London.. Memang Best!
1/11/1996 (Jumaat)
Breakfast dihantar ke bilik dengan sebuah dulang berisi roti, jem dan 2 cawan teh. Kami ke Buckingham Palace, kelihatan beberapa orang Malaysia yang turut berada di sekitar kediaman Queen Elizabeth itu. Orang memang ramai, terdiri dari pelbagai bangsa seluruh dunia. Kami tidak berada lama di situ dan bergerak pula ke Green Park dan Hyde Park. Ketika keluar dari kawasan tersebut kami bertembung dengan Pengawal Berkuda yang sedang di dalam perjalanan untuk bertukar giliran bertugas di Buckingham Palace. Kami turut bersama dengan pelancong lain berdiri di tepi jalan melihat pergerakan mereka menuju ke istana sehingga hilang dari pandangan.
Pintu Pagar Buckingham Palace |
Destinasi seterusnya ialah Harrods Knightsbridge, sebuah gedung membeli belah mewah yang terkenal di London. Aku memang berhasrat untuk ke Harrods kerana ada yang mengirim barang untuk dibeli. Oleh kerana terlalu luas kami memilih untuk ke bahagian yang tertentu sahaja. Tumpuan utama aku ialah di bahagian Foods untuk membeli Harrods Tea yang dikirim rakan. Aku membeli 6 tin kecil Harrods Tea dengan pelbagai perisa buah-buahan. Seronok rasanya apabila bekas teh yang dibeli dimasukkan ke dalam sebuah beg plastik berkualiti berwarna hijau yang begitu cantik sekali. Coklat dengan berbagai rupa bentuk, saiz dan warna kelihatan begitu sedap diletakkan di dalam almari bercermin.
Ketika di bahagian hiasan yang diperbuat dari kaca, crystal dan porselain kami memaksa diri berjalan dengan lebih berhati-hati. Melihat tag harga yang begitu mahal membuatkan kami menjuahkan diri dari barang-barang tersebut. Sekadar melihat dari jauh. Aku sempat lagi membeli beberapa barang untuk kenangan sebelum melangkah keluar.
Kami singgah pula di Oxfort Street, kawasan membeli belah yang terkenal di London. Seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Orang memang ramai, berjalan dengan cepat menuju ke kedai pilihan masing-masing. Aku pula masih tidak dapat membuat keputusan untuk memilih kasut yang ingin dibeli. Beberapa buah kedai aku masuk dan keluar begitu sahaja sedangkan orang lain kelihatan sudah sarat dengan pelbagai beg di tangan masing-masing.
Pada sebelah petangnya kami ke Tower Bridge serta The Tower of London dan berjalan di sekitarnya. Aku sempat membeli hadiah untuk keluarga sebagai kenangan. Kami menaiki feri di Tower Pier untuk menyusuri Sungai Thames pada pukul 3.00 petang. Feri dua tingkat dan tidak berbumbung di tingkat atasnya begitu selesa untuk dinaiki. Terdapat seorang pemandu pelancong yang memberi penerangan berkaitan tempat-tempat penting yang dilalui. Penerangan yang diberi begitu bersahaja, sesekali lawaknya menghiburkan kami. Sepanjang pelayaran, kami melepasi beberapa buah jambatan selain Tower Bridge. Pelayaran kami berakhir di Westminster Pier.
Sudut paling sesuai untuk bergambar berlatarkan Tower Bridge |
The Tower of London |
Discover The Thames |
2/11/1996 (Sabtu)
Hari terakhir di London. Kami ke Oxfort Street sekali lagi untuk membeli beberapa barang yang belum dijumpai. Akhirnya aku dapat membeli sepasang kasut berjenama Clark setelah puas memilih yang berkenan di hati. Kami berada di Oxfort Street sehingga tengahari dan terus ke Malaysia Hall untuk makan tengahari. Kami ke Victoria Station pula untuk mengambil beg-beg yang kami tinggalkan di situ. Kami terus menaiki coach untuk ke Heathrow Airport dengan masa perjalanan lebih kurang 1 jam. Di Terminal 3 kami terus mendaftar masuk, Alhamdulillah kami tidak dikenakan sebarang bayaran tambahan walaupun berat beg-beg yang kami bawa melebihi had yang dibenarkan.
Aku menghabiskan mata wang England yang masih berbaki di kawasan membeli belah di sekitar tempat menunggu untuk berlepas. Urusan untuk masuk ke dalam perut kapal terbang begitu ketat di mana kami terpaksa melalui pelbagai proses. Akhirnya kami berada di tempat duduk kapal terbang Malaysia Airlines , atau MAS. Lega rasanya berada di kalangan bangsa sendiri setelah lebih dua minggu berada di bumi asing. Tidak sabar untuk menikmati hidangan makan malam yang bakal disediakan. Akhirnya kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antara bangsa Subang pada pukul 6.00 petang setelah 12 jam 30 minit berada di udara. Alhamdulillah berakhir sudah kembara kami mengelilingi dunia dalam tempoh dua minggu.
-Akan Datang Jom Pi UK Part 2-
London Underground menanti. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan