Sabtu, 7 April 2018

Rasa Dapurku (270) - Nasi Lemuni




 BismillahirRahmanirRahim



Cuti sekolah yang lepas telah mempertemukan aku dengan Cu Minah, adik bongsu Almarhum Ayahku. Ada beberapa resepi yang aku tanyakan kepada dia dalam pertemuan singkat itu. Amat besar harapan aku bahawa suatu hari nanti aku dapat meluangkan masa dengan lebih lama dengan Cu Minah supaya resepi-resepi masakannya dapat aku manafaatkan.

Antara hasil masakan Cu Minah yang masih aku ingat ialah Nasi Lemuni. Nasi Lemuni lebih dikenali di sebelah utara tanah air. Ketika itu aku masih di sekolah rendah, Nasi Lemuni bersama sambal sotong itu sangat-sangat sedap. Aku juga masih ingat pokok Lemuni yang ditanam di depan rumah Cu Minah. Daunnya berwarna ungu dan agak rendang walaupun rendah.

Aku mencuba resepi Nasi Lemuni di kampung bersama sambal sotong kering keesokannya. Sayangnya tidak sempat untuk aku ambil gambarnya kerana semua yang ada begitu teringin merasanya. Lalu aku bawa balik daun lemuni yang berlebihan balik ke rumah. Daun itu aku blender dan tapis untuk mendapatkan airnya. Aku simpan di dalam peti sejuk kerana tidak pasti bila mahu memasaknya.

Kali ini aku memasak Nasi Lemuni buat kali kedua namun menggunakan ikan bilis untuk dibuat sambal. Cara membuatnya seperti kita memasak nasi lemak, hanya ditambah air daun lemuni sahaja. Cubalah...ianya memang sedap dan berkhasiat.

Resepi Nasi Lemuni
Bahan2
1 ikat daun lemuni, dikisar bersama air dan ditapis.
2 cawan beras basmati
2-3 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 inci halia*
bahan * dihiris halus
Sedikit halba
1 batang serai
1-2 helai daun pandan
1-2 cawan santan pekat
Garam

Cara Membuatnya:
1.Beras dibasuh dan dimasukkan ke dalam periuk elektrik.
2.Masukkan air daun lemuni dan semua bahan di atas.
3.Kacau dan biarkan sehingga masak.
4.Hidangkan bersama sambal, timun dan telur rebus seperti nasi lemak.



Daun lemuni berwarna ungu


Air daun lemuni berwarna hitam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...