Isnin, 23 November 2015

Travelog: Oh! Riyadh (77)-Ladang Almarai , Kharj.

Ladang Almarai , Kharj.


Cerita Minggu lepas. Berpeluang menikmati Nasi Kerabu yang disediakan oleh Pn Amy, kenalan sewaktu mengerjakan haji tahun lepas. Saffura suka sangat Nasi Kerabu tidak tahu kenapa, sebab Saffura hanya makan nasi, ayam, kuah, sambal dan keropok sahaja.Yang lain tidak disentuhnya. Aku pun suka juga tapi aku lebih minat menikmati keenakan lada yang disumbat dengan pes ikan bercampur kelapa @ solok lada tu. Teringat sewaktu aku mengajar di Kuantan, saban hari nasi kerabu disediakan sewaktu sarapan pagi. Ikan bersalut tepungnya memang enak. Nasi Kerabu yang Pn Amy sediakan lengkap dengan ikan salut tepung di samping ayam goreng cuma kurang sedikit, tidak ada telur masin. Memang enak. Aku tidak pernah menyediakan Nasi Kerabu sendiri kerana agak renyah untuk menyediakan pelbagai keperluannya lagi pula En. suami tidak mengemarinya.


Set nasi Kerabu - SR25 satu pek

Cuaca yang nyaman memberi dorongan untuk sesiapa sahaja keluar dari rumah untuk menikmatinya. Kami bergerak selepas Zohor ke Kharj untuk melihat Ladang dan Kilang Almarai yang terletak lebih kurang 150 km dari Riyadh. Sudah lama kami merancang untuk ke sana tetapi asyik tertangguh sahaja. Kenapa ke sana? Almarai satu jenama yang amat popular di Arab Saudi. Jika kita berada di Lebuh raya, pasti kita akan bertemu dengan lori-lori besar membawa barang berjenama Almarai untuk diedarkan di seluruh Arab Saudi. Ianya juga dikenali di sekitar Teluk Arab. Almarai mengeluarkan pelbagai barangan berasaskan susu seperti susu segar, laban, yogurt, krim, cream cheese, monzarella dan  banyak lagi. Juga jus buah-buahan, makanan seperti croissant, pai, roti dan bermacam lagi. Almarai juga menjual ayam berjenama Alyoum sama ada ayam segar atau yang sudah diperap dengan pelbagai resepi. Pendek kata produk jenama Almarai memang menjadi pilihan kami.




Sepanjang perjalanan ke  Kharj, kelihatan banyak kilang-kilang di sekitarnya kerana Kharj merupakan kawasan industri.


Saudi Electricity Company

Tiba di Bandar Kharj kelihatan mercu tandanya yang unik. Sekitar menara ini kelihatan bunga-bunga pelbagai warna. kami meneruskan perjalanan masuk ke kawasan bandar. Tidak seperti Buraidah yang memiliki banyak taman-taman menghijau, Kharj kelihatan agak berserabut. Seolah sebuah bandar yang tidak dirancang dengan baik. Tidak pula kelihatan deretan hotel-hotel berbintang-bintang namun banyak kedai-kedai di sekitarnya.



Untuk ke Ladang Almarai memerlukan masa lebih kurang 35 minit dari Bandar Kharj. Selepas makan tengahari kami pun meneruskan perjalanan. Kelihatan ladang-ladang kurma yang agak luas di kiri kanan jalan, berselang seli dengan bangunan kilang. Buah kurma mula mengering di tangkainya, dibiarkan begitu sahaja. Di sebelah kiri kelihatan deretan gunung-gunung yang rata permukaannya, cantik. Semakin jauh kami ke hadapan, terdapat pula kawasan menghijau tetapi agak jauh dari jalan. Sedang bahagian berhampiran jalan kosong sahaja. Terdapat kilang-kilang tepung, ada yang besar dan ada yang kecil saiznya. Pasti kawasan menghijau yang kami lihat merupakan kawasan penanaman gandum. Terdapat binaan untuk menyimpan hasil tanaman, ada yang berbentuk tradisional dan moden. Papan tanda Almarai mula kelihatan di sebelah kanan jalan. Bermula dengan kawasan perumahan bagi pekerja Almarai. Kemudian kilang roti Almarai  .






Selepas kilang tersebut, kelihatan kawasan penternakan lembu yang sangat luas, namun agak jauh dari jalan raya. Kami berhenti apabila melihat papan tanda Al Fanar Dairy Farm, milik Almarai.  Almarai ditubuhkan di Arab Saudi pada tahu 1977 oleh Prince Sultan bin Mohammed bin Saud AlKabeer (Saud Al Khabeer adalah sepupu King Abdulaziz) dengan rakan kongsi dari Irish Alastair McGuckain dan abangnya Paddy. Sekarang Almarai merupakan pengeluar berkaitan susu terbesar di negara Teluk. Heran bukan....negara yang penuh dengan padang pasir dan kekurangan air dari bumi boleh melakukannya. SubhanaALlah.



Kami tidak dibenarkan masuk kerana tidak ada surat

Boleh masuk dengan kebenaran

Ada tempat basuh kasut di depan Pondok Jaga
Kawasan di sebelah dalam pagar. Kelihatan laluan yang akan
menyemburkan bahan kimia bagi kenderaan yang mahu masuk
ke dalam kawasan penternakan lembu.
Kelihatan bangsal, tempat membela lembu-lembu.
Pengawal keselamatan agak peramah dan boleh berbahasa Inggeris serba sedikit. Kami dihadiahkan sebotol jus. Kami juga diberitahu ada lagi kawasan penternakan lembu yang lebih luas milik Almarai lebih kurang 8 km di depan. Kami pun bergerak untuk ke sana. Kelihatan bebarapa ladang milik persendirian di sekitarnya.
Kelihatan papan tanda menunjukkan kami sedang melalui jalan yang juga menghubungkan Dammam dan negara-negara Teluk yang lain seperti UAE tetapi jalanya tidak semeriah laluan yang biasa. Ini disebabkan tidak banyak kenderaan di atasnya.



Kelihatan kawasan penternakan lembu dari jalan raya

Satu lagi ladang yang luas
Kelihatan timbunan rumput tertutup yang diletakkan di kawasan lapang.
Mungkin baru selesai proses mengambil rumput sebab itu kelihatan
kawasan lapang yang luas.

Kelihatan landasan keretapi yang perlu dilintas untuk ke ladang
Almarai.
Keretapi Riyadh - Dammam atau Riyadh- Hofuf. Sekitar Al Kharj
boleh dilihat deretan landasan keretapi dengan mudah.
Belum berpeluang menaiki keretapi di Arab Saudi.

Ladang penternakan ayam juga kelihatan.

Terdapat juga ladang-ladang selain milik Almarai seperti Al Safi. Kagum rasanya melihat kawasan perladangan yang luas ribuan ekar milik Almarai dan syarikat lain. Sesungguhnya tiada yang mustahil untuk berjaya.

Minggu lepas juga menyaksikan hujan lebat di Mekah, Madinah dan Jeddah. Hujan yang lebat menyebabkan Jeddah mengalami banjir yang agak teruk sehingga melibatkan kematian. Di kawasan rumahku juga hujan turun pada hari Rabu. Hari ini pul (23/11/15), jemaah umrah dari Malaysia tiba di Madinah. Mereka merupakan kumpulan pertama selepas visa umrah dibuka semula.

Musim umrah bermula sehingga 15 Syawal 1437H @ 20 Julai 2016


                                                                                                                         zias/riyadh/15




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...