai yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Kami menaiki Skybus City Express dengan tambang AUD65 (RM210.60) untuk pakej bagi tiga orang.


Suasana di dalam Skybus

Skybus City Express bertolak daripada lapangan terbang setiap 15 minit. Perkhidmatannya adalah selama 24 jam  sehari dan 7 hari seminggu. Basnya begitu selesa dengan ruang bagasi yang tersendiri di bahagian tengahnya yang menyambungkan dua coach. 20 minit diperlukan untuk tiba di Skybus Coach Terminal yang terletak bersebelahan dengan Southern Cross Train Station. Perbezaan masa antara Melbourne dan Kuala Lumpur ialah 3 jam lebih awal dari di Kuala Lumpur. Waktu di Melbourne ketika itu ialah pukul 11.40 pagi manakala di Kuala Lumpur ialah 8.40 pagi.

Mencari stesen trem..suasana jalan.

Kami berjalan melalui celah-celah bangunan bagi mencari stesen trem yang merupakan sistem pengankutan utama di Melbourne. Kami menunggu di stesen trem di Spencer Street sambil memerhati laluan trem serta laluan kenderaan lain yang kebanyakannya dipandu dengan laju. Sewaktu menanti itulah suamiku baru perasaan kameranya tidak ada di dalam beg yang digalasnya. Puaslah kami mencari di dalam kesemua beg yang dibawa ketika itu. Suamiku merasa agak pasti, kameranya tertinggal di atas Skybus tadi. Suamiku menelefon pihak Skybus dengan merujuk kepada nombor telefon yang terdapat di tiket bas tersebut. Tiket bas perlu disimpan dengan baik untuk perjalanan balik kelapangan terbang petang nanti. Jawapannya agak mengecewakan, maklum hari cuti di hujung minggu. Pekerja ada yang bercuti. Kamera digital yang baru dibeli enam bulan lalu itu tidak mahal harganya tetapi isi di dalamnya begitu bermakna. Banyak gambar-gambar di dalamnya yang belum dipindahkan ke komputer.


Lalauan trem . Trem berwarna meroon ni free aje



Ini trem berbayar.


Trem adalah pengangkutan utama di Melbourne. Ianya diperkenalkan pada tahun 1865 dan telah menjadi sebahagian dari imej Melbourne. Rangkaian trem di Melbourne ini adalah yang terbesar di dunia dengan sekitar 249 kilometer rel berganda dan mempunyai 1770 hentian trem. Menaiki trem adalah cara mudah untuk melihat pemandangan bandar dan pinggiran bandar Melbourne seperti Richmond, St Kilda dan Yarra Selatan. Yang lebih menarik ialah Melbourne City Circle Tram yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma sekitar laluan utama pusat bandar.

Di dalam  Melbourne City Circle Tram

Ramai pelancong menggunakan laluan percuma ini untuk melihat Melbourne sepintas lalu seperti kami. Trem ini mempunyai jurucakap yang juga merupakan pemandu trem tersebut. Pemandu tersebut akan menerangkan maklumat penting berkaitan dengan bangunan, jalan dan sebagainya apabila trem melalui atau berhenti di kawasan tersebut. Penumpang boleh sahaja naik dan turun pada bila-bila masa kerana trem akan berhenti di kebanyakan laluan utama. Pelbagai jenis penumpang yang kami temui, maklum agak lama juga kami berada di atas trem tersebut. Termasuk beberapa orang pelajar universiti  dari Vietnam dan Indonesia yang membuat kaji selidik menggunakan penumpang trem tersebut. Penumpang yang menjadi respondan itu terdiri dari pelbagai peringkat umur dan warna kulit. Mereka begitu senang mengisi borang soal selidik yang dihulurkan sambil mengukir senyuman. Terdapat beberapa buah universiti di tengah-tengah kota ini. Antaranya ialah RMIT University, Melbourne University dan Victoria University. RMIT University dapat dilihat dengan jelas melalui atas trem yang dinaik.


Trem bersejarah.Walau kelihatan agak uzur tapi masih kuat menggalas tanggungjawab.


Bersambung







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...