Iftar Geng Haji 1435H
Alhamdulillah tahun ini kami berpeluang berbuka puasa bersama rakan-rakan dari Group Haji. Pn Hjh Amy telah sudi menjadi tuan rumah untuk membolehkan masjlis yang pertama kali tersebut diadakan. Malang sekali tidak ramai yang dapat hadir ke Iftar yang diadakan. Ada yang ke Mekah dan Madinah, juga yang sudah mula pulang ke tanah air untuk memulakan cuti musim panas. Aku pun agak lewat memberi jawapan untuk hadir namun mengingatkan janji yang telah dbuat, akhirnya kami bertiga turut sama di majlis tersebut. Dua minggu sebelumnya, kami turut mengadakan perjumpaan di rumah Pn Hjh Amy. Pertemuan sambil makan-makan itu diadakan memandangkan aku dan keluarga akan kembali ke tanah air. Sangka kami ianya adalah program terakhir, rupanya tidak. Sambil berbual, kami merancang untuk berbuka puasa bersama-sama.Tarikh pun ditetapkan oleh tuan rumah di minggu pertama Ramadhan Mubarak.
|
Rakan Haji 2014 - Fauziah, Amy, Siti Zaleha, Dr Nurazlin, Dr Evi, Dr, Zuhaira, Hamidah dan Nadia. |
|
Sibuk berbual sehingga terlupa ambil gambar sebanyaknya |
Sekali lagi kami bertemu pada 10 Jun 2016 untuk berbuka puasa bersama-sama. Aku menyediakan Cendol dan Kurma Ayam. Hidangan lain termasuk Laksa Beras yang dibuat oleh Siti Zaleha dan pelbagai lauk serta kuih muih. Lega dapat menunaikan janji untuk belanja kawan-kawan merasai hidangan cendol di Riyadh. Ramai yang bertanya di mana aku membeli isi cendol....haha...sebenarnya amat mudah untuk menyediakan homemade cendol. Tidak perlu ada kedai mamak pun.....Resepi ada di Dapurku D'Riyadh.
|
Siap. |
Seperti biasa, kami sekeluarga antara yang terawal tiba di rumah Pn Amy. Sempat juga aku membantu Pn Amy yang sedang menyediakan Roti John dan Telur Dadar. Masa berlalu dengan cepat dan kami pun berbuka puasa bersama-sama dengan pelbagai hidangan yang menyelerakan. Walaupun tidak ramai namun terasa begitu meriah, seolah berada di tanah air kerana semua makanan adalah cita rasa Malaysia. Seperti biasa, kami makan dan makan sambil berbual sehingga terlupa untuk aku merakamkan gambar. Mujur Pn Amy memuatkan beberapa keping gambar di FBnya, jadi dapat aku masukkan gambar tersebut di sini. Kami terpaksa berundur diri lebih awal kerana mahu menunaikan Solat Terawih di surau berdekatan rumah kami. Walaupun sekejap namun ianya tetap akan menjadi kenangan manis bulan Ramadhan di Riyadh. Terima kasih buat tuan rumah dan rakan-rakan yang turut serta dalam iftar tersebut.
|
Laksa Penang tetap menjadi pilihan. |
|
Kurma Ayam, Sweet Sour Ikan Bawal, Daging goreng dengan kacang panjang,
sambal belacan pun ada. |
|
Pelbagai kuih muih termasuk Kuih Lompat Tikam |
|
Makan-makan |
|
Kaum lelaki.. |
Pada keesokan harinya, kami menerima jemputan berbuka puasa di rumah sahabat kami iaitu Tn Hj Mohd Kamal dan Pn Hjh Fauziah Agos. Kami ke sana juga atas alasan untuk berkenalan dengan Ibu dan Ayah Pn Hjh Fauziah Agos yang sedang berada di rumah mereka. Tidak ketinggalan untuk mengambil Kicap Kipas Udang yang dihajatkan. Kerap kali juga kami mendapatkan bantuan Pn Hjh Fauziah dan keluarga untuk membawa barang-barang yang sudah kehabisan stok. Walaupun aku merasa agak malu untuk meminta tolong namun Pn Hjh Fauziah selamba aje mahu membantu. Maklum beliau kerap kali dikunjungi keluarga dari Malaysia seperti anak-anaknya atau ibubapanya. Setiap kali ahli keluarganya mahu ke Riyadh, pasti beliau bertanya jika ada yang mahu aku kirimkan. Kebetulan stok kicap kami habis kerana dua botol kicap yang dibawa sudah rosak, entah apa penyebabnya. Susah betul jika tidak ada kicap di dapur sedangkan ada peminat tegar kicap di rumah.
|
Pn Hjh Fauziah Agos dan keluarga. (Dari FB) |
Kami dihidangkan dengan Bubur Lambuk ala-ala Kampung Baru, Pecal, Nasi dan berbagai jenis lauk. Aku pula sekadar membawa buah Strawberi yang aku salutkan dengan coklat. Aku tidak memasak apa-apa sebagai menghormati permintaan tuan rumah. Asyik berbual dengan ibu Pn Phj Fauziah Agos sehingga terlupa untuk aku merakamkan sebarang gambar. Kami mengikut Pn Hjh Fauziah Agos bersama suaminya ke Masjid King Khalid yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Masjid besar yang berwarna putih itu kerap kami lalui ketika di dalam perjalanan ke rumah Pn Hjh Fauziah Agos atau ke rumah Pn Hjh Wan Salisa. Ianya merupakan antara masjid terbesar di Riyadh yang kerap kali menjadi pilihan orang ramai.
|
Juga dikenali sebagai Umm Al Hammam Mosque |
Terdapat pegawai yang bertugas di pintu masuk untuk memeriksa barang yang dibawa. Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk. Puas juga kami merayu supaya dibenarkan Saffura masuk bersama aku dan Pn Hjh Fauziah namun tidak dibenarkan. Terdapat ruang solat khas bagi ibu-ibu dengan anak-anak kecil di luar bangunan masjid namun ada penghadang yang melindungi dari pandangan orang sekitar. Terdapat juga khemah bertutup dan berhawa dingin berhampiran masjid. Hampir berputus asa sedang Saffura enggan duduk di luar seorang diri. Kami bernasib baik apabila Saffura dibenarkan masuk ke dalam bangunan masjid apabila kami mengambil laluan di pintu lain. Kami terus ke tingkat atas bangunan masjid. Kelihatan ramai petugas yang menawarkan minuman panas dan sejuk juga buah kurma yang berbagai jenis. Suasana di dalam masjid memang cantik dengan permaidani berwarna merah seperti yang dilihat di Masjid Nabawi, Madinah.
|
Pintu masuk untuk nisaa' |
Semua tetamu yang berada di dalam masjid terdiri dari golongan dewasa dan berusia. Golongan muda juga agak ramai memenuhi setiap inci ruang solat. Tiada ruang kosong langsung yang kelihatan. Kotak-kotak tisu disediakan dengan agak banyak bilangannya di setiap baris. Tisu memang menjadi keperluan utama di mana-mana masjid atau surau di Riyadh sepanjang waktu. Selepas solat Isya' diadakan solat Jenazah. Sebelum solat Terawih dilaksanakan, lampu-lampu utama ditutup bagi memberi suasana yang lebih khusyuk ketika solat. Memang terasa mendamaikan dengan suasana yang agak kelam. Bacaan imam yang agak lantang sesekali bernada hiba dan sedih menyebabkan ramai yang menanggis. Bunyi tangisan jelas kedengaran di setiap ruang yang padat dengan orang ramai. Ada yang menganggis dengan agak kuat apabila imam membacakan ayat-ayat berkaitan balasan api neraka. Sewaktu doa ketika solat Witir terakhir, lebih ramai yang meratap hiba dengan penuh harapan agar doa diterima. Beruntung bagi mereka yang memahami setiap butir doa yang dipanjatkan.
|
Terdapat jualan di kawasan berhampiran jalan berdekatam masjid |
Suasana di sekitar kawasan masjid begitu meriah dengan pelbagai aktiviti jualan yang diadakan. Kami sekadar memandang dari jauh. Keadaan agak sesak dengan bilangan kenderaan yang banyak yang mahu meninggalkan kawasan masjid. Kawasan masjid yang agak luas memudahkan kunjungan orang ramai ke masjid tersebut. Terima kasih kepada Pn Hjh Fauziah Agos yang begitu baik hati membekalkan lauk pauk untuk makan sahur. Pastinya juga untuk iftar yang diberikan. Moga diberi kesihatan dan dimurahkan rezeki.
|
Aiskrim dan kurma menjadi tumpuan. |
Iftar anjuran Ibu-ibu Riyadh juga telah diadakan buat pertama kalinya pada tahun ini pada 15 Jun 2016. Telah diadakan di rumah Pn Hjh Kaironisa dan Tn Hj Azrin. Walaupun aku tidak berpeluang untuk ikut serta namun majlisnya begitu meriah sekali dengan kehadiran warga Malaysia yang agak ramai.
zias/riyadh/16
Tiada ulasan:
Catat Ulasan