Rabu, 1 Jun 2016

Dapurku D'Riyadh (180) - Biskut Samprit Susu


Bismillahirrahmanirrahim

Tazkirah Sempena Ramadhan
Ramadhan semakin hampir, kian ramai yang memohon kemaafan dan ucapan Ramadhan Kareem atau Ramadhan Mubarak. Untuk membolehkan kita memberi tumpuan sepenuhnya bulan Ramadhan, elok kita membuat persiapan awal yakni sebelum melangkah di hari pertama Ramadhan. Antaranya ialah menyiapkan pakaian dan hadiah Raya, merancang menu dan keperluan memasak, menyediakan senarai doa buat diri sendiri, keluarga dan sahabat handai, meningkatkan stamina dengan memperbanyakkan puasa sunat dan senaman ringan, menyenaraikan matlamat yang ingin dicapai seperti membaca sebanyak mungkin Al Quran, lakukan zikir setiap masa ketika melakukan apa saja dan kemaskan rumah supaya rumah teratur dan kemas supaya suasana tenang dan damai terhasil.

                                                  ################################





Aku tidak pernah membuat kuih raya semasa bulan Ramadhan. Biasanya aku akan membeli sahaja kuih raya untuk dibawa balik ke kampung sendiri atau kampung sebelah suami. Semasa awal perkahwinan dulu, aku membuat kuih raya selepas pulang dari bercuti raya di kampung. Ketika itu aku tinggal di quaters syarikat tempat suamiku bertugas, jadi kuih raya yang banyak perlu disediakan kerana tetamu yang datang beraya di rumah kami. Seronok betul ketika itu, anak-anak jiran masih kecil dan menunggu kami balik dari kampung. Rumah kami akan diserbu sebaik sahaja mereka melihat ada kereta di ruang parkir rumah Pengurus di Stesen Satelit Bumi, Lendu, Alor Gajah, Melaka. 

Kami akan menyambut Eid di Mekah pada tahun ini, in Sha Allah, jadi aku mahu menyediakan beberapa jenis kuih raya. Hasrat untuk dimakan bersama rakan-rakan yang turut beraya di Mekah. Juga untuk dikongsi dengan tetamu Allah lain ketika menunaikan solat Hari Raya di MasjidilHaram. Moga diberi Allah peluang dan kesihatan untuk berbuat demikian. Aku mulakan dengan Biskut Samprit Susu, resepinya milik Azlina Ina dari FBnya. Mudah untuk disediakan dan sedap rasanya. Mujur aku ada bawa acuan dari Malaysia.

Resepi Biskut Samprit Susu
Bahan2:
1/2 cawan mentega
1/4 cawan susu pekat
1 sudu kecil esen vanila
2 cawan tepung jagung
1 sudu besar tepung beras(spy rangup dan tak pecah)
1 sudu besar tepung kastad
Pewarna kuning

Cara membuatnya:
1.Kacau mentega bersama susu pekat menggunakan senduk
    kayu.Kacau perlahan sahaja.
2.Masukkan pewarna dan kacau.
3.Masukkan 1 cawan tepung jagung,tepung beras dan tepung
    kastad.Kacau guna tangan.Tambah tepung jagung sehingga
    menjadi doh yang sesuai untuk ditekan dengan acuan.
    Uli supaya doh menjadi lembut.
4.Ambil sedikit doh dan masukkan ke dalam acuan. Tekan
    ke dalam dulang pembakar yang dialas dengan kertas pembakar.
5.Panaskan oven pada suhu 170 C selama 5 minit. Masukkan
    biskut turunkan kepada suhu 160 C dan biarkan selama 25 minit
    atau sampai biskut boleh tertanggal sendiri bila ditolak sedikit.


Hias dengan apa-apa yang sesuai sebelum dibakar

Sejukkan sebelum dimasuk ke dalam bekas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...