Rabu, 8 Jun 2016

Dapurku D'Riyadh (184) - Kerepek Bawang



Bismillahirrahmanirrahim

Tazkirah Ramadhan
Alhamdulillah. Kini kita berada di bulan yang dinantikan , bulan Ramadhan. Sesungguhnya setiap saat dalam bulan Ramadhan begitu berharga, ia seperti mutiara,seperti modal seseorang meraih peluang menjana gedung pahala yang melimpah ruah.Bila begitu, orang yang berfikiran waras akan menghabiskan setiap detik waktu secara penuh berhemah, dengan penuh waspada dan tidak membazir.Hakikat kewujudan kita di dunia ini ialah untuk mengabdikan diri kita menyembah Allah SWT. Oleh itu letakkan prioriti kepada amal ibadat yang perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Pencipta dan tangguhkan perkara-perkara duniawi kepada masa selepas Ramadhan.


####################

Resepi Kerepek bawang ini aku buat beberapa hari sebelum menjelang Ramadhan. Mudah sahaja menyediakannya dengan bahan yang senang diperolehi. Terjawab juga persoalan bagaimana terbentuknya dua lapisan yang berlainan warna. Kerap kali ketika aku mencuba resepi yang pelbagai, timbul di fikiranku bagaimana bijaknya pencipta resepi tersebut. Beruntung betul pencipta resepi tersebut, kerana dengan ciptaan resepinya mampu dia beroleh pahala yang berterusan buat selama-lamanya.

Untuk membuat kerepek bawang ini, perlu pastikan dohnya lembut supaya ianya rangup apabila dimakan nanti. Jika keras memang tak sedap. Sewaktu menghiris doh yang digulung dan disejukkan juga perlu senipis yang mungkin. Disinilah cabarannya tambahan pula ianya akan melekat sesama sendiri. Tapi berbaloi rasanya, ingatkan boleh disimpan sehingga Hari Raya. Dua hari sahaja, Kerepek Bawang licin dimakan. 





Resepi Kerepek bawang
Bahan2:
Untuk doh bawang
1 biji bawang besar dikisar
Tepung gandum secukupnya
1 sudu besar serbuk udang kering@
2 sudu besar serbuk kari (tak letak)
Air

Campurkan tepung, bawang besar dan bahan
lain di dalam sebuah bekas.Tambah air dan
uli sehingga mendapat doh yang lembut.Bahagikan
kepada 3 bahagian dan bulatkan.

Untuk doh margerin
1 1/2 cawan tepung gandum
70 g mentega/ marjerin
Garam secukupnya
Air

Masukkan mentega ke dalam tepung dan gaul
sehingga menjadi seperti serbuk roti. Masukkan
garam dan tambah air sedikit demi sedikit sehingga
terbentuk doh. Uli sehingga lembut dan bahagikan
kepada 3 bahagian dan bulatkan.




Cara Membuatnya:
1.Canaikan doh bawang dan doh marjerin secara berasingan.
   Letakkan doh bawang di atas doh marjerin dan gulungkan.
2.Masukkan ke dalam plastik dan simpan di dalam peti sejuk
   selama 2- 3 jam.



3.Keluarkan dan potong nipis-nipis menggunakan pisau yang tajam.



4.Goreng di dalam minyak panas yang penuh sehingga garing.
5.Sejukkan dan simpan di dalam bekas kedap udara.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...