Selasa, 28 Jun 2016

Travelog : Oh! Riyadh ( 115) - Iftar Bersama Jiran Pakistan.

Iftar Bersama JIran Pakistan

Pelbagai hidangan disediakan

Puan Saidah dan Dr Abid merupakan jiran rapat kami selain dari Dr Tahreem dan En Amir. Kedua keluarga ini berasal dari Pakistan. Walaupun sudah tidak tinggal di blok yang sama, kami masih berhubungan antara satu sama lain. Terutama di bulan puasa kerana setiap malam kami akan bersua muka di masjid berdekatan rumah kami. Sesekali kami mengambil sedikit masa untuk berbual selepas Solat Tarawih. Tidak disangka Puan Saidah sudi mengajak kami untuk berbuka puasa di rumahnya pada hari Khamis lepas. Turut dijemput ialah keluarga Dr Tahreem.

Satay Ayam...
Aku menyediakan satay kerana aku pernah bercerita mengenai makanan popular Malaysia ini kepada mereka. Aku juga membuat Kek Gula Hangus Bersarang Semut sebagai hidangan pencuci mulut setelah puas berfikir hidangan yang sesuai buat mereka. Tepat pukul 6.30 petang, kami bergerak ke Blok A, kediaman universiti. Semua makanan sudah terhidang di dua ruang yang berasingan antara lelaki dan wanita. setibanya kami di rumah Pn Saidah. Dr Tahreem sudah pun berada di depan hidangan kerana masa untuk berbuka bakal muncul bila-bila masa sahaja. Semuanya manis-manis belaka. Semuanya dimasak sendiri oleh Pn Saidah dan anak-anaknya. Aku diminta menganggalkan abaya kerana semua yang berada di situ terdiri dari kaum hawa. Namun aku terpaksa menolaknya kerana tidak mengenakan pakaian bahagian dalam yang sesuai. Aku terlupa, biasanya di dalam majlis seperti itu, mereka akan berpakaian cantik dan berdandan untuk meraikan tetamu.

Satay pun menyelit juga...haha

Air tebu yang dibawa oleh Dr Tahreem. Manis dan segar tanpa
ais. Tidak disangka air tebu ada  dijual di Riyadh. Satu bekas
berharga SR15.


Hidangan yang popular di bulan Ramadhan bagi Pakistani iaitu
Pakora. Memang sedap dan rangup walaupun sudah sejuk.
Pastilah aku meminta resepinya...

Kami makan ringan-ringan terlebih dahulu, kemudian menunaikan Solat Maghrib. Kaum lelaki ke masjid berdekatan. Selepas solat, kami dihidangkan pula dengan Nasi Biryani Ayam. Kami makan sambil berbual mengenai pelbagai isu. Menariknya Dr Tahreem suka Kek Gula Hangus yang aku bawa kerana Dr Tahreem pernah merasainya. Bahkan Dr Tahreem boleh menerangkan kepada Pn Saidah perihal rupa kek yang berlubang seolah sarang semut itu.Semuanya diberitahu oleh rakannya ketika Dr Tahreem belajar di England suatu masa dahulu. Pertama kali juga aku makan nasi di dalam kuantiti yang agak banyak kerana tidak mahu menghampakan tuan rumah yang sudah bersusah payah memasaknya. Kemudian kami dihidangkan pula dengan sejenis manisan bernama Kheer, walaupun sudah terlalu kenyang aku merasainya sedikit. Sedap juga rasanya.

Aku juga berpeluang untuk mengetahui tips untuk minum Gahwa atau Kopi Arab yan dari Dr Tahreem yang dilahirkan di Jeddah itu. Rupanya untuk membolehkan kita minum dengan rasa yang sedap ialah dengan mengambil kopi tersebut bersama dengan kurma secara berselang seli. Patutlah terdapat kurma yang dihidangkan bersama kopi tersebut. Gahwa dikatakan mempunyai banyak khasiat, walaupun rasanya agak pahit dan sedikit berempah ianya tetap diminati ramai. Biasanya aku akan merasa sedikit pening apabila meminumnya. Sesekali aku meminumnya begitu sahaja apabila ada yang menawarkannya.

Nasi Biryani .Pakora memang laku.

Manisan Kheer  hidangan istimewa di hari raya. Diperbuat dari
beras,susu,gula dan minyak sapi.Sejuk dan segar untuk dimakan.

Hidangan yang diperbuat dari kacang dhal dengan susu.


Kami juga turut menikmati kek fresh cream yang disediakan oleh Amma, anak sulung Pn Saidah. Mewah rasanya namun tidak terlalu manis. Tidak cukup dengan apa yang dimakan, pelbagai makanan dibekalkan pula oleh Pn Saidah untuk dibawa balik. Kenyang sungguh, Alhamdulilah. Sempat juga aku bergambar bersama dengan Dr Tahreem yang selama ini aku ceritakan.

Sidrak dan Amma bersama Saffura.Gambar diambil di dalam masjid
selepas  Solat Tarawih.

Bersama Maniya dan Dr Tahreem


Anak2 lelaki Pn Saidah, Taher dan Abdul Rahman
Hadiah buat kenangan untuk Pn Saidah dan Dr Tahreem

Kami mempunyai ramai kenalan dari kalangan warga Pakistan yang turut bekerja di universiti yang sama dengan suamiku. Selain Dr Tahreem dan Pn Saidah, terdapat jiran lain seperti Dr Sama, Pn Sumaila, keluarga Minal dan Pn Tasneem. Masyarakat Pakistan mempunyai tradisi yang hampir sama dengan warga Malaysia di kala bulan Ramadhan. Yakni mereka suka menghantar makanan untuk berbuka. Kerap kali kami menerima pelbagai makanan dari mereka beberapa minit sebelum waktu berbuka. Alhamdulillah banyak kenangan indah bersama mereka untuk dikenang nanti.

Minggu Nasi Biryani....nasi yang dihantar oleh keluarga Minal
beberapa hari lepas.


                                                                    zias/riyadh.16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...