Sabtu, 23 Januari 2016

Travelog : Lambaian Qatar (1)

Doha...kami datang.


Qatar terletak di bahagian pantai timur Arab Saudi. Qatar, Kuwait, UAE, Arab Saudi, Bahrain dan Oman merupakan enam buah Negara Arab di Teluk Parsi yang membentuk Dewan Kerjasama Teluk atau GCC (Gulf Cooperation Council).Negara-negara ini kaya dengan sumber minyak lalu rakyatnya juga terkenal dengan kekayaan mereka. Malah Qatar diberi pengiktirafan sebagai negara terkaya di dunia dengan hasil keluaran dalam kasar tertinggi di dunia. Penduduk Qatar tidak perlu membayar cukai pendapatan kerana taraf kehidupan yang tinggi. Memiliki simpanan gas asli ketiga terbesar di dunia dan simpanan  minyaknya pula melebihi 25 bilion tong. Qatar semakin dikenali di dalam industri pelancongan apalagi setelah mendapat hak untuk menjadi tuan rumah bola sepak Piala Dunia pada tahun 2022.

Hasrat untuk berkunjung ke Qatar sudah dirancang sejak setahun lalu. Namun ianya tidak kesampaian apabila musibah melanda. Kereta kami dilanggar ketika sedang di dalam perjalanan untuk mendapatkan permit membawa kereta ke sana. Alhamdulillah dengan izin Allah tertunai sudah hasrat untuk menjejaki bumi yang terkenal sebagai tempat tinggal Presiden Persatuan Ulama Sedunia iaitu Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi. Perantauan selama 5 hari empat malam sememangnya tidak mencukupi untuk menjelajah setiap inci bumi Qatar. Namun sebahagian besar wilayahnya mampu kami jejaki. Suamiku terus menguruskan beberapa perkara yang perlu dibuat untuk ke Qatar sebaik sahaja diberitahu tarikh bermulanya cuti sempena berakhirnya semester pertama universiti. Dua perkara terpenting ialah memohon re-entry visa dan mendapatkan surat kebenaran membawa kereta ke luar dari Arab Saudi. Surat kebenaran dari pihak Toyota diperlukan kerana kereta tersebut masih lagi di dalam pinjaman dengan pihak Toyota. Pihak Toyota memberikan surat kebenaran tersebut setelah mendapat kelulusan dari pihak polis.


Kedudukan Qatar di kalangan negara-negara Arab
 (Gambar dari Google)

Aku dan Saffura tidak berani untuk merasa gembira selagi dua perkara tersebut belum selesai. Hanya doa kami panjangkan kepada Allah agar peristiwa tahun lepas tidak berulang. Kami juga tidak mahu bercerita kepada rakan-rakan yang lain mengenai percutian kami kali ini selagi tidak melihat sendiri surat tersebut. Akhirnya permohonan re-entry visa kami perolehi dengan bayaran SAR200 seorang. Permit membawa kereta pula diberi 5 hari sebelum tarikh pemergian kami. Aku begitu bersemangat dan membuat persediaan awal dengan menyediakan beberapa jenis lauk pauk untuk disejuk bekukan dan dibawa ke sana. Walaupun Qatar menawarkan banyak makanan halal namun aku pasti makanannya lebih kurang seperti yang terdapat di Riyadh. Pasti kami akan cepat merasa jemu menjamah makanan Arab setiap hari.

Pada 12/1/2016 kami memulakan perjalanan apabila jam hampir ke pukul 6.30 pagi. Di musim winter, masuk waktu solat Subuh sekitar pukul 5.15 pagi jadi agak lewat untuk kami memulakan perjalanan. Di musim summer pula kebiasaannya waktu Solat Subuh lebih awal, sekitar pukul 3.30 pagi. Jika di musim summer kami akan keluar bermusafir lebih awal, biasanya pada pukul 5 pagi. Semua aktiviti di Arab Saudi amat bergantung kepada musim. Jarak Riyadh ke Doha, Qatar sekitar 600 km mengikut peta yang memerlukan perjalanan berkereta selama 5-6 jam. Kami mengambil jalan yang sama ketika ke Hofuf  bulan lepas.


Dari lebuh raya Riyadh - Damman, ambil simpang ke kiri di Sa'ad.

Selepas simpang  di Sa'ad, kita akan melihat pemandangan
memukau  iaitu red sand dunes yang begitu luas terbentang. 

Papan tanda menunjukkan jarak perjalanan yang
bakal dilalui.

Selepas red sand dunes, kelihatan unta-unta bebas
bergerak di kiri dan kanan jalan. Bilangannya memang 
banyak namun ada yang mengawalnya.
Tiba-tiba hujan...Alhamdulillah.

Perlahankan kereta....unta hendak melintas jalan

Ada yang tertinggal pulak!


Selepas Khurais pula, kawasan padang pasir diliputi
paip-paip besar yang menyalurkan minyak.
 Tahulah kita kini menghampiri
Empty Quaters atau Rub' al Khali.
Kawasan minyak
Empty Quater atau Rub'al Khali adalah salah satu gurun terluas di dunia. Ukurannya mencapai 650,000 km persegi yang melibatkan 4 negara iaitu Arab Saudi, Yaman, Oman dan UAE. Padang pasirnya begitu luas melebihi keluaran negara Perancis sedangkan gunung-gunung pasirnya ada yang lebih tinggi dari Menara Eiffel. Rab' al Khali juga memiliki dataran garam yang cukup luas. Ianya cukup luas sehingga terasa tidak berhujung. Tanahnya memiliki simpanan minyak yang banyak dan sudah pun ditemui. Fenomena aneh Sungai Pasir di Padang Pasir Empty Quater yang menjadi viral di FB suatu ketika dahulu melonjakkan lagi nama kawasan ini. Iklim di kawasan ini tersangat kering dengan suhu siang hari mencapai 55 C. Sukar untuk melakukan perjalanan di kawasan ini menjadikannya sepi dan kosong tidak berpenghuni. 


Kawasan Empty Quater
(Gambar dari Google)
Dah sampai di Hofuf tapi tak singgah.

Perjalanan dari Hofuf ke Salwa membawa kita melalui kawasan Empty Quater. Kelihatan sand dunes atau bukit-bukit pasir yang luas di kiri kanan jalan. Berbagai bentuk bukit pasir kelihatan namun kebanyakan pasirnya berwarna putih kekadang kuning cair. Bersyukur kepada Allah kerana aku berpeluang melihat keindahan padang pasir sepanjang perjalanan ini. Sememangnya ianya tidak pernah menjemukan. Suatu ketika kawasan padang pasir kelihatan tidak berpenghujung dan berpenghuni terutama di kawasan bukit-bukit pasir yang halus. Lebih kurang 50 km lagi untuk ke Salwa, kelihatan pekan-pekan kecil di sepanjang perjalanan seperti Tamani, Fardani dan sebagainya. Kebanyakan penduduknya terlibat dengan penternakan binatang seperti kambing dan unta.

Sand dunes kelihatan sepanjang perjalanan Hofuf - Salwa

Apabila terlihat gerai-gerai menjual karpet dan
 bantal untuk"majlis", kita sudah sampai di Salwa. 
Sempadan Arab Saudi-Qatar.

Pantai Salwa kelihatan dari lebuh raya.
Pekan kecil Salwa - terdapat sebuah
bulatan  yang mempunyai 3 simpang.
Pilih aje lah ..mahu ke mana.



Menghampiri kawasan kastam yang terletak di Salwa. Bulan
lepas kami hanya mampu bergambar di kawasan sempadan ini.
Kini Qatar melambai-lambai.

Kami tiba di kompleks kastam di Salwa pada pukul 11.40 pagi. Walaupun terasa lapar kami tahan dahulu kerana terasa agak risau untuk berhadapan dengan pengalaman kali pertama melepasi sempadan negara dari Arab Saudi. Kereta tidak banyak lebih kurang 6-7 buah kereta sahaja di hadapan kami yang sedang berbaris menunggu giliran untuk berurusan di kaunter. Suamiku menyerahkan pasport pemandu sahaja bersama dokumen kebenaran membawa kereta. Suamiku menerima sehelai kertas bersaiz kecil yang ditulis di dalam bahasa Arab. Kami meneruskan perjalanan ke kaunter 2 di mana kesemua pasport dan resit kecil tadi diserahkan. Dokumen kebenaran membawa kereta tidak perlu lagi ditunjukkan. Kereta diperiksa untuk memastikan kami tidak membawa barang larangan seperti artifak bernilai dan sebagainya. Akhir sekali kami berhenti di kaunter terakhir di mana pasport kami disemak dan resit kecil tadi diambil. Kami begitu bersyukur kerana segala urusan berjalan lancar dengan mengambil masa selama 13 minit. Urusan di kaunter tetap diteruskan walaupun masuk waktu Solat Zohor.

Perjalanan dari kawasan kastam Arab Saudi ke kawasan
kastam Qatar. Jaraknya adalah 8-9 km.

Pintu gerbang untuk memasuki kawasan kastam Qatar

Di kawasan kastam terdapat beberapa kemudahan seperti bank, kedai, restoran, masjid dan tandas. Kelihatan kereta beratur menunggu giliran untuk memasuki negara Qatar. Kami tidak pasti mahu ke mana, yang pasti kami perlu mendapatkan visa untuk masuk ke  negara tersebut. Kelihatan bangunan di sebelah kira dan tertulis perkataan visa. Suamiku meletakkan kereta di sebelah kiri dan berjalan kaki ke bangunan tersebut. Lebih kurang lima belas minit, suamiku kembali bersama visa yang diperolehinya dengan bayaran SAR100 seorang. 

Bangunan, tempat untuk mendapatkan visa.
Kemudian urusan mendapatkan permit kereta untuk ke Qatar dan pembayaran insuran bernilai SAR112.
Urusan selesai pada pukul 12.30 tengahari.

Kaunter pemeriksaan kereta untuk masuk ke Qatar.

Poin pemeriksaan terakhir.


Sudah berada di bumi Qatar.
Singgah di R&R yang terdapat berhampiran kawasan kastam
yang bernamaBu Samra. Stesen Minyak Woqod 
mendominasi stesen minyak di Qatar seperti 
Sasco di Arab Saudi.
Masjid yang terdapat di R&R

Lebuh Raya Qatar kelihatan baru dan cantik dengan 4 lorong. Pemandangan di kiri kanan jalan sedikit berbeza di mana bentuk muka bumi yang luas agak rata. Tidak terdapat kawasan berbukit langsung. Dipenuhi kawasan berbatu yang kecil, tanahnya tidak berpasir seperti yang biasa dilihat di Arab Saudi. Pokok-pokok juga agak payah untuk dilihat terutamanya pokok Akasia. Terlalu sedikit tumbuhan hijau yang hidup di bumi ini. Kelihatan juga laut yang membiru dari jauh di sebelah kiri lebuh raya namun ianya semakin menghilang. Tiang lampu kelihatan sepanjang jalan begitu juga dengan 2 jenis kamera untuk mengambil gambar kereta yang melebihi had laju. Menariknya terdapat papan-papan tanda amaran bagi sesiapa yang berhasrat untuk membuang sampah di atas lebuh raya.  Mungkin kamera yang satu lagi memainkan peranan untuk mengambil gambar sipembuang sampah di atas lebuh raya.

Ianya amat mengembirakan kami kerana begitu terasa jalan-jalan di Qatar lebih bersih dan terjaga. Kami cuba mencari tempat yang sesuai untuk berhenti bagi menikmati makan tengahari yang aku masak pagi tadi. Tidak kelihatan langsung kenderaan berhenti di tepi jalan seperti yang kita biasa lihat di Arab Saudi. Tidak ada taman, kawasan perumahan atau deretan kawasan R&R. Setelah 45 km perjalanan baru kami dapat melihat rumah dan khemah, itu pun dalam jarak yang agak jauh. Kami tidak mempunyai pilihan selain meneruskan perjalanan sehingga ke Doha.

Jalan yang cantik sesuai dengan status negara terkaya di dunia.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...