Tamat Sudah Musim Haji 1436H
Rabu, 28 Oktober 2015 merupakan hari terakhir bagi jemaah haji seluruh dunia meninggalkan bumi Arab Saudi. Saudara mara aku yang menjadi tetamu Allah telah selamat pulang ke tanah air. Yang terakhir adalah Abang kepada suamiku, Abang Basri dan isterinya, Kak Hanim. Juga sepupuku, Kak Siah bersama suaminya, Abang Omar. Mereka berlepas dari Prince Muhammad bin Abdulaziz International Airport pada 23 Oktober 2015 dan selamat tiba di KLIA awal pagi 24 Oktober 2015. Manakala anak saudaraku dan suaminya sudah pun pulang ke Malaysia dua minggu lebih awal. Alhamdulillah semua urusan berakhir dengan selamat walaupun terdapat insiden yang mendukacitakan seluruh umat Islam pada musim haji tahun ini
Kami berpeluang bertemu dengan abang iparku, Abang Basri dan Kak Hanim ketika mereka di Mekah. Buat pertama kalinya kami memulakan perjalanan pada hari Khamis (8 Oktober 2015) pukul 5.00 petang menuju ke Mekah sejauh 900+ km. Aku menyediakan pau berinti kelapa dan keropok buat bekalan makanan untuk membantu kami berjaga sepanjang perjalanan. Acar rempah dan sambal tumis ikan bilis juga aku sediakan buat Abang Basri dan isterinya sebagai mengubat rindu masakan Malaysia. Pukul 7.00 malam suasana mulai gelap kerana perubahan musim yang sedang menghampiri musim sejuk. Suasana malam terasa agak meriah di lebuh raya Riyadh - Mekah dengan kehadiran banyak kenderaan terutamanya kenderaan berat. Kawasan hentian rehat pula disimbah dengan cahaya berwarna warni dengan pelbagai bentuk hiasan yang cukup kreatif.
|
Bilik untuk disewa terdapat di atas bangunan kedai |
Jalan yang gelap pekat menjadi terang benderang apabila menghampiri bandar-bandar kecil yang terletak berhampiran lebuh raya. Lampu pelbagai warna menerangi laluan. Taman-taman turut terang benderang dengan pancutan air di kolam-kolam buatan. Pokok-pokok buatan yang berwarna warni seperti di I City Shah Alam disusun berbaris di beberapa bandar besar melekakan mata yang memandang. Tidak terasa kami sudah berada hampir 5 jam di dalam kereta. Kami singgah di Adress Al Khasrah untuk tidur setelah berkenderaan sejauh 350 km. Di kebanyakan kawasan rehat sepanjang lebuh raya menawarkan bilik-bilik untuk disewa. Biasanya di tingkat atas kedai makan atau restoran. Aktiviti menaik taraf kawasan rehat jelas kelihatan dengan pembinaan pelbagai kemudahan seperti bilik-bilik sewa, kedai-kedai, tandas dan masjid.Suasana tempat rehat yang kami singgah agak meriah dengan adanya kedai-kedai menjual barang keperluan umrah/haji. Kebetulan di situ juga menjadi tempat persinggahan bas. Walaupun ada kelihatan bilik untuk disewa, kami memilih untuk tidur di dalam kereta sahaja.
|
Kelihatan Jabal Nur di dalam perjalanan ke Masjidil Haram |
Kami tidur dengan agak nyenyak dan bangun sebelum azan subuh dilaungkan. Usai Solat Subuh kami terus bergerak. Terasa lebih segar dengan suasana pagi yang begitu nyaman dan keadaan lebuh raya yang masih kosong. Kami tiba di Mekah pada pukul 10.00 pagi dan kali ini kami tidak meninggalkan kereta di Kudai Parking. Ini disebabkan Hotel menyediakan tempat parkir kereta secara percuma. Kami terus mencari Hotel Al Shohada (SR399 semalam tanpa minum pagi) yang terletak di Ajyad. Kami memilih hotel ini supaya mudah bertemu dengan Basri dan isteri yang tinggal di hotel tersebut. Aku begitu tertarik dengan sausana sekitar lobi hotel tersebut, ianya dihias indah dan menarik.
|
Mekah Tower dari Hotel Al Shohada |
Suasana hotel yang tenang tanpa kehadiran orang yang ramai membolehkan aku mengambil gambar sepuasnya.
|
Lobi hotel |
|
Hiasan bunga segar di Lobi Hotel |
|
Lobi Hotel |
|
Lobi hotel |
|
Tingkat 7 hotel |
|
Suasana dalam bilik hotel |
Kami sempat makan tengah hari bersama dengan jemaah haji yang tinggal di hotel tersebut. Mereka menggunakan perkhidmatan pakej Tabung Haji Travel yang berharga RM35,000. Kami membawa makanan sendiri dan duduk di ruang yang disediakan untuk jemaah haji. Memang terasa begitu mewah pakej yang ditawarkan. Hotelnya begitu selesa dan berada berhampiran dengan Mekah Tower. Makanan yang dihidangkan begitu mewah dengan pelbagai hidangan antara bangsa termasuk masakan Malaysia. Aku dapat melihat sushi juga turut disediakan.
|
Bersama Abang Basri dan Kak Hanim |
Malamnya kami ke Masjidil Haram bersama-sama. Kami sempat membawa mereka berdua melihat suasana di dalam kawasan masjid baru yang masih belum siap sepenuhnya itu. Aku agak terkejut melihat bahagian yang telah diruntuhkan berhadapan Safwa Tower juga sudah boleh digunakan. Ketika kami ke Mekah pada bulan Jun, kawasan King Abdul Aziz Gate itu baru sahaja diruntuhkan. Kami juga membawa mereka menunaikan tawaf sunat di bahagian atas mataf setelah mendapat tahu mereka belum berkesempatan bertawaf di mataf.
"Mujur lah kamu orang datang, dapatlah kami tawaf di mataf." Berulangkali Kak Hanim mengulangi ayat tersebut kepada aku dan Saffura.
Ramai jemaah haji yang suka tawaf di dataran Kaabah namun jika keadaan terlalu sesak adalah lebih baik menggunakan tawaf bertingkat.
|
Dataran Kaabah dan kawasan sekitar masih sesak
dengan tetamu Allah |
Esoknya kami membawa Abang Basri dan Kak Hanim ke tempat membeli air zamzam dan menghantar mereka kembali ke hotel. Hasratku untuk membawa mereka bersiar-siar ke Jeddah tidak dapat ditunaikan kerana kesuntukan masa. Kami bertolak ke Riyadh sekitar pukul 12.00 tengahari dan tiba di Riyadh pada pukul 9.00 malam. Alhamdulillah. Moga ibadah haji diterima Allah. Amin
|
Sempat menjamah Al Baik yang dibeli dari Restoran
Al Baik yang terletak berdekatan dengan Jabal Nur |
zias/riyadh/15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan