Khamis, 21 April 2016

Dapurku D'Riyadh (159) - Masak Lemak Udang Dengan Nenas



Bismillahirrahmanirrahim.

Rancangan asal nenas yang dibeli untuk dibuat jem nenas. Kebetulan ada pula udang segar yang turut  dibeli bersama. Aku pun dapat idea untuk mencuba  resepi masak lemak udang dengan nenas pula. Sedap pula rasanya tambahan pula kuah yang dibuat agak pekat. Kali ini aku menggunakan kunyit hidup dan sedikit lengkuas. Kunyit hidup, serai dan lengkuas segar mudah didapati di Tamimi Market. ketiga-tiga bahan tersebut mampu menghasilkan aroma yang sedap walaupun tiada daun kunyit atau daun limau purut dimasukkan.





Resepi Masak Lemak Udang Dengan Nenas.

Bahan2:
10 ekor udang sederhana saiznya 
1/4 biji nenas (dipotong)
1 cawan santan pekat
1/2 biji bawang besar *
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1/2 inci lengkuas*
Kunyit hidup*
1 biji cili hijau* (ganti cili padi)
2 batang serai dibelah dua
Sedikit minyak masak
Garam secukup rasa
Air
Sedikit daun kunyit/limau purut

Cara Membuatnya:
1.Bahan-bahan bertanda * dikisar halus.
2.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali dan masukkan
   bahan kisar. Goreng sehingga naik bau.
3.Masukkan serai , garam dan sedikit air. Kacau. Masukkan
   udang, nenas dan santan pekat.
4.Sentiasa kacau dengan menggunakan api yang perlahan
   sehingga udang dan nenas masak.
5.Masukkan daun kunyit atau daun limau purut sebelum
   padamkan api.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...