BismillahirRahmanirRahim
Cantik pula ubi keledek yang dibeli suami semalam. Seperti biasa sebelah paginya KakJee goreng keledek buat sarapan. Keledek bersalut tepung menjadi kegemaran ahli keluarga KakJee. Bagi yang nak lebih sedap KakJee sediakan sambal kicap supaya lebih ummph. Tugas lebih mudah berbanding jika ubi tersebut dibuat kuih keria seperti selalu.
Ada lebih pula ubi keledek oren yang cantik warnanya itu. Terus KakJee buat pengat selepas selesai menyediakan hidangan untuk makan tengahari. Tidak susah sebab semuanya sudah tersedia. Baki keladi yang digunakan untuk menyediakan Masak Lemak Siput Sedut Sama Keladi ada disimpan dalam peti ais. Ianya sudah disiap didadu dan dikukus. Lebih mudah kukus keladi kerana tidak mudah hancur. Jagung pun memang ada dalam simpanan.
Resipi Pengat 3 Warna
Bahan2:
1 biji ubi keledek oren
1 mangkuk keladi yang siap dikukus
1 mangkuk jagung
1 cawan santan pekat
1/2 cawan sagu mata ikan - direndam
1 ketul gula Melaka.
Sedikit garam
2 helai daun pandan.
Air secukupnya
Cara Membuatnya:
1.Ubi keledek dipotong dadu.
2.Masak gula Melaka bersama air dan daun pandan sehingga semua gula larut.Tapis.
3.Masak ubi keledek bersama air gula sehingga lembut. Masukkan keladi, jagung dan sagu mata ikan. Masak sehingga sagu mata ikan kembang.
4.Masukkan santan dan garam. Kacau sehingga semuanya sebati dan agak pekat. Tutup api.
Selamat Mencuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan