Khamis, 12 Mei 2022

Salam Aidilfitri 1443H

 BismillahirRahmanirRahim

Semoga belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta maaf zahir dan batin buat pengunjung blog ini. Didoakan setiap amalan kita disepanjang buan Ramadan yang lepas dinilai sebagai ibadat. Diberi ganjaran sebaiknya di dunia dan akhirat. Besarlah harapan, agar kita dapat bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini tahun depan. Aamiin.

Pastinya kita sudah kembali menjalani rutin kehidupan seperti biasa setelah lebih seminggu berada di bulan Syawal. Banyak kenangan yang dikutip sepanjang sambutan hari raya yang lepas. Ditambah pula dengan beberapa elemen yang tidak diduga, semuanya memberi rasa nikmat yang tersendiri untuk disyukuri. Maklumlah setelah dua tahun tidak menikmati raya dengan sempurna.

Berita bocor berkaitan tarikh hari raya menjadi bualan hangat media sosial. Katanya kemungkinan hari raya pada hari Isnin, 2 Mei 2022. Negara Arab Saudi yang sentiasa menjadi rujukan dijangkakan beraya pada hari Ahad jika anak bulan Syawal kelihatan. Puaslah penafian diberikan dan penegasan kemungkinan raya hari Selasa, seperti yang tertera di kalendar.

Kami sekeluarga bertolak ke kampung di utara jam 9:30 pagi. Rancangan untuk kembali ke kampung seawal hari Jumaan tidak boleh dilaksanakan kerana Saffura masih bekerja (intern) sehingga hari Sabtu. Sebaik melepasi R&R Sungai Buloh, sudah bermula kesesakan di lebuh raya, itu jalan empat lorong. Jadi suami mengambil keputusan untuk mengikut jalan pantai..

Tol percuma bagi pengguna PLUS di hujung minggu menjadikan suasana di lebuh raya sesak. Lega sekejap namun kenderaan hampir tidak bergerak sebelum pekan Tanjung Karang. Namun tidak lah terasa bosan sangat sebab banyak aktiviti di laluan tersebut. Seperti jualan lemang dan kuih raya di gerai tepi jalan. 

Selepas Sabak Bernam, jalan kembali normal sehingga ke susur keluar ke Lumut menuju Teluk Intan. Ianya disebabkan pembinaan lebuh raya baharu yang belum siap. Kami mengambil keputusan untuk berhenti solat terlebih dahulu lebih kurang jam 2:30 petang. Seterusnya melalui Pantai Remis, Sungai Kerang dan keluar di susur keluar Taiping/Bukit Gantang. Jalannya yang agak sempit menjadikan pergerakan kereta agak perlahan terutama di kawasan pekan apabila orang ramai tertumpu ke pasar Ramadan.

Kembali ke lebuh raya, suasana jem kembali semula. Ada masanya kenderaan tidak bergerak, kadang-kadang perlahan ya amat. Namun ada masanya perjalanan lancar namun tidak bertahan lama. Petang kian lewat dan suasana sekitar mulai gelap. Mujur aku sudah bersedia dengan membuat bekalan nasi goreng dan nuget ayam. Air panas pun masih suam di dalam termos.

Ya kami berbuka puasa di dalam kereta sahaja, sukar untuk berhenti di tepi jalan. Walhal waktu tu sudah tinggal lebih kurang lima kilometer ke susur keluar Jawi, tak jauh dah. Tapi masih jem. 

Waktu ni aku sudah diberitahu oleh sahabat yang tinggal di Riyadh, iaitu Wan Saliza. Anak bulan Syawal tidak kelihatan di seluruh Arab Saudi jadi mereka akan berhari raya pada hari Isnin. Genap berpuasa selama 30 hari. Kami masih yakin kita akan beraya hari Selasa kerana suasana agak gelap dan hujan, mana mungkin anak bulan kelihatan kan.

Lebih kurang jam 8:30 malam kami sampai di rumah kebun abang aku, tempat kami tinggal sepanjang berada di kampung kali ini. Ada mak mentua ikut bersama jadi kami tak duduk di rumah mak seperti biasa.

"Depa kata raya esok ni." Beritahu abangku sewaktu kami sedang berbual melalui telefon.

"Tu dia, jenuh lah... tiba-tiba raya." Responku. Sedih pun ada kerana Ramadan sudah meninggalkan kita.

Aduhai tak sempatlah nak buat ketupat nasi, daun kelapa pun belum beli lagi. Semua nak buat esok tapi esok dah nak raya. Tapi aku ada bawa balik ketupat segera, cepat-cepat aku keluarkan dan rebus. Sambil tu aku mengemas apa yang patut, maklumlah baru sampai. Tunggu nasi masak untuk makan malam.

Strategi aku selama tiga tahun memang berbaloi terutama untuk tahun ini. Strategi? Ya, dah tiga kali raya aku masak rendang ayam, rendang daging dan kuah kacang beberapa hari sebelum raya kemudian aku sejuk bekukan. Tapi tahun ini aku tambah satu lagi menu iaitu Sup Tulang yang biasanya menjadi hidangan berbuka puasa pada malam raya.

Jadi aku panaskan sup untuk dimakan bersama nasi. Lega selepas makan malam.

Menyesal sungguh kerana tak singgah beli lemang yang banyak dijual sepanjang jalan tadi. Memang takde rezeki.

Tidur lambatlah malam raya ni.

Tepat pukul 12:00 malam, kedengaran bunyi mercun dan bunga api. Meriahnya percikan bunga api di udara dengan pelbagai warna. Aku hanya mampu melihat dari celah tingkap sahaja.

"Waah banyaknya duit depa. Bakar bunga api dan mercun setanding orang kota." Aku bermonolog sendirian.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

La illaha il Allah Allahu Akbar

Allahu Akbar walilahil Hamd


Kedengaran suara takbir.

Walaupun sedih kerana Ramadan sudah berlalu namun Syawal perlu disambut. Ianya anugerah Allah SWT atas kemenangan kita melalui bulan Ramadan pada tahun ini.

Semoga direzekikan bertemu lagi Ramadan akan datang dalam keadaan yang sihat. Aamiin.

Sempat menjengah pelbagai cerita di media sosial dengan pelbagai elemen mengejutkan. 

1.Anak bulan kelihatan di Labuan, satu daripada lokasi untuk mencerap anak bulan pada petang 1 Mei 2022. Fenomena yang jarang berlaku di Malaysia. 

2.Ada yang sudah bertarawih, dikatakan berlaku di Sabah.

3.Ada yang kait daun pisag di tengah malam.

4.Ada yang mesih rumput di tengah malam.

5.Ada yang makan mi segera di hari raya.

6.Ada yang terus bakar lemang.

7.Duit kat ATM pun habis.

8.Ada tempat di mana stesen minyak yang kehabisan minyak menyebabkan kereta tidak boleh bergerak.

9.Kesesakan lalu lintas berlaku di jalan raya dan lebuh raya di hari raya pertama sehingga habis cuti raya. 

10.Kebanyakan kedai ditutup hampir seminggu terutama kedai makan, termasuk peniaga bukan Islam yang mahu meraikan hari raya yang tertangguh selama 2 tahun.

Pun begitu, ianya adalah memori indah untuk dikenang. Rugi bagi mereka yang tidak mengalami atau merasainya.

Syukur Alhamdulillah dengan nikmat ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...