BismillahirRahmanirRahim
Kenangan menikmati steambot yang sedap ketika bergelar siswi yang muda remaja di USM tetap dalam ingatan. Setiap minggu aku ke pasar malam yang terletak berdekatan Tapak Pesta Pulau Pinang berteman motosikal Suzuki berwarna hijau.
Hasrat untuk menyediakan sendiri steambot terhasil apabila aku mendapat tahu ada pembekal bahan-bahan basah untuk steambot yang terletak di Prima Saujana. Yang penting bahan-bahan yang halal dan bersih.
Pastinya steambot sedap dimakan beramai-ramai, lalu aku memasang niat untuk mengajak rakan-rakan lain menikmatinya.
Sehari sebelum mesyuarat pertama Unit PSS, aku ditemani Pn Saimah membeli bahan-bahan yang diperlukan. Keesokan harinya, semua barang keperluan untuk menyediakan steambot aku bawa termasuk dapur dan periuk. Tidak lupa aku meminta pertolongan En suami untuk membeli udang segar dari pasar pada pagi kejadian.
Dengan bantuan Pn Farihan, aku menyediakan kuah steambot sebanyak satu periuk besar, biar ramai yang boleh merasainya. Puan Saimah turut membantu, berpeluh kami bertiga menyediakan bahan-bahan yang yang diperlukan di ruang kecil yang begitu terhad saiznya.
Kuah dah siap...panas-panas |
Menjelang pukul 10.00 pagi, semuanya sudah siap sedia dan kami pun memulakan mesyuarat. Pukul 12.00 tengahari kami pun menikmati hidangan makan tengahari bersama-sama. Aku begitu suspen kerana inilah kali pertama aku menyediakan steambot tomyam. Namun aku begitu terharu apabila kawan-kawan memberi komen yang positif
"Sedap ...macam makan di kedai"
Itulah komen mereka. Bolehlah aku kongsikan resepi tersebut.
Tetamu pertama...Bismillah |
Tambah lagi...jangan malu-malu |
Pn Saimah sedang merebus apa tu.... |
Pn Farihan (duduk) nampak keletihan. |
Resepi Steambot Tomyam (20 orang makan)
Bahan2:
Untuk Kuah Tomyam
1/2 ekor ayam (ambil bahagian tulang)*
5 batang serai - diketuk*
2 inci lengkuas - diketuk*
1 botol pes tomyam (250g)*
10-15 biji cili padi - diketuk*
5 ulas bawang putih - diketuk*
5 biji limau sambal - diambil air sahaja
5 tangkai daun ketumbar - asingkan akarnya
1 biji bawang besar Holland - dibelah*
2 biji lobak merah - dipotong memanjang
2 pek Baby Jagung
1 batang saleri (pilihan)- dipotong kasar
1 tangkai daun limau purut
10 ekor udang segar
5 liter air
Garam
Cara Membuatnya:
1.Masukkan air, bahan bertanda * dan akar daun ketumbar ke dalam sebuah periuk dan rebus
sehingga ayam masak.
2.Masukkan lobak merah, baby jagung dan daun limau purut, masak dengan api perlahan.
Masukkan garam.
3.Masukkan udang, daun ketumbar (bersama tangkai), batang saleri dan air limau. Masak
sekejap dan tutup api.
Bahan Steambot
Bebola Ikan
Bebola sotong
Bebola udang
Bebola ayam
Fish cake
Jejari ketam
(Aku beli set Yong Tau Fu - macam-macam ada)
1 bungkus bihun dicelur sedikit
2 pek maggi
Sawi pendek
Brokoli
Cendawan Tiram
Cendawan Enoki
Udang segar
Isi ayam (pilihan)
Daging yang dihiris nipis (pilihan)
Sotong (pilihan)
Cara Menghidang:
Rebus bahan steambot di dalam kuah tomyam sehingga lembut.
Masukkan ke dalam mangkuk bersama kuah.
Sedia untuk dimakan
Mai semangkuk |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan