Khamis, 2 Jun 2016

Dapurku D'Riyadh (183) - Baklava




Bismillahirrahmanirrahim

Tazkirah Sempena Ramadhan
Dalam rasa syukur dan seronok untuk beribadah di bulan Ramadhan, kita mesti berusaha untuk berhenti dari membuat dosa. Dosa yang tidak diikuti dengan bertaubat dan permohonan ampun daripada Yang Maha Pengampun menjadikan hati menjadi keras. Apabila hati keras dek kerana dosa yang bertompok dalam hati, amat sukar untuk berhenti daripada melakukan dosa dan maksiat. Untuk itu jauhi dosa besar, kawal diri dari melakukan dosa kecil kerana dosa kecil mampu membawanya kepada melakukan dosa yang lebih besar. Di bulan Ramadhan, segala penyumbang kepada dosa menjadi lemah dan kuranglah beban kita. Iblis dirantai, ramai umat Islam melakukan amal jariah, masjid-masjid penuh, lebih ramai membaca Al Quran. Dengan berpuasa, syaitan yang mengalir di dalam darah kita terus menjadi lemah. Apabila kita masih melakukan dosa kesannya adalah lebih berat. Analisis dosa-dosa yang mudah atau sering kita lakukan dan bertekad menghindarinya. Seperti mengumpat, tikam dari belakang, berprasangka dan sebagainya. Moga puasa kita di tahun ini lebih baik dari tahun lepas.

######################


Jadi juga akhirnya....syiok.

Manisan Arab ini memang popular dan boleh dibeli setiap hari. Manisnya jangan cerita la seolah makan gula rasanya. Ranggupnya yang membuatkan Baklava begitu sedap dimakan. Pertama kali aku membeli Baklava dari Al Sadhan Hypermarket ialah ketika meraikan sahabat suamiku yang berkunjung ke rumah kami di Al Ghadeer. Hanya aku seorang sahaja yang meminati Baklava.....aduhai sebulan lamanya aku menghabiskan sedulang Bakhlava tersebut. Terpaksa aku memakan Baklava sedikit demi sedikit supaya kandungan gula di dalam darah tidak naik secara tiba-tiba.

Baklava dan Kunafa

Banyak kali juga aku mahu mencuba membuat Baklava yang tidak semanis seperti yang dibeli namun asyik tertangguh. Kepingan Filo sudah tersimpan di dalam peti sejuk dalam tempoh yang lama. Akhirnya aku memberanikan diri mencuba. Resepi yang aku ambil dari Blog adelashoppe.blogspot.com ini memang menjadi. Aku mengurangkan kuantiti gula di dalamnya. Terhasillah Baklava yang kurang manis tetapi tetap rapuh rasanya. yang diperlukan untuk menyediakannya juga tidak lama, pendek kata memang mudah. Kepingan Filo boleh diganti dengan kulit popia kerana keduanya hampir sama dari segi teksturnya.


Resepi Baklava
Bahan2:
1 paket Filo
150 g mentega, dicairkan

Filo dalam bentuk kepingan besar. Balut dengan tuala
lembab untuk memudahkan proses mengasingkannya.
Pisahkan sekeping demi sekeping

Intinya
200 g isi kacang pistacio, dibakar.(boleh juga guna
badam/walnut dll)
2- 3 sudu gula pasir
1/2 sudu kecil serbuk kayu manis

Air Gula
30 g gula pasir
3 sudu besar madu
1/2 sudu besar jus lemon
1/2 cawan air
2 sudu besar air mawar
1 keping kulit kayu manis
Buah pelaga


Cara membuatnya
1.Kisar kacang pistacio bersama gula dan serbuk kulit kayu manis.Boleh kasar atau halus.
2.Gunakan bekas yang sesuai untuk membakar. Sapu bekas tersebut dengan mentega cair.Ambil
sekeping kepingan Filo dan letakkan di dalam bekas pembakar. Ratakan supaya melekat pada
mentega dan bekas. Sapu mentega cair di atasnya.
3.Ambil sekeping lagi kepingan Filo dan alaskan di atasnya. Ulang sekurang-kurangnya
sehingga 10 keping.


Perlu sabar juga.

4. Masukkan inti kacang pistacio di dalamnya.Ratakan.



5.Tutup dengan kepingan filo dan sapu dengan mentega cair. Ulang sehingga
sekurang-kurangnya 10 lapisan.
6.Kemaskan bahagian tepi dengan mengunting lebihan  lapisan filo di sekelilingnya.
Sapu permukaan filo dengan mentega cair sekali lagi.
7.Gunakan pisu yang tajam untuk memotong ikut bentuk yang disukai.
8.Bakar pada suhu 180 C selama 30 -40 minit sehingga permukaannya menjadi keperangan.

Ready untuk dibakar

9.Sementara menunggu Baklava masak, siapkan air gula.
10.Masukkan semua bahan untuk membuat air gula di dalam sebuah periuk yang sesuai.
Masak sambil kacau sehingga semuanya larut. Perlahankan api dan biarkan air gula
di atas api sehingga Baklava masak. Tapis dan masukkan ke dalam bekas yang sesuai.
11.Keluarkan Baklava dari oven dan terus tuangkan air gula dicelah-celah bahagian
yang dipotong supaya gula masuk secara rata di dalam lapisan Baklava. Kuantiti air gula
bergantung kepada saiz Baklava.
12.Biarkan Baklava sejuk tanpa ditutup. Sekurang- kurangnya 4 jam supaya semua air gula dapat
diserap sepenuhnya.







Hias dengan kacang berlebihan

Yummy....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...