Sabtu, 2 Mei 2015

Dapurku D'Riyadh (2) - Pajeri nenas



Ramadhan 2013 , entah kenapa aku teringin mencuba pajeri nenas yang tidak pernah aku masak. Kebetulan ada nenas yang aku bawa balik dari kampung. Kebiasaannya aku mula memasak selepas waktu asar. Rupanya memasak pajeri nenas memerlukan masa yang agak lama. Nenas perlu dimasak sehingga benar-benar lembut. Hampir waktu maghrib baru aku selesai memasak. Hasrat hati untuk memberi kepada jiran selang dua rumah dari rumahku tercapai juga. Hatiku berbunga-bunga apabila Su, jiranku memberitahu pajeri yang aku beri kepadanya begitu disukai oleh anak-anaknya.

Di Riyadh, buah nenas mudah diperolehi tapi agak mahal harganya. Buah yang begitu kaya dengan vitamin C itu turut dijual dalam bentuk potongan sedia dimakan. Kebiasaannya aku beli buah nenas yang belum dipotong. Setiap kali memotong buah nenas aku pasti teringat kenangan  sewaktu aku bekerja di kilang nenas ketika aku berusia 13 tahun. Bekerja secara suka-suka itu mampu memewahkan aku dengan wang poket sendiri. Lagi pula aku bekerja di waktu pagi sebelum pergi ke sekolah di waktu tengaharinya.  Aku memang cekap membuang kulit nenas dan matanya.

Kebiasaanya aku menyimpan kelapa di dalam bahagian sejuk beku. Selepas dikeluarkan, aku akan memasukkannya ke dalam air panas sehingga menjadi sejuk. Aku akan kisar sehalus yang mungkin untuk mengeluarkan santan sebanyaknya. Kisaran yang pertama akan menghasilkan santan yang pekat. Kelapa yang telah diperah tadi aku mesin sekali lagi dengan memasukkan sedikit bagi menghasilkan santan yang cair. Dengan cara ini aku dapat menjimatkan penggunaan kelapa segar yang agak sukar didapati di Riyadh.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2:
1 biji buah nenas (Dipotong bulat dan dibelah empat)
3 sudu besar serbuk kari ikan Adabi (boleh tambah sedikit serbuk kari daging)
1/2 biji kelapa diambil santan
2 sudu besar kerisik
Kulit kayu manis dan bunga lawang(penumis)
1 biji bawang besar
3-4 ulas bawang putih
1 inci halia
(1/2 biji bawang besar ,halia dan bawang putih dikisar halus)
(1/2 biji bawang besar dihiris nipis)
Minyak dan garam

Cara memasak:
1.Panaskan minyak, masukkan penumis dan bawang yang dihiris, 
   goreng hingga garing.
2.Masukkan bahan yang dikisar diikuti  garam dan goreng hingga naik bau.
3.Masukkan serbuk rempah, goreng sehingga sebati dengan minyak dan
   masukkan sedikit air.
4.Goreng hingga pecah minyak, tambah air jika perlu,biarkan kelihatan kemerahan.
5.Masukkan kerisik dan santan, biarkan mendidih masukkan nenas, kacau biar rata.
6.Masak sehingga nenas betul-betul lembut. Tambah air jika perlu. Bila nenas
   sudah lembut  perlahankan api dan masak sehingga kelihatan berminyak 
   di atas permukaan kuah.
7.Nenas memberi rasa yang manis jadi tidak perlu ditambah gula lagi



       




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...