Isnin, 4 Mei 2015

Dapurku D'Riyadh (3) - Nasi Tomato Dan Ayam Masak Kurma


Tahun 1992 aku dan beberapa orang lagi rakan ditugaskan untuk menyediakan ayam masak kurma. Ianya untuk jamuan berbuka puasa yang diadakan di rumah Dr Suriyakhatun (sekarang  Dato’) . Aku yang baru tidak sampai setahun mendirikan rumahtangga tidak mempunyai resepi untuk membuat kurma ayam tersebut. Dr Suriya membantuku dengan memberi resepi kurma yang aku gunakan sehingga kini.,dengan sedikit ubah suai. Resepi ini memberi aroma yang sangat harum kerana adanya daun pudina atau daun ketumbar. Daun ketumbar dan daun pudina memang menjadi keperluan  harian masyarakat Riyadh, dijual dengan harga 0.95 rial sahaja seikat. Satu hari aku menyediakan ayam masak kurma bersama nasi tomato untuk diberi kepada jiranku yang berbangsa Pakistan. Jiranku yang bernama Dr Tahreem Noor  ini selalu berkongsi makanan dengan kami terutama pada hari cuti. Dr Tahreem Noor merupakan rakan kerja suamiku di universiti.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Kurma Ayam

Bahan2:
1 ekor ayam (800g)
4 sudu serbuk kurma  Jenama Adabi
3 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
½ biji kelapa diambil santannya
Seikat daun pudina/ketumbar
3 biji cili hijau
2 biji kentang
2 biji tomato
2 biji cili merah
Penumis dan minyak masak
Garam secukupnya

Cara Memasak:
  1.  Kisar 1 biji bawang besar, cili hijau,bawang putih, halia dan daun pudina 
       bersama-sama.
 2.  Panaskan minyak dan tumis penumis . masukkan 1 biji bawang besar yang 
     hiris nipis. Goreng  sehingga garing atau keperangan.
 3.  Masukkan bahan kisar dan goreng sehingga naik bau ,masukkan rempah 
     dan kacau sebentar.
 4.  Masukkan  ½ cawan air dan garam, kacau sehingga pecah minyak 
     atau rempah garing.
 5. Masukkan ayam dan kentang dan kacau lagi sehingga sebati, 
     masukkan santan kelapa.
 6. Masak sehingga ayam dan kentang lembut kemudian perlahankan api. Masukkan 
     cili merah yang dibelah dua, 1 biji bawang besar yang dibelah empat dan tomato 
     yang dibelah empat. Biarkan sehingga kuah pecah minyak.


Aku memang selalu gagal menyediakan nasi tomato yang enak ketika di Malaysia. Maka aku jarang sekali  memasaknya jika dibandingkan dengan nasi ayam. Apatah lagi ianya mudah dimakan di rumah kenduri dan majlis jamuan. Di Riyadh, aku tidak mempunyai pilihan. Aku yakin kurma ayam memang sedap jika digandingkan dengan nasi tomato. Lalu aku membuka pelbagai blog dan antara blog yang aku minati ialah Dapur Tanpa Sempadan. Dari blog tersebut aku berjaya menghasilkan nasi tomato setelah lama  lupa akan resepinya.  Walaupun warnanya agak pucat tapi rasanya memang sedap. Aku menggunakan serai kerana ketika itu aku belum menjumpai daun pandan.

Bismillahirrahmanirrahim

Nasi Tomato

Bahan2:
2 cawan beras basmati (dibasuh dan rendam 30 minit)
1 sudu besar tomato puree (Kalau mahu warna gelap boleh tambah lagi)
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar minyak sapi/mentega (aku campur dengan minyak zaitun)
1 biji bawang besar dihiris nipis
2 ulas bawang putih yang dicincang
1 inci halia yang diketuk/dihiris nipis
1 cawan susu cair
2 cawan air
Penumis dan daun pandan(atau serai)
Kismis (pilihan)
Garam secukupnya

Cara Membuatnya:
  1.  Panaskan minyak sapi dan minyak zaitun, masukkan penumis 
      dan bawang besar. Goreng hingga garing
  2.  Masukkan bawang putih dan halia, goreng sebentar.
  3. Masukkan tomato puree dan tomato sos, kacau sebentar dan
      masukkan beras. Kacau seketika dalam 2-3 minit.

 4.   Masukkan air, susu,daun pandan/serai  dan garam. Setelah kering, 
       perlahankan api, tutup periuk dengan penutup dan biarkan sehingga 
       nasi masak. Boleh dimasukkan kismis jika suka setelah nasi kering sepenuhnya.

Siap untuk dihantar ke rumah jiranku
Roti Pakistan bersama lauk yang dihantar oleh  jiranku , Aku tak tahu apa namanya- makan je la








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...