Kisah Almarhum Hj Mustafa Ahmad
Di sini aku tuliskan kembali laporan akhbar Utusan Malayisa yang memuatkan kisah Almarhum Pak Long Mustafa Ahmad. Dengan harapan ianya dibaca oleh sanak saudara dan generasi Almarhum Pak Long Mustafa Ahmad yang kebanyakannya tidak pernah bertemu dengannya. Agar kisah hijrahnya menjadi iktibar untuk sesiapa sahaja, sesungguhnya bumi Allah SWT ini begitu luas untuk diterokai.
Hajat beliau pada mulanya hanyalah untuk menjelajah dan menimba ilmu di Arab Saudi tetapi dengan takdir Ilahi, walupun beliau telah berkali-kali berusaha untuk kembali ke tanahair namun Hj Mustafa Ahmad tetap gagal melakukan demikian dan akhirnya mengambil keputusan terpaksa menetap di Kuwait sebagai warganegara.
Beliau mula melangkah kakinya ke tanah Arab itu pada tahun 1924 ketika berusia dua puluhan dengan menaiki kapal arang. Tujuannya untuk meneruskan pengajian agama di Sekolah Salautiah Mekah kerana ketika itu tidak ada sekolah di Tanah Melayu yang mengadakan kursus yang mahu dipelajari.
Atas kemahuan ayahnya, seorang pesawah yang dikenali ramai sebagai Lebai Mat atau Ahmad bin Abdullah dan ibunya (hajah) Rahmah binti Sulaiman, Hj Mustafa pun memulakan perjalanan ke dunia Arab dari Province Wellesley.
Hj Mustafa atau juga lebih dikenali di tanah Arab sebagai Mustafa Jawi kini berusia 74 tahun dan mempunyai empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan hasil perkongsian hidupnya dengan Puan Saodah Mohd Said, 43, yang dilahirkan di tanah suci Mekah.
Lambang Kemelayuan
Hj Mustafa menceritakan riwayat hidupnya itu kepada Utusan baru-baru ini di rumahnya di Bayan kira-kira 15 kilometer dari bandaraya Kuwait. Turut mengiringi saya ialah seorang pegawai dari kedutaan Malaysia di sana.
Dari air mukanya beliau memang kelihatan sungguh gembira dengan kedatangan kami walaupun Pak Mus Jawi sering dikunjungi oleh orang-orang dari Malaysia bila ada kesempatan.
Pak Mus tinggal di sebuah kawasan perumahan rumah murah yang diberikan oleh kerajaan Kuwait secara sewa-beli. Rumah itu disewa dengan bayaran 7 1/2 dinar (angaran RM60) selama 10 tahun dan bila habis dibayar ansuran tersebut, ia akan menjadi hak milik penghuninya.
Walaupun, ia dinamakan rumah murah tetapi rumah itu mempunyai empat bilik tidur. Di kawasan depannya kelihatan pokok keladi dan sayur-sayuran, tidak ubah seperti rumah orang-orang Melayu yang lain walaupun pada hakikatnya Pak Mus Jawi menjadi orang asing berkurun lamanya.
Ketibaan kami dialu-alukan dengan penuh mesra sambil ditanya perkembangan di Malaysia. Dari mirip wajahnya jelas beliau cuba untuk membayangkan bahawa apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang sangat jauh berbeza dari Tanah Melayu yang pernah ditinggal dulu.
Ketika ditemui Pak Mus Jawi memakai baju Melayu berwarna biru muda dan berkain pelekat serta berkopiah putih, satu lambang kemelayuan yang tidak lekang daripada hidupnya walaupun berada di negara asing sudah lama.
Menurutnya, selepas tamat pengajiannya beliau tidak dapat pulang ke tanahair kerana peperangan meletus di Tanah Melayu dan Jepun memerintah.
Oleh kerana terlalu lama di sana, beliau pun bekerja dengan sebuah syarikat kenderaan di Mekah untuk membawa penumpang-penumpang yang menunaikan fardu haji dari Kuwait dan balik.
Keseorangan
Menurut Pak Mus Jawi, tujuannya adalah untuk mendapat kesempatan ke Kuwait hingga bila suasana peperangan reda, beliau hendak menaiki kapal dan pulang ke Tanah Melayu tetapi kesempatan itu tidak pernah muncul.
Akhirnya, setelah bekerja buat beberapa ketika dengan Syarikat Motokar Najdiah, beliau pun mendirikan rumahtangga dengan anak perempuan tuanpunya syarikat itu, Haji Said bin Mohamad yang berasal dari Mata Kucing (ketika itu nama tempat tersebut iaitu Mata Kuching) dekat Butterworth.
Isterinya, Saodah Mohd Said dilahirkan di Mekah pada tahun 1941 dan juga tidak pernah pulang ke Tanah Melayu sejak dilahirkan hingga mendirikan rumahtangga dengan Pak Mus Jawi selama 26 tahun sekarang.
Dalam loghat Melayu Kedah Pak Mus Jawi menceritakan lagi bahawa pada tahun 1941 beliau dan sahabatnya, juga dari Pulau Pinang, Arof Abdul Ghani telah membawa penumpang yang menunaikan fardu haji dari Mekah ke Kuwait.
Kali ini beliau gagal lagi untuk balik ke Tanah Melayu kerana peperangan. Dalam pada itu ada seorang anggota tentera British yang bernama Jeneral Fizi menasihatkannya supaya jangan pulang kerana katanya tempat yang dia berada ketika itu (tanah Arab) akan menjadi seperti Perancis. Maksudnya akan membangun seperti negara-negara Eropah atau negara Barat. Menurut beliau selepas dua tahun, Arof meninggalkannya untuk ke Mekah dan tidak kembali lagi menyebabkannya merasa begitu risau kerana keseorangan di tengah-tengah negara asing.
Oleh itu beliau pun membuka sebuah bengkelnya sendiri di Kuwait atas nama 'Garaj Jawi'.
Menurut Pak Mus Jawi, orang-orang Arab menggelarnya Haji Mustafa Jawi kerana daripada kefahaman mereka, Jawi itu adalah Tanah Melayu. Jadi apabila mereka memanggilnya Mustafa Jawi maksudnya ialah Haji Mustafa dari Tanah Melayu.
Pak Mus Jawi mempunyai pekerja-pekerja sendiri untuk membantunya di bengkel kepunyaannya itu. Menurut beliau, pekerja-pekerja itu terdiri daripada rakyat Iraq dan Arab Saudi.
Setelah itu walaupun dalam dadanya masih tersirat hajat untuk pulang ke tempat asal beliau dilahirkan di Serdang, Kedah. Tetapi dengan kemahuan Ilahi, beliau tidak dapat melangkah kakinya untuk mematah balik perjalanannya.
Apabila anak sulongnya, Ahmad berusia lima tahun, suatu peristiwa telah berlaku yang menyebabkannya menjadi rakyat Kuwait.
Daripada ceritanya, Haji Mustafa telah memperolehi kerakyatan Kuwait atau anugerah bapa putera mahkota merangkap Perdana Menteri sekarang Sheikh Abdullah Al-Sabah kerana jasanya membaiki engin bot beliau.
Anugerah
Menurutnya selepas menolong sheikh tersebut, beliau diarah supaya pergi ke pejabat kerakyatan Kuwait dengan membawa bersamanya tiga keping gambar dan pasport Arab Saudi. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1968 iaitu tahun yang sungguh bersejarah baginya.
"Bukan saya mahu,Tuhan yang tahu dalam hati saya ini, saya tidak mahu langsung nak jadi rakyat Kuwait tetapi atas kehendakNya dan kerana masa depan persekolahan Ahmad, saya menerimanya." Kata Pak Mus Jawi.
Beliau meneruskan bahawa ketika itu Ahmad, anak sulongnya sudah genap umur untuk bersekolah dan kerajaan Kuwait masa itu tidak membenarkan sesiapa pun memasuki sekolahnya kecuali warganegaranya sendiri.
Jadi oleh kerana Ahmadlah saya terpaksa menjadi rakyat Kuwait. Ahmad kini berusia 22 tahun dan sedang belajar di kuliah teknologi Kuwait. Cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera.
Anak Haji Mustafa yang kedua ialah Maimunah 20 tahun, kini sedang belajar di Universiti Kuwait dalam tahun kedua kursus kedoktoran.
Yang ketiga adalah Abdullah, 18 tahun, sedang belajar di sekolah menengah manakala yang bongsu ialah Sulaiman 15 tahun juga di peringkat sekolah menengah.
Haji Mustafa kini tidak lagi bekerja di bengkelnya walaupun bengkel itu masih ada disatu kawasan tidak jauh dari rumah beliau.
Hanya setakat itu sahaja petikan dari akhbar Utusan Malaysia yang dapat aku paparkan. Terdapat sedikit lagi petikan yang tidak dapat aku baca kerana tersilap ambil gambar.
Dari perbualan antara aku dengan Pn Maznah dapat aku ketahui bahawa Almarhum Pak Long Mustafa tidak pernah kembali ke tanah airnya. Almarhum meninggal dunia pada tahun 1996 selepas kira-kira 100 hari selepas ibu bapa Pn Maznah menziarahinya. Hanya ibu bapa Pn Maznah sahaja yang sempat berkunjung ke Kuwait sehingga setakat ini. Ada juga adik beradik Almarhum Pak Long Mustafa yang berpeluang bertemu dengannya ketika menunaikan umrah. Mak Long Saodah, Maimunah dan Sulaiman pernah berkunjung ke rumah adik beradik Almarhum Pak Long Mustafa selepas ketiadaannya.
Sebenarnya kisah Almarhum Pak Long Mustafa begitu menarik sekali. Liku-liku kehidupannya di Mekah dan kemudiannya di Kuwait seolah kisah yang aku baca dari sebuah novel. Hakikatnya ia adalah kisah sebenar. Moga Almarhum Pak Long Mustafa beroleh rahmat Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama golongan mereka yang mendapat keampunan dari Allah SWT. Al Fatihah untuk Almarhum Ayahku, Almarhum Ibuku, Almarhum Bapa Mertuaku, Almarhum Pak Ndak, Almarhum Pak Long Mustafa dan semua sanak saudara yang telah pergi terlebih dahulu.
Hanya setakat itu sahaja petikan dari akhbar Utusan Malaysia yang dapat aku paparkan. Terdapat sedikit lagi petikan yang tidak dapat aku baca kerana tersilap ambil gambar.
Dari perbualan antara aku dengan Pn Maznah dapat aku ketahui bahawa Almarhum Pak Long Mustafa tidak pernah kembali ke tanah airnya. Almarhum meninggal dunia pada tahun 1996 selepas kira-kira 100 hari selepas ibu bapa Pn Maznah menziarahinya. Hanya ibu bapa Pn Maznah sahaja yang sempat berkunjung ke Kuwait sehingga setakat ini. Ada juga adik beradik Almarhum Pak Long Mustafa yang berpeluang bertemu dengannya ketika menunaikan umrah. Mak Long Saodah, Maimunah dan Sulaiman pernah berkunjung ke rumah adik beradik Almarhum Pak Long Mustafa selepas ketiadaannya.
Sebenarnya kisah Almarhum Pak Long Mustafa begitu menarik sekali. Liku-liku kehidupannya di Mekah dan kemudiannya di Kuwait seolah kisah yang aku baca dari sebuah novel. Hakikatnya ia adalah kisah sebenar. Moga Almarhum Pak Long Mustafa beroleh rahmat Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama golongan mereka yang mendapat keampunan dari Allah SWT. Al Fatihah untuk Almarhum Ayahku, Almarhum Ibuku, Almarhum Bapa Mertuaku, Almarhum Pak Ndak, Almarhum Pak Long Mustafa dan semua sanak saudara yang telah pergi terlebih dahulu.
"Ya ALLAH ampuni dosanya, kasihani dan sejahterakan dia,
maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya
lapangkan kuburnya dengan rahmatMu,
wahai Tuhan yang Maha Pengasih."
Saudara Ahmad (paling kiri) dan adik beradik lain bersama Almarhum ayahnya |
Ruang Bisik-bisik oleh Awang Selamat sudah ada 31 tahun yang lepas. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan