Rabu, 29 Jun 2016

Travelog: Oh! Riyadh (116) - Iftar @ Masjid Nabawi, Madinah.


Iftar @ Masjid Nabawi, Madinah.


Telah bersabda  Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Barang siapa datang menziarahiku tanpa tujuan lain kecuali untuk berziarah
kepadaku, maka aku berhak menjadi pemberi syafaat baginya
di hari kiamat."
[HR. Ath-Thabrani dari Ibnu Umar]





Sepanjang Ramadhan, sememangnya hati ini terkenang pengalaman berbuka puasa di Masjid Nabawi, Madinah dan MasjidilHaram di Mekah. Rindu untuk ziarah Rasulullah SAW kian terasa apabila melihat para tetamu Allah berbuka puasa dan beribadat tanpa henti di kedua-dua tempat yang paling diberkati di bumi ini. Terasa mahu terbang ke sana tatkala terkenang ganjaran yang begitu hebat dijanjikan Allah bagi setiap ibadah yang dilaksanakan di sana lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini. Doa yang dipanjatkan diizin oleh Allah lantas membolehkan kami ke sana. Tanpa dirancang terlebih awal, kami membuat keputusan untuk ke sana pada minggu lepas. Alhamdulillah hotel dapat ditempah dengan harga yang berpatutan. Istimewa sekali berpeluang tinggal di bumi ini. Mudah untuk ke dua tempat yang dianjurkan untuk kita untuk berziarah.

Rancangan untuk bertolak selepas selesai mengerjakan solat Tarawih tidak terlaksana dek keletihan. Sekitar pukul 2.00 pagi, pada Hari Jumaat (19 Ramadhan) kami bertolak dari rumah. Jalan raya dipenuhi dengan kenderaan, kawasan padang pasir di kiri kanan jalan raya  dipenuhi orang ramai yang masih berkelah dan menunggu waktu sehingga sahur. Restoran-restoran di sepanjang jalan juga dikunjungi ramai, lebih ramai dari hari biasa. Kereta kelihatan memenuhi kawasan istirahah dan kawasan permainan. Terasa seperti baru pukul 9.00 malam. Suhu pada waktu malam yang agak nyaman, sekitar 30 C, mengundang orang ramai berada di luar rumah. Realiti kehidupan di Riyadh di mana sepanjang malam warganya tidak tidur sehingga selepas waktu fajar. Ianya berlaku di sepanjang bulan Ramadhan, kanak-kanak begitu segar melakukan pelbagai aktiviti. Saffura turut sama terikut dengan tradisi tersebut dengan berjaga sepanjang malam sehingga ke subuh.

Kami berhenti di rehat Sasco yang terletak di tepi lebuh raya tidak jauh dari Sudair sekitar pada pukul 3.00 pagi untuk bersahur dan Solat Subuh. Ramai yang turut berhenti di situ dan menikmati sahur bersama keluarga di atas karpet yang dibentang berdekatan kawasan surau. Alhamdulillah, tandas dan surau di dalam keadaan yang bersih dan terjaga. Maklum, baru-baru ini kerajaan telah memberi amaran akan membatalkan lesen premis yang gagal memastikan tandas di kawasan miliknya bersih. Syukur. Di sini suhu menjadi 28 C dengan angin bertiup lembut dari padang pasir yang berada di sekelilingnya. Nyaman terasa. Kami hanya makan sedikit kerana masih kekenyangan selepas berbuka puasa di rumah Pn Saidah.

Kami hanya berhenti sebentar sahaja dan meneruskan perjalanan ke Madinah. Tiba di sana sekitar pukul 12.00 tengahari. Hotel yang ditempah dibatalkan oleh pihak pengurusan Al Eiman Taibah (SR600 semalam) disebabkan ada masalah dengan tarikh luput kad kredit milik suamiku. Tidak mempunyai banyak pilihan, suamiku menempah bilik di Anwar Al Madinah Movenpick Hotel.Memanglah mahal harga biliknya....SR1800 semalam untuk tiga orang sebilik. Moga Allah membalasnya dengan ganjaran yang berganda. Amin. Pukul 5.00 petang baru kami dapat masuk ke bilik hotel untuk berehat sekejap dan bersedia untuk ke Masjid Nabawi bagi berbuka puasa.



Buat kenangan
Saat dinanti untuk berbuka pun tiba dan kami mengatur langkah untuk ke sana dan masuk ke kawaasan Masjid Nabawi melalui pintu gate 15. Cuaca memang panas dengan suhu melebihi 40 C namun tetamu Allah sudah memenuhi seluruh kawasan dataran masjid tersebut sedang jam baru pukul 6.00 petang. Makanan sedang diagihkan di setiap kelompok yang disediakan. Tetamu Allah sudah bersedia atas hamparan yang disediakan. Aku dan Saffura melalui kawasan-kawasan yang dipenuhi tetamu Allah itu. Kami dipelawa untuk duduk di kawasan dataran masjid namun kami menolaknya kerana kami mahu masuk ke dalam Masjid Nabawi. Bilangan tetamu Allah lebih ramai dari kebiasaan yang pernah kami lihat sebelum ini. Kawasan berbuka puasa untuk kaum hawa juga bertambah sekitar dataran masjid.

Juadah berbuka sedang diedarkan

Bersedia untuk berbuka


Jangkaan kami bahawa keadaan di dalam Masjid Nabawi kurang sesak berbanding di kawasan luar meleset kali ini. Puas kami berpusing di dalam masjid untuk mencari ruang duduk untuk dua orang. Ternyata setiap ruang dipenuhi tetamu Allah dari seluruh dunia. Hampir berputus asa untuk kembali ke dataran masjid. Rezeki kami apabila terdapat sedikit ruang di tepi laluan berhampiran tempat meletak kasut. Tetamu Allah dari Algeria membenarkan kami duduk di sebelahnya walaupun ruang agak sempit. Dengan segera kami diberi bungkusan berisi roti, yogurt dan air minuman. Kurma yang diisi di dalam cawan plastik turut diberi kepada kami. Terdapat pelbagai jenis pemberian makanan yang diberi kepada tetamu Allah seperti buah-buahan, coklat, manisan juga nasi. Bagi kami cukuplah apa yang ada, sesekali menikmati juadah berbuka yang paling sederhana. Terasa nikmatnya apabila roti dicelup ke dalam yogurt dan dikunyak perlahan bersama kurma.Sedap sehingga Saffura mampu menghabiskan sebiji roti besar berbentuk donut tersebut.

Belum diagihkan lagi....

Malamnya kami menunaikan Solat Tarawih bersama lautan tetamu Allah. Sekali lagi amat sukar untuk mendapat tempat untuk solat di dlaam Masjid Nabawi. Tiada pilihan, kami bersolat di tepi laluan antara kawasan ruang solat. Rata-rata ruang solat telah diduduki lebih awal kerana sudah ramai yang beriktikaf di dalam Masjid Nabawi. Jika di luar waktu solat, kita akan melihat kawasan berkarpet merah dipenuhi dengan tetamu Allah yang akan berbaring di seluruh kawasan tersebut. Mereka hanya bangun untuk menunaikan solat dan kemudian tidur semula terutama di waktu siang hari. Solat 20 Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan witir mampu kami tamatkan walaupun agak keletihan. Usai Solat Tarawih, makanan buat sahur pula diedarkan di luar kawasan dataran masjid. Yang memerlukan hanya perlu menghulurkan tangan dan menyatakan berapa bilangan yang diperlukan. Semuanya ditanya oleh individu atau pihak tertentu bagi meraihkan pahala bersedekah di bulan Ramadhan.

Solat Tahajud pula bermula pada malam 21 Ramadhan. Aktiviti bersedekah diteruskan semasa bersolat Tarawih. Ketika menanti Imam diganti selepas rakaat ke sepuluh. Ada anak muda yang mengedarkan air minuman yang disejukkan di dalam botol. Ianya betul-betul membantu para tetamu Allah yang kehausan. Maklumlah bukan mudah untuk meredah ribuan manusia yang sedang bersolat untuk minum air di kawasan yang disediakan. Moga Allah memberi ganjaran yang setimpal kepada anak gadis tersebut. MashaAllah sungguh terasa kemurahan masyarakat Madinah dalam melayani tetamu Allah. Makanan begitu mewah diberikan buat kemudahan saudara seIslam. Berkatilah bumi Madinah ...Ya Allah. Jadikan hati ini sentiasa merindui Kota Rasulullah SAW.

Suasana di waktu malam selepas solat

Rakyat Mesir paling ramai menjadi tetamu Allah tahun ini

Terasa kurangnya kehadiran warga dari Turki yang menjadi tetamu Allah pada tahun ini, tidak pasti penyebabnya. Teringat pada tahun 2014, di mana agak ramai warga Turki yang sibuk memberi pelbagai hadiah kepada kami. Bilangan saudara Muslim yang menjadi tetamu Allah bertambah dengan banyaknya tahun ini. Dengan bilangan 6,393,464 visa Umrah dikeluarkan, ianya meningkat sebanyak 6.6%. Jemaah dari Mesir menduduki tempat pertama dari segi kehadirannya  sebanyak 1.2 juta. Pakistan di tempat kedua,Indonesia di tempat ketiga, Turki di tempat keempat dan diikuti oleh Jordan, India, Algeria, Malaysia (215,415 orang) dan UAE. Tidak hairan apabila ada saudari dari Algeria menyatakan aku dari Pakistan...haha. Visa Umrah telah ditutup pada 16 Ramadhan dan musim haji pula akan bermula

Pemandangan sekitar hotel  pukul 1.00 pagi.

Terdapat perubahan di kawasan dataran Masjid Nabawi, di mana terdapat perkhidmatan menyimpan beg. Kali terakhir kami di Madinah pada bulan Februari, perkhidmatan ini belum ada lagi.




Di pintu masuk utama ke Masjid Nabawi, terdapat ruang khas yang menjual pelbagai produk buatan Madinah seperti sejadah, kurma dan coklat. Harganya agak berpatutan. Kali ini tidak kelihatan pula peniaga jalanan yang menjual barangan di sepanjang laluan Masjid Nabawi seperti kebiasaannya. Terasa agak sunyi suasana di sekitar Masjid Nabawi tanpa aktiviti mereka.




Pihak hotel menyediakan sahur bagi menggantikan juadah minum pagi kepada tetamunya seawal pukul 1.00 pagi sehingga pukul 4.00 pagi. Puluhan jenis makanan disediakan. Aku makan dengan agak banyak kerana memikirkan harga yang mahal yang sudah dibayar bersama pakej penginapan. Buat kali pertama kami makan hidangan dari luar , terasa mahu melayan diri yang hampir keputusan idea memasak setiap hari sepanjang bulan Ramadhan ini. Pun begitu terasa malu mengenangkan Rasulullah SAW yang begitu sederhana ketika berbuka dan bersahur, sekadar buah kurma bersama air dan susu. Apatah lagi apabila merasakan dekatnya Rasulullah SAW dengan kami ketika itu. Sedangkan kami gagal mencontohi sunnah Rasulullah SAW Jasad mulia Rasulullah SAW tidak jauh dari tempat di mana kami berada. Ya Allah ampunilah kami atas kelalaian yang telah kami lakukan.


Sahurku.
Kami menziarahi Rasulullah SAW dari kawasan dataran Masjid Nabawi sebelum meninggalkan Madinah pada pukul 11.00  pagi. Suasana agak tenang dengan tetamu Allah sedang berehat dan tidur di bawah payung besar dengan penuh ketenangan. Moga kami berpeluang lagi berziarah ke sini. Amiin.







Lebuh raya terlalu lengang ketika kami di dalam perjalanan menuju ke Riyadh. Buah-buah kurma sudah mulai menguning ditandan sekitar Madinah. Suhu di luar kereta mencapai 45 C. Aku hanya berdoa supaya tiada masalah ketika di dalam perjalanan sejauh 800 km itu. Alhamdulillah kami tiba di rumah beberapa minit sebelum waktu berbuka puasa pada pukul 6.42 petang. Buat pertama kali, kami mengambil masa hanya sekitar 7 jam tempoh perjalanan untuk sampai ke Riyadh dari Madinah. Moga Allah SWT memberkati perjalanan dan ziarah kami ke Masjid Nabawi kali ini.


Hiasan sempenan Ramadhan di hotel

Ruang untuk berbuka puasa bagi yang sedang menungguss
di lobi hotel.


                                        zias/riyadh/16


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...