Khamis, 24 Ogos 2017

Rasa Dapurku (243) - Masak Lemak Cendawan Kukur Campur Keledek


BismillahirRahmanirRahim.




Lama sungguh tidak berlauk cendawan kukur atau kulat sisir. Cendawan yang biasanya tumbuh di batang-batang kayu getah sebaik sahaja berakhir musim hujan kini sudah boleh ditanam. Waah sungguh menakjubkan. Ianya tidak aku sedari sehingga dua minggu yang lepas apabila ada seorang pengusaha cendawan kukur datang ke kolej untuk menjual hasil tanamannya itu. Teruja melihat cendawan kukur yang bersih, aku pun membelinya sebungkus dengan harga RM10.00.

Terkenang aku akan Almarhum ayah mentuaku, semasa hayatnya  sangat rajin mengutip cendawan kukur apabila musim hujan. Semenjak Almarhum tiada, aku tidak pernah merasa masakan cendawan kukur kerana agak sukar untuk mendapatkannya. Aku memasaknya bersama keledek oren, MasyaAllah sedap sungguh rasanya walaupun diratah begitu sahaja. Selain keledek, labu kuning dan pisang muda juga boleh dijadikan gandingannya. Rugi pula rasanya kerana hanya membeli satu bungkus sahaja cendawan kukur tersebut. Selain keledek, labu kuning dan pisang muda juga sesuai digunakan.

Resepi Masak Lemak Cendawan Kukur Campur Keledek.
Bahan2:
1 mangkuk cendawan kukur dibasuh dan direndam 1 jam
1 cawan santan pekat
1 biji keledek dipotong kecil
1 helai daun kunyit
1 batang serai diketuk/dibelah dua
1 keping asam keping (boleh guna belimbing buluh)
Garam
Air
1/2 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
2 inci kunyit hidup*
15 biji cili api*
1 sudu besar ikan bilis* (atau ikan kering)
Kisar bahan *

Cendawan kukur atau kulat sisir yang belum dimasak.

Cara Membuatnya:
1.Masukkan bahan kisar ke dalam sebuah periuk bersama garam dan sedikit air.
   Masak sehingga naik bau.
2.Masukkan keledek dan  cendawan, masak sehingga keledek dan cendawan
   lembut. Tambah air jika perlu.
3.Masukkan daun kunyit dan santan pekat. Kacau sehingga sebati dan mendidih.
   Tutup api.

Dalam kuali... dah masak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...