Ahad, 3 Mei 2015

Travelog : Oh! Riyadh - Cuti Bermula


Cuti Bermula

September 2013

Bercuti lebih awal memberi ruang masa untuk aku  menyelesaikan beberapa perkara penting dalam tempoh sebulan sebelum  ke Riyadh. Setiap hari aku menjadi pemandu menghantar dan mengambil Safura dari sekolahnya, Sekolah Rendah Islam ABIM (SERI ABIM) yang terletak di Sungai Ramal. Ramai yang bertanya kenapa Saffura tidak bersekolah di kawasan perumahan kami di Bandar Tun Hussein Onn. Kami mencari sekolah yang memudahkan urusan pembelajaran Saffura. Sekolah ABIM ini menyediakan sukatan pelajaran yang selari dengan sekolah biasa dan memasukkan mata pelajaran agama sebagai tambahan. Di samping belajar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, Saffura juga mengambil mata pelajaran seperti Pendidikan Agama Islam, al Quran, Bahasa Arab dan Jawi(khat).

Sesi persekolahannya bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 4.00 petang memudahkan urusan pengangkutan. Suamiku akan menghantar Saffura pada waktu pagi dan aku pula menjemputnya di sebelah petang. Walaupun dikenakan bayaran setiap bulan namun ianya sangat berbaloi. Contohnya bagi pelajar Tahun 5 dikenakan yuran sebanyak RM365.00 sebulan. Jumlah ini termasuk untuk minum sewaktu rehat dan makan tengahari. Saffura tidak perlu membawa bekalan setiap hari dan aku yakin makanan yang disediakan oleh pihak sekolah dikawal tahap kebersihannya. Saffura juga tidak ke sekolah agama selepas waktu persekolahan seperti kanak-kanak lain. Pun begitu Saffura berjaya khatam al Quran di sekolahnya ketika berusia lapan tahun. Walaupun kurang dari segi prasarana kerana keluasan kawasan sekolah yang amat terhad namun situasi persekitaran agak memuaskan. Sesuai dengan moto sekolah  iaitu "Pembentukan Insan Soleh", pelajar-pelajar dibentuk dengan persekitaran yang penuh dengan disiplin dan adab Islami.


Sekitar SERI ABIM Sg Ramal,Kajang
"Waa... Saffura akan berhijrah ke Riyadh ya, nanti pandai la bercakap bahasa Arab," usik Puan Norizan guru bahasa Arab juga guru kelas Saffura apabila aku memberitahunya.

" In Shaa Allah cik gu , Saffura memang suka belajar bahasa Arab," balas aku ringkas.

Kebiasaannya aku menghantar Saffura agak awal dan balik  setelah proses pengajaran dan pembelajaran dimulakan. Ini disebabkan berlakunya kesesakan di satu-satunya laluan masuk ke sekolah tersebut. Kebiasaannya pihak sekolah tidak akan mendenda murid yang lewat kerana pihak sekolah amat memahami masalah  yang dihadapi oleh keluarga murid-murid. Masa yang ada aku gunakan untuk berbual dengan guru-guru atau ibu-ibu yang turut menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut. Ramai rupanya para ibu yang suatu ketika dahulu bekerja mengambil keputusan untuk berhenti demi mahu melayani anak-anak yang sedang membesar.

Kawan sekelas Saffura berpakat mengadakan jamuan perpisahan untuk Saffura sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Rendah Agama (SPRA) yang diadakan untuk pelajar Tahap 5. Pizza dan ayam goreng menjadi menu utama majlis tersebut yang diadakan di dalam kelas mereka semasa waktu usrah pada hari jumaat. Saffura pula dalam gembira untuk berhijrah, berbaur rasa sedih kerana akan meninggalkan rakan-rakan yang telah bersamanya selama hampir lima tahun.


Usrah dulu baru makan-makan
"Boleh Saffura masuk belajar lagi di sekolah ini cik gu?"Tanyaku kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Nor Asma semasa mengambil fail peribadi Saffura untuk dibawa ke Riyadh.
"Oh! Kami kena tengok dulu jika ada kekosongan puan, jika ada murid lain yang keluar boleh lah Saffura sambung belajar di sini," jawabnya sambil tersenyum. Begitu tinggi sekali permintaan untuk memasuki sekolah yang memulakan operasinya pada tahun 1989 itu. Aku begitu terharu melihat pengorbanan guru-guru di sekolah tersebut yang pastinya menerima gaji lebih rendah berbanding  guru-guru di sekolah kerajaan. Semuga sekolah yang banyak berjasa ini terus memberi sumbang bakti ke arah melahirkan insan yang taat kepada Allah. Kini projek membina bangunan tambahan sedang giat dilaksanakan, beruntunglah bagi mereka yang mahu mewakafkan harta. Ganjaran pahala yang akan diterima pasti mengalir selama-lamanya.


Jumpa lagi di lain masa
Kejadian pecah rumah semakin menjadi-jadi di kawasan sekitar rumahku walupun kami mengupah pengawal untuk melakukan kerja-kerja rondaan.  Satu demi satu rumah jiran-jiranku dimasuki pencuri tidak kira siang ataupun malam. Aku yang pernah mengalami kejadian seperti itu begitu takut sekali apalagi  kini aku hanya tinggal berdua sahaja. Selain berdoa aku juga kerap kali berjaga di waktu tengah malam. Aku akan tidur selepas skype dengan suamiku pada pukul 8 hingga 9 malam. (Waktu Riyadh pukul 3 hingga 4 petang) dan bangun di tengah malam. Kadang-kala aku pula menjadi jaga dengan memeriksa kehadiran pengawal yang ditugaskan melalui tingkap bilik tidurku. Su, jiranku menjadi teman untuk bercerita dan topik yang paling kerap dibincangkan adalah mengenai keselamatan kawasan rumah kami. Ini disebabkan hanya kami berdua sahaja yang tidak bekerja.


Oh! Kereta kesayanganku
Aku juga turut menjual keretaku yang baru berusia 4 tahun untuk mengelakkan bebanan hutang. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dengan bantuan dari abangku. Aku merasa begitu bersyukur kerana dikurniakan jiran-jiran yang baik dan mengambil berat hal ehwal kami sekeluarga. Kedua-dua jiran dekatku berjanji untuk menolong melihat rumah kami sepanjang ketiadaan kami nanti. Su, turut bersetuju untuk menjaga rumah kami dan melihatnya sekali sekala dengan syarat kami tidak memberikan sebarang upah kepadanya. Aku dan Saffura menghitung hari menanti kepulangan suami untuk menjemput kami ke Riyadh.


                     Life is like A book
                    Some chapters are sad, some are happy and
                    some are exciting but if you never turn the page,
                    you will never know what the next chapter
                    has in store for you.


                                                                                                                                        zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...