BismillahirRahmanirRahim
Awal pagi, aku panaskan lauk pauk yang dibawa balik. Kami sarapan dahulu sebelum bergerak ke Masjid Jawi untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Kami lebih selesa untuk solat di sini kerana masjidnya lebih luas berbanding dengan dua masjid lain di Sungai Bakap.
Lebih kurang jam 8:30 pagi kami sampai, namun suasana di persekitaran masjid tidaklah padat seperti biasa. Kami masih dapat meletakkan kereta di kawasan parkir dalam kawasan masjid. Mungkin masih ramai yang belum sampai ke kampung barangkali, maklum lah ramai yang merancang untuk balik ke kampung pada hari Isnin.
Syukur ya Allah kerana kami masih berpeluang menikmati solat hari raya yang lebih sempurna di masjid. Dua tahun sebelum ini, solat sunat ini hanya mampu dilakukan di rumah berimamkan suami. Peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.
Syahdu mendengar laungan takbir hari raya sebelum solat bermula. Yang hadir kebanyakannya mematuhi SOP iaitu memakai pelitup muka. Seronok melihat kanak-kanak yang bergaya dengan baju raya, meriah terasa.
Usai solat, terus ke rumah mak untuk beraya. Mujur mak sempat buat ketupat palas malam tadi, dapatlah aku merasanya dan makan bersama rendang yang aku bawa.
Sebelum tu, kita posing dahulu.
|
Ada orang tak nak pakai baju raya...haish. |
|
Jauh mak mentua beraya tahun ini. |
Suasana semakin meriah dengan kedatangan kakak sulung, Puan Hjh Aishah yang datang bersama anaknya Wan Suhanis sekeluarga. Kemudian datang adik bongsu Almarhum ayah yang kami panggil Cu Midah bersama anak-anaknya, mereka tinggal berjiran dengan kami.
Sebenarnya kami menumpang tanah milik keluarga Cu Minah dah mencapai 44 tahun. Lama kan. Jadi sekitar rumah kami adalah keluarga anak-anak Cu Minah. Tapi Cu Minah menetap di Sungai Kerang, Perak. Jadi jarang lah berjumpa, rezeki dapat berjumpa raya tahun ni.
Tapi, semua yang hadir pulang dengan rasa kecewa!
Sebabnya mak tak sempat buat laksa. Setiap kali raya itulah yang dicari, Laksa dengan cucur udang ranggup. Semuanya kalut, ikan pun belum beli. Ialah ingatkan aku nak tolong mak hari Isnin. Kebetulan anak saudara aku. Emy yang tinggal dengan mak beraya dengan mentuanya di Gurun.
|
Cu Minah yang duduk. |
Tapi kami tak putus asa untuk mencari laksa, sasaran kami seterusnya ialah ke rumah kakak ipar, Puan Hjh Jamilah Taib di Taman Ilmu Nibung Tebal. Selalunya hari raya pertama ada laksa. Malangnya tiada siapa di rumahnya.
Kami terus sahaja je rumah kakakku Puan Jamilah yang tinggal di Sungai Setar. Sebaik sampai aku terus bertanya
"Buat laksa dak."
"Aku buat mi kari, esok baru nak buat laksa."
Haha.... kecewa sungguh. Tapi mi karinya memang sedap. Ada ketam, udang, daging, sotong dan yag lain-lain. Berborak sakan sambil makan lemang, ketupat dengan rendang. Sampai lupa nak ambik gambar la. Aduhai.
Mujur Saffura ada ambik gambar.
Kembali ke rumah penginapan /rumah kebun abang, kami berehat setelah penat beraya.
Malamnya aku dan Saffura beraya di rumah Mak cik Lijah, adik Almarhumah mak yang tinggal tak jauh dari situ. Kebetulan dua anaknya yang juga sepupu aku balik beraya. Sudah lama tak jumpa, hanya berhubungan melalui FB dan wasap sahaja.
Pak Cik Shaari dah berusia 83 tahun namun kelihatan tidak dimamah usia. Masih sihat dan cergas hanya sesekali lupa dan kurang dengar tapi dia masih ingat aku. Mak Cik Lijah berusia 78 tahun, ada masalah jantung namun kelihatan begitu ceria.
"Makan la ketupat tak cukup lemak tu. Makcik balut ketupat 4 kilo malam tadi. Tak tidoq."
"Kami dari Johor, sampai pagi tadi. Adoih letih sepanjang malam atas jalan." Ujar Kak Mah yang sudah 20 tahun tidak balik beraya.
|
Rumah Makcik |
Lama juga kami berbual, hampir dua jam.
Sewaktu zaman kanak-kanak, banyak masa aku habiskan dengan mereka seramai 7 beradik. Lima lelaki dan dua perempuan. Aku paling rapat dengan Ani sebab kami sebaya. Selalu tidur di rumahnya, dua-dua kami agak lasak. Bayangkan bila tidur sekatil, asyik tolak menolak dan tendang menendang sewaktu tidur.
Indahnya kenangan.
Jom balik, dah lewat malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan