Sabtu, 9 Mei 2015

Dapurku D'Riyadh (6) - Popcorn


Setiap tahun sekolahku menganjurkan Hari Keusahawanan untuk membolehkan Persatuan/Kelab/Badan Beruniform menjalankan perniagaan. Tujuannya bagi mendapatkan dana tambahan untuk menampung aktiviti ahli. Terus terang aku agak keberatan untuk terlibat kerana kami perlu menjual sesuatu yang pada kebiasaanya adalah makanan. Tambahan pula kami dikenakan bayaran untuk sewa tapak perniagaan yang berupa sebuah meja dan beberapa buah kerusi. Wang pendahuluan juga terpaksa dikeluarkan untuk memastikan kerja pembersihan selepas perniagaan selesai dilaksanakan. Saban tahun kami berniaga, kerap kali kerugian dan kalau untung pun tidak sebanyak  yang diharapkan. Pelajar memang suka berniaga tetapi cikgu yang perlu berusaha  lebih untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Pernah kami menjual ABC, rojak, jagung dalam cawan, roti sosej dan sebagainya. Pada tahun 2013 aku agak pening untuk memilih menu. Akhirnya aku mahu menempah sahaja makanan dari luar untuk mengelakkan kerugian dan kepenatan. Namun seorang rakanku yang juga seorang bekas guru, Ustazah Nasriah mencadangkan supaya aku menjual popcorn.
"Kak jual popcorn, senang sangat kak nak buat popcorn, anak anak saya pun boleh buat," cadang ustazah sambil menerangkan kepadaku secara ringkas cara membuatnya. 
"Malas la pulak…macam susah je," balasku acuh tak acuh sahaja,terasa susah sangat.

Di Riyadh, dua orang jiranku, Dr Tahreem dari Pakistan dan Israaq dari Mesir menghidangkan popcorn berperisa masin ketika kami berkunjung ke rumah mereka. Mereka mampu menyediakan popcorn dalam masa yang singkat. Mahu bertanya malu pula, lalu aku mencari di beberapa blog  cara membuat popcorn yang manis rasanya.

Suatu hari sekolah di mana aku belajar bahasa Arab dan al Quran, Daar Adh-Dhikr School mengadakan jualan amal. Aku pun menyediakan satu balang besar popcorn karamel untuk diserahkan kepada guru kelasku. Malam itu juga aku berpeluang merasa pelbagai makanan dari  negara lain seperti Pakistan, India, Turki, Albania, Bosnia, China, Filipina, Afrika  dan sebagainya.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2:

1/ 2 cawan jagung popcorn Jenama Goody
1 sudu besar minyak masak
2 sudu besar mentega
3-4 sudu besar gula putih (ikut manis yang dikehendaki)

 Cara Membuatnya:

    1. Panaskan periuk yang agak besar saiznya. Sebaiknya periuk yang
        tidak melekat seperti periuk berjenama Tefal.    
    2. Masukkan minyak dan 1 sudu besar mentega ke dalam periuk.
        Gunakan api sederhana.
    3. Masukkan jagung popcorn  dan kacau seketika.
       Tutup periuk dengan penutupnya.
    4. Biarkan sehingga kedengaran bunyi pop. 
    5. Bunyi pop akan kedengaran dengan rancaknya. Biarkan. Api dikecilkan.
    6. Jangan buka penutup sehingga lah tiada bunyi pop kedengaran lagi.
        Boleh dihidangkan.Tabur garam ketika hendak dimakan.
        Orang Arab suka makan popcorn seperti ini.
    7. Panaskan gula di dalam periuk yang sama sehingga cair dan keperangan.
    8. Masukkan mentega dan biarkan sehingga cair. Kecilkan api.
    9. Masukkan popcorn dan kacau sehingga rata
   10. Biarkan sejuk dan simpan di dalam bekas kedap udara.


Edisi kurang manis





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...