Alhamdulillah,sujud syukur kepada Allah SWT yang telah mengizinkan kita berada di dalam bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Moga kita semua terus memiliki kesihatan untuk melaksanakan amanah yang diberi untuk ikhlas beribadat kepada Allah SWT semata-mata. Mendapat keampunan dan beroleh taqwa apabila berakhirnya Ramadhan nanti. Perjuangan baru bermula untuk tekun mencari ruang-ruang untuk bertemu dengan malam yang menentukan masa depan kita iaitu lah malam Laylatul Qadar.
Ucapan demi ucapan terpapar di laman FB dan WhatsApp dengan kalimah Ramadhan Kareem dan kalimah Ramadhan Mubarak. Kali pertama aku terlihat dengan ucapan Ramadhan Kareem ialah ketika berada di Lapangan Terbang Antara bangsa Dubai, transit beberapa jam untuk ke Mekah bagi menunaikan umrah. Perkataan tersebut berada di mana-mana. Sejak tahun 2009 itu, aku mula turut menggunakan perkataan tersebut. Di Riyadh pun sama, perkataan yang sama terpampang di mana-mana menjelang tibanya Ramadhan. Lebih 90% ucapan tersebut ditemui di kedai, di dalam buku juga surat khabar.
Pun begitu, isu penggunaan perkataan Ramadhan Kareem atau Ramadhan Mubarak sudah mula diperkatakan sejak tahun lepas. Tahun ini, isu tersebut semakin diberi perhatian terutama bagi masyarakat di tanah air. Di sebalik isu tersebut, terdapat ilmu baru pula iaitu bagaimana kita membalas ucapan yang diberi. dengan ucapan ALLAHU AKRAM.Menarik juga untuk mula diamalkan. Ramadhan Kareem bermaksud Ramadhan yang memberikan kemuliaan manakala Ramadhan Mubarak bermaksud bulan yang penuh berkah. Ramadhan Mubarak lebih sesuai kerana Allah SWT yang menjadikan bulan tersebut penuh berkah.WallahuAlam. Tahun ini juga menyaksikan amalan membaca doa ketika berbuka puasa seperti yang selalu diamalkan juga kurang tepat. Terdapat doa yang lebih sahih susur galurnya yang bersumber dari hadis yang benar. Alhamdulillah setiap tahun ilmu bertambah, mudah-mudahan amalan pun begitu juga.
Seperti tahun lepas, kami menanti pengumuman dari pihak kerajaan bila akan bermula bulan Ramadhan di depan kaca televisyen. Menghampiri waktu solat I'sha baru diumumkan sedang di dalam laman WhatsApp sudah pasti jawapannya. 1 Ramadhan bermula pada hari Isnin sama seperti di Malaysia. Saudara mara di tanah air sudah selesai menunaikan solat Tarawih. Sekali aku rasa agak kecewa kerana tidak perpeluang untuk turut melihat anak bulan Ramadhan di langit Arab Saudi. Di sini, semua penghuni di bumi Arab Saudi diminta turut sama melihat terbitnya anak bulan Ramadhan kemudian melaporkannya kepada pihak berkuasa. Suasana yang terang benderang membolehkan anak bulan kelihatan pada tahun ini. MashaAllah.
Pengumuman di dada akhbar beberapa hari sebelum 29 Sya'ban. |
Sumber WhatsApp Family Riyadh. |
Pengumuman di Saudi2 |
Tahun ini, aku berpeluang berkenalan dengan sahabat baru dari Singapura yang bernama Pn Suhaidah. Beliau baru tiba di Riyadh untuk menemani suaminya, En Suhaimi yang sudah hampir 2 tahun bekerja dengan syarikat MRT. Pn Subaidah menunaikan solat Tarawih di masjid yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Banyak yang kami bualkan tambahan pula beliau begitu peramah. Solat Tarawih di kebanyakan masjdi di Riyadh adalah sebanyak 8 rakaat dengan 3 rakaat solat Witir. Ketika solat witir yang terakhir doa yang panjang dibacakan selepas rukuk. Doa yang amat menusuk kalbu walaupun aku tidak faham maknanya. Kerap kali air mata akan terburai membasahi pipi. Bacaan Imam dalam solat persis imam di MasjidilHaram (Syeikh Maher) menjadikan solat jemaah lebih kusyuk dan bermakna. Setiap tahun rakan-rakan akan mendakwa masjid yang berada di kejiranan masing-masing yang terbaik bacaan imamnya. Hahaha.....hakikatnya semua imam di masjid sekitar Riyadh berkualiti dan terpilih. Pergilah ke mana-mana masjid di sini pasti kita tidak mampu membuat pilihan. Yang penting solat kita lebih kyusuk dengan bacaan imam yang mengegar jiwa dan meransang tubuh supaya terus berpijak di bumi. Dalam perkataan yang mudah...tiada rasa mengantuk.
Selfie dengan sahabat baru. |
Mulai malam kedua Ramadhan, solat I'sha dan solat tarawih di sekitar Riyadh dilewatkan 30 minit. Mungkin untuk memberi peluang orang ramai memenuhi ruang-ruang di masjid. Yang menariknya di sini semakin bertambah malam Ramadhan, semakin ramai yang ke masjid berbeza dengan di tanah air. Di Mekah dan Madinah pula solat Tarawih adalah sebanyak 20 rakaat. Jadi tidak perlu dipertikaikan bilangan rakaat yang mahu dibuat, bergantung kepada kemampuan diri masing-masing. Yang penting ialah melaksanakan solat tersebut kerana ianya hanya hadir setahun sekali sahaja. Rebutlah peluang tersebut di mana sahaja kita berada.
Tempoh puasa bagi Arab Saudi lebih kurang sama dengan Qatar |
Solat Subuh di Riyadh sekitar pukul 3.32 pagi dan masuk waktu berbuka sekitar 6.41 petang. Hampir 15 jam panjangnya masa berpuasa. Di tambah dengan cuaca yang sudah mencecah lebih 40 C, moga Allah memberi kekuatan untuk kami melaksanakan puasa dengan sempurna. Malam yang lebih pendek sekitar 9 jam menyebabkan kebanyakan warga Riyadh tidak tidur malam sehingga ke subuh. Ianya menjadi budaya mereka. Suasana jalan raya sibuk seperti biasa walaupun waktu sudah dua pertiga malam. Mereka akan tidur selepas solat Subuh sehingga tengah hari. Bagi yang bekerja, masuk waktu bekerja adalah pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 3 petang. Bestkan, hanya 5 jam bekerja semasa bulan Ramadhan.
Ini cerita minggu lepas pula. Aku berpeluang belajar menjahit baju dengan Pn Ida, isteri Ustaz Hafiz. Pn Ida sudah empat tahun di Riyadh kerana mengikut suaminya yang baru tamat pengajian master di Universiti King Saud. Aku mula beminat untuk belajar menjahit apabila ramai di antara sahabat-sahabat yang mampu membuat baju setelah sehari menghadiri kelas dengan Pn Ida. Ada di antara mereka yang tidak mempunyai asas jahitan dan juga mesin jahit di rumah tapi boleh menghasilkan produk sendiri. Menarik juga, lalu aku membuat temu janji untuk ke rumah Pn Ida. Aku memang boleh menjahit langsir tetapi rasa macam susah sahaja untuk membuat baju. Seperti rakan lain aku juga mampu membuat pola (acuan) jubah untuk diriku dan Saffura. Seterusnya menjahit jubah tersebut sehingga siap. Menakjubkan betul, aku mampu hasilkan 2 helai jubah dalam tempoh 7 jam. Memang rasa bangga dapat menghasilkan baju sendiri. Malangnya mesin jahitku berada di tanah air untuk aku teruskan menjahit. Kenangan menjahit di Riyadh menimbulkan semangat baru untuk terus menceburi bidang tersebut.
Buat pola baju |
Siap untuk memotong kain |
Hasilnya...jubah aku yang selesa |
Jubah Saffura dengan corak KSA... |
Tiba-tiba juga aku berminat dengan crochet yang sudah lama aku tinggalkan. Mengkait ini sudah aku minati semenjak di usia remaja. Puluhan tahun aku tinggalkan disebabkan pelbagai komitmen yang perlu dipenuhi. Mudah untuk mendapatkan pelbagai hasil dari crochet melalui Youtube. Baju, beg, alas, meja, selimut, bekas telefon bimbit, alas pinggan dan sebagainya. Tidak cukup masa pula rasanya untuk membuatnya. Sedih pula kerana ianya baru aku sedari sedang percutianku sudah hampir ke penghujugnya. Berkejarlah aku untuk membuat beberapa item sebagai kenagan buat kenalan.
Alas Teko dan Alas Cawan buat Pn Saidah |
Alas pinggan buat Dr Tahreem....belum siap lagi...huhu. |
Ramadhan Mubarak buat semua tetamu di Memory Ziasaf.
zias/riyadh/16
Tiada ulasan:
Catat Ulasan