Khamis, 14 April 2016

Travelog : Kuwait Dihatiku (6) - Bersilaturrahim Di Kuwait.


Bersilaturrahim Di Kuwait.


Saudara Ahmad menepati janjinya dan sudah berada di lobi hotel tepat pada pukul 6.00 malam seperti yang dijanjikan. Berpakaian seperti orang Arab Kuwait, Saudara Ahmad dan suamiku berpelukan sebagai tanda persaudaraan sebaik sahaja bertemu. Sepanjang perjalanan di dalam kereta pacuan empat roda yang dipandu Saudara Ahmad, banyak perkara yang dibualkan. Mereka berdua begitu serasi mungkin disebabkan umur yang hampir sebaya, juga sama bidang kerjaya  iaitu kejuruteraan. Pokok perbincangan pada awalnya lebih berkisar kepada kerjaya masing-masing sehingga kepada situasi di Arab Saudi yang kini diperintah oleh raja baru iaitu King Salman. Kemudian Saudara Ahmad bercerita pula bagaimana arwah ayahnya Almarhum Pak Long Mustafa berhijrah ke Kuwait.

Almarhum ayahku pernah bercerita perihal Almarhum Pak Long Mustafa kepada aku namun ianya hanya berlalu begitu sahaja. Maklumlah kami tidak pernah bertemu...lagi pula di Kuwait. Tidak pernah aku terfikir akan ke Kuwait pada suatu hari nanti. Aku juga agak keliru akan cerita yang selalu aku dengar dari Almarhum ayahku. Aku juga tidak pasti Almarhum Pak Long Mustafa tinggal di Kuwait atau Mekah, Arab Saudi. Kami juga ada mendengar berita Almarhum adik Pak Long Mustafa yang kami panggil Pak Ndak pernah ke Kuwait untuk bertemu dengan abangnya itu. Almarhum Pak Ndak bersama Mak Ndak ditemani anak sulung mereka yang kami panggil Abang Halil. Mak Ndak adalah adik kepada Almarhum ayahku, emak kepada Pn Maznah, sepupuku.

MashaAllah, takdirNya mengatasi segalanya. Kini aku di dalam perjalanan bertemu dengan keluarga yang sering diceritakan oleh Almarhum ayahku. Walaupun mereka bukanlah keluarga rapat kami namun aku diberi peluang untuk menyambung silaturrahim keluarga Mak Ndakku yang semakin jauh ditelan masa dan batasan geografi. Alhamdulillah aku terpilih untuk menjadi penyambung silaturrahim ini dengan bertemu keluarga Almarhum Pak Long Mustafa. Moga setiap inci perjalanan kami dari Riyadh ke Kuwait, Allah ganjarkan dengan ribuan pahala. Memelihara tali persaudaraan yang sedia ada sesuatu yang amat dituntut di dalam Islam. Walaupun pada asalnya sekadar memenuhi hasrat Pn Maznah supaya kami bertemu dengan keluarga sepupunya itu. 

Firman Allah SWT yang bermaksud,
"Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu". [Surah An-Nisaa ayat 1]

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
"Dan siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengeratkan kekeluargaan (silaturrahim) [Hadits riwayat Bukhari]

Sesekali aku menyampuk perbualan suamiku dan Saudara Ahmad untuk membetulkan fakta-fakta yang agak keliru. Saudara Ahmad tidak boleh berbahasa Melayu  dan suamiku pula tidak pandai berbahasa Arab jadi perbualan mereka seratus peratus di dalam Bahasa Inggeris. Kami meneruskan perjalanan menuju rumah Saudara Ahmad yang terletak di Bayan, tidak jauh dari Kuwait City dengan melalui Arabian Gulf Road yang kami lalui siang tadi. Memasuki kawasan Bayan, kami melihat rumah agam yang berderetan sepanjang jalan. Rumah-rumah besar yang kebanyakannya tidak berpagar begitu mewah sekali dan rata-ratanya terdiri dari bangunan 3 atau 4 tingkat. Akhirnya kami tiba di kediaman Saudara Ahmad.


Kediaman asal Almarhum Pak Long Mustafa .

Mak Long Saodah, emak kepada Saudara Ahmad sudah siap menunggu kedatangan kami di depan pintu rumahnya. Mengikut tradisi Arab, kami dijemput masuk ke ruang yang berlainan yang memisahkan tetamu lelaki dan tetamu perempuan. Suamiku mengikut Saudara Ahmad ke ruang tetamu lelaki yang terletak di bahagian hadapan rumah tersebut. Aku dan Saffura dijemput masuk ke ruang tetamu yang satu lagi.

"Mai masuk...mai masuk," Kedengaran suara Mak Long Saodah menggunakan loghat orang Utara. Terasa seperti aku berada di kampung halamanku.
"Apa habaq Mak Long....minta maaf lah kami mai dok kacau Mak Long pulak malam-malam ni." Balasku sambil memeluk erat Mak Long Saodah. Terasa seperti memeluk emak saudaraku sendiri.
"Tak aih, tak kacau aih." Balas Mak Long Saodah penuh mesra.

Sememangnya aku agak terkejut dengan kemampuan Mak Long Saodah berbahasa Melayu dialek Penang sedangkan beliau tidak pernah tinggal di Malaysia. Tidak berapa lama kemudian anak perempuan Mak Long Saodah  yang bernama Saudari Maimunah dan isteri Saudara Ahmad, Pn Salmah turut menyambut kami. Saudari Maimunah juga tidak boleh berbahasa Melayu seperti Saudara Ahmad namun Salmah yang berasal dari Indonesia bercakap seolah orang Malaysia. Banyak yang kami bualkan terutama hal-hal keluarga dan suasana kehidupan yang mereka lalui di Kuwait. Puas lah aku menerangkan kepada mereka hubungan aku dengan Pn Maznah kerana mereka kehairanan memikirkan hubungan aku sebagai ahli keluarga mereka. Menumpang saudara sepupu lah pulak nampak gayanya.

Salmah (kiri), Mak Long Saodah dan Maimunah.

Saudari Maimunah berkerja sebagai seorang guru di sekolah awam Kuwait. Hanya boleh bertutur beberapa perkataan di dalam bahasa Melayu seperti emak, makan, tidur dan sebagainya. Almarhum Pak Long Mustafa  mahu anak-anaknya berbahasa Arab jadi sememangnya mereka tidak bertutur dalam bahasa Melayu semenjak kecil. Saudari Maimudah mengeluarkan dua keratan Akhbar yang telah dilaminat dan disimpan rapi. Keratan akhbar dalam tulisan Melayu dan Jawi itu menceritakan kisah Almarhum Pak Long Mustafa yang berhijrah ke Kuwait.

Keratan akhbar Utusan Melayu 1985
Akhbar dalam tulisan Jawi
Sememangnya aku tidak sempat membaca keratan akhbar tersebut namun mujurlah aku mengambil gambar-gambar keratan akhbar tersebut untuk dibaca kemudiannya. Aku juga berpeluang melihat gambar-gambar lama, album keluarga milik  almarhum Pak Long Mustafa. Album tersebut juga dijaga dengan rapi dengan gambar-gambar lama yang masih elok dan jelas kelihatan. Gambar-gambar Mak Ndak dan keluarganya yang berkunjung ke Kuwait pada tahun 1996 juga dapat aku lihat. 


Almarhum Pak Long Mustafa( paling kiri), Mak Cik Saodah, Mak Ndak dan Almarhum  Pak Ndak Abdul Malik

Ibubapa Mak Long Saodah berasal dari Butterworth Pulau Pinang yang juga merupakan  negeri kelahiranku. Ibubapa Mak Long Saodah menetap di Mekah dan Mak Long Saodah turut dilahirkan di Mekah. Almarhum Pak Long Mustafa pernah bekerja dengan ayah Mak Long Saodah ketika tinggal di Mekah. Mak Cik Saodah dikurniakan empat orang anak iaitu Ahmad, Maimunah, Sulaiman dan Abdullah. Saudara Sulaiman dan Saudara Abdullah sudah pun berumah tangga dengan warga Kuwait. Mereka semua adalah warga negara Kuwait setelah status tersebut diperolehi oleh Almarhum Pak Long Mustafa. Setiap hari Jumaat kesemua anak-anak, menantu dan cucu-cucu Mak Long Saodah akan berkumpul di rumahnya sehingga malam. Banyak yang info yang aku dapat setelah berbual dengan Pn Salmah dan Saudari Maimunah sedang Mak Long Saodah sudah banyak lupa akan kisah lalu. Berusia dalam lingkungan 70an, aku memahami kenapa banyak kisah lalu  tidak mampu diingatnya lagi.

Warga Kuwait diberi wang tunai semenjak lahir bernilai 50KD (Kuwait Dinar). Semasa kami berada di Kuwait nilai 1KD = SAR13 = RM15. Mereka juga mendapat elaun khas untuk belajar sehingga ke universiti. Pendidikan adalah percuma sehingga ke universiti dan pelajar yang cemerlang akan dihantar ke luar negara. Saudara Ahmad dan anaknya Abdul Razak turut melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Warga Kuwait juga mendapat bantuan untuk berkahwin jika pasangan hidupnya juga dari warga Kuwait. Warga Kuwait juga mendapat kemudahan memiliki rumah secara sewa beli dimana mereka akan membayarnya secara ansuran untuk tempoh yang tertentu. Saudara Ahmad turut menikmati kemudahan tersebut dan kini rumahnya disewa kerana mereka lebih selesa tinggal bersama emaknya. Beruntung sungguh warga negara Kuwait yang diberi kemewahan oleh Allah SWT dan kerajaan berkongsi pula dengan rakyatnya supaya nikmat itu dirasai bersama-sama.

Kami dijamu dengan kebab dan makanan Arab lain. Semuanya hampir sama dengan kebab yang biasa kami nikmati di Riyadh. Aku dan Saffura memang peminat kebab apalagi.... 

Pinggan dari Malaysia..hihi
Pencuci mulut.
Ni memang awesome
Selepas makan, aku meminta izin untuk ke tandas dan hingga sekarang aku masih tersenyum apabila teringat perkataan yang sudah terlalu lama tidak aku dengari.

"Nak pi jamban ka? Tanya Mak Long Saodah sambil menunjukkan kedudukan beberapa tandas yang terdapat berdekatan ruang tetamu tersebut. Saffura turut ketawa apabila mendengar perkataan 'jamban' buat kali pertamanya. 

Rumah dua tingkat milik  Mak Long Saodah ini adalah rumah yang dibeli secara sewa beli dari kerajaan Kuwait. Mempunyai 3 ruang tetamu yang cukup besar dan terasing antara satu sama lain serta dapur di tingkat bawah. Manakala di tingkat atas adalah bilik tidur. Tidak pula aku terfikir untuk meninjau ruang-ruang lain di rumah tersebut. Mujur mereka mempunyai pembantu rumah dari Filipina untuk menguruskan rumah yang agak besar itu. Rumah tersebut dikatakan terletak di kawasan perumahan murah ketika Allahyarham Pak Long Mustafa membelinya. Tapi pada pandanganku rumah tersebut tidak sesuai langsung dipanggil rumah murah kerana saiznya yang besar. Seperti sebuah banglo dua tingkat.


Kebanyakan jiran mereka juga adalah terdiri dari negara luar jadi pergaulan Mak Long Saodah dengan jiran-jiran adalah agak terhad. Tidak dapat aku bayangkan kehidupan Mak Long Saodah di Kuwait bersama keluarga kecilnya. Saudara mara Mak Long Saodah masih tinggal Di Mekah. Menurut Saudari Maimunah, semua sepupunya yang berada di Mekah boleh bertutur di dalam bahasa Melayu dengan fasih. Kami juga diberitahu yang mereka akan berada di Mekah selepas Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini untuk memunaikan umrah dan bertemu keluarga yang tinggal tidak jauh dari kawasan Masjidilharam itu.

Moga Mak Cik Saodah terus sihat.
Lebih lima jam lamanya kami berada di rumah Mak Long Saodah dan banyak yang kami bualkan terutama dengan Pn Salmah dan Saudari Maimunah. Semuanya pasti menjadi ingatan manis buatku. Sebelum balik aku sempat meninjau kawasan hadapan rumah yang dipenuhi dengan pelbagai tanaman. Walaupun semua ruang sekeliling rumah tersebut sudah tidak bertanah, Saudari Maimunah masih kreatif untuk menaman pokok-pokok bunga sempena musim bunga yang pendek itu. Bahan-bahan buangan menjadi bekas untuk menanam pelbagai pokok bunga dan herba.

Penuh dengan pokok-pokok menghijau
Sudah ada yang berbunga

Kreatif- mengguna botol air mineral.

Saudara Ahmad dan anaknya Abdul Razak, yang fasih berbahasa Indonesia begitu peramah sehingga suamiku begitu seronok berbual dengan mereka. Pun begitu kami terpaksa memohon untuk mengundurkan diri kerana malam semakin larut. Saudara Ahmad kerap berkunjung ke Malaysia, Indonesai dan Thailand. Moga hubungan persaudaraan  yang terjalin akan berterusan.

Saudara Ahmad berdarah Melayu tulin tapi dah rupa orang Arab.
Cucu sulung Almarhum Pak Long Mustafa, Abdul Razak berdarah campuran  Melayu-Indonesia-Yaman.

Bersambung.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...