Sabtu, 9 Januari 2016

Travelog : Jom Pi UK (9)


Hasrat Tertangguh di Dover 

31/10/1996 (Khamis)

Hujan turun dengan agak lebat di awal pagi menyebabkan kami tertidur dengan lebih lama. Kami berkunjung ke sebuah banglo besar milik Salam seperti yang dipesan malam tadi. Banglo tersebut terletak di hadapan hotel di mana kami tinggal. Salam merupakan anak jati England. Berkulit putih, berambut perang dan tinggi lampai orangnya. Alhamdulillah Salam diberi hidayah oleh Allah kembali kepada agama fitrah. Suamiku berkenalan dengan Salam di Malaysia sewaktu Salam melawat ke Malaysia yang begitu dekat di hatinya. Banglo besar tersebut telah bertukar status menjadi rumah untuk warga emas. Jadi Salam bekerja sepenuh masa di rumah tersebut dan dia memang kelihatan sibuk sepanjang masa kami berada di situ. 

Dikenali sebagai Amsterdam House, ianya menawarkan tempat tinggal untuk warga emas yang berumur melebihi 65 tahun. Rumah tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Bilik-bilik yang ditawarkan berupa single rooms, double rooms dan en suite rooms bergantung kepada kemampuan masing-masing agaknya. Terdapat juga ruang rehat yang luas dan selesa serta taman yang dipenuhi dengan pokok-pokok dan bunga-bungaan. Pekerja-pekerja juga kelihatan peramah dan sentiasa membantu penghuni di situ. Sempat kami dihidangkan dengan teh yang menyegarkan. Ramai di antara penghuni di situ yang menegur kami sambil memberi senyuman. Ada penghuni yang sedang berehat di ruang tamu manakala yang lainnya berada di bilik masing-masing. Kami menunggu kedatangan Salam yang sedang bertugas dengan penuh kesabaran.



Tempat tinggal warga emas yang kian diminati
dan diiktiraf/dibantu kerajaan.

Semalam kami sudah berkunjung ke rumah ini  dan mendengar kisah Salam. Kami begitu terharu dan bersyukur apabila diberitahu Emak Salam  turut memeluk Islam sebulan sebelum emaknya meninggal dunia dan dikebumikan di Petaling Jaya. Agak lama juga mereka tinggal di Cherating sebelum emaknya melafazkan syahadah. Terbaru abang Salam juga turut mengikut jejak mereka berdua. Salam begitu berminat untuk tinggal di Malaysia dan sempat bertanya kepada suamiku beberapa perkara berkaitan dengan peluang perniagaan di Malaysia.

Kami dibawa oleh Salam ke sebuah banglo lagi yang terletak bersebelahan dengan Amsterdam House. Rumah tersebut baru dibeli untuk dijadikan masjid dengan nama Maria Mosque. Rumah tersebut juga begitu besar dan luas. Ruang tamunya begitu selesa. Kami dihidangkan dengan makanan yang agak berat dan mengenyangkan. Namun rasanya begitu lazat dan aku amat mengemarinya. Kentang putar, karot, brokoli dan kekacang...habis sepinggan.

Salam menghantar kami ke Ashford International Railway Station bagi membolehkan kami menaiki Eurostar untuk ke Paris. Salam tidak dapat menunggu kami kerana mempunyai tugas yang harus dilaksanakan. Kami mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Salam atas layanan yang diberikan. Dengan harapan akan bertemu lagi di masa akan datang. Kami berpisah dan sehingga sekarang kami belum mendengar berita tentang Salam. Didoakan Salam terus komited di dalam Islam. 

Kami terus ke kaunter tiket untuk mengetahui harga tiket dan masa perjalanan untuk ke Paris. Harga tiket terlalu mahal buat kami ketika itu sekitar RM800 seorang. Terdapat tawaran harga yang lebih rendah tetapi kami perlu berada di Paris sehingga hari Ahad. Sedangkan tarikh penerbangan kami untuk pulang ke Malaysia ialah pada hari Sabtu. Hampir setengah jam kami berbincang, akhirnya rancangan untuk ke Paris terpaksa dibatalkan. Entah kenapa aku agak degil dengan menolak cadangan suamiku untuk ke Calais yang juga terletak di Perancis. Sekurang-kurangnya aku sudah sampai ke Benua Eropah.

Suamiku : Kita pergi ke Calais, dekat sikit.
Aku       : Tak mahu
Suamiku:  Doalah....ada rezeki kita pergi.
Aku      :  Bila la tu??




Akhirnya kami menaiki keretapi untuk kembali ke London dan tiba di Charing Cross Station pada pukul 3.00 petang. Aku tidak dapat tidur sepanjang perjalanan lalu menikmati pemandangan indah. Ladang, kambing biri-biri, pokok epal dan pokok oren kelihatan dari jauh. Kami ke Information Center, Victoria Station  untuk mendapatkan bantuan bagi mencari hotel untuk malam tersebut. Akhirnya B&B, London House di Paddington menjadi pilihan kami dengan harga 45 paun semalam. Terletak berhampiran dengan kawasan kediaman memudahkan kami mencari kedai untuk makan malam. Akhirnya kami ke sebuah kedai Pakistan dengan nasi beriani menjadi hidangan. Kedai tersebut juga menawarkan perkhidmatan telefon dengan harga yang agak  murah jadi aku mengambil peluang menelefon ayahku di tanah air. Dalam keadaan mengantuk ayahku melayan perbualanku. Lebih mendengar dari bertanya....aku tidak pasti ayah aku sedar atau pun tidak kerana ketika itu jam menunjukkan pukul 6.00 waktu tempatan sedang di Malaysia sudah pukul 2.00 pagi. Entah mengapa aku begitu bangga dan gembira berada di London.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...