Dinner di DQ
Kami dijemput untuk makan malam oleh rakan sekerja suamiku yang merupakan warga Tunisia. Sejak beberapa bulan ini, suamiku asyik bercerita tentang Prof. Dr Hamdi dan negaraTunisia. Isteri Prof Dr Hamdi yang sedang bercuti baru tiba di Riyadh. Jadi Prof Dr Hamdi mengajak kami berkenalan sambil makan-makan. Aku agak keberatan untuk ke sana memandangkan aku dan Saffura sudah merancang untuk bakar-bakar satay pada hujung minggu lepas. Namun aku tidak mampu menghampakan rancangan yang sudah dibuat oleh mereka berdua. Aku menyediakan roti jala dan kari ayam untuk dimakan bersama.
Kawasan sekitar laluan masuk ke Diplomatic Quaters (DQ) lebih ketat pada waktu malam, hanya satu lorong yang memuatkan sebuah kereta sahaja yang boleh dilalui. Seluruh kawasan lebih banyak ditutup dari dibuka. Petugas dengan pakaian ala askar dan memegang senjata bertanya kepada kami ke mana tujuan kami. Kali ini kami tidak menjadikan perkataan Malaysia sebagai modal untuk masuk ke DQ. Sebaliknya perkataan ziarah dan universiti disebut. Dengan mudah kami dilepaskan namun terpaksa pula menunggu giliran untuk masuk di bahagian utama pintu masuk. Terdapat sebuah kereta petugas yang bergerak ke hadapan dan ke belakang bagi menghalang laluan kereta yang sedang disoal pemandunya.
Kami mengulangi jawapan yang sama dan dilepaskan dengan lebih cepat dan mudah. Sekitar kawasan laluan masuk terdapat beberapa kereta petugas lain yang kelihatan sedang menjalankan tugas dengan begitu tekun. Kelihatan juga kereta kebal dan pondok-pondok kecil untuk menempatkan senjata tersembunyi. Semacam memasuki zon perang sahaja. Seperti biasa kami melalui bulatan demi bulatan untuk ke tempat kediaman, di setiap bulatan pasti ada sebuah kereta peronda. Sesekali terdapat pula kereta peronda lain yang berpusing-pusing sekitar bulatan. Lebih banyak kereta askar petugas berbanding kenderaan lain. Kami mencari apartmen Dr Hamdi yang terletak berhampiran dengan Yamamah Park. Namun Yamamah Park, yang pernah kami kunjungi itu tidak pula kami temui. Akhirnya suamiku terpaksa menghubungi Dr Hamdi melalui telefon sambil berpusing beberapai kali di bulatan bernombor 4. Seperti yang dijangka, kereta kami ditahan oleh askar yang bertugas.
Tidak faham akan apa yang diucapkan, suamiku menyerahkan telefon bimbitnya kepada askar tersebut untuk bercakap dengan Dr Hamdi seterusnya bertanya arah untuk ke rumahnya. Ianya juga tidak menyelesaikan masalah, akhirnya Dr Hamdi datang menjemput kami dengan menaiki basikal. Kami dijemput masuk oleh isteri Dr Hamdi yang bernama Pn Urfa. Kediaman yang mereka duduki juga adalah milik universiti. Di samping blok tersebut, terdapat beberapa blok lagi yang menjadi kediaman tenaga pengajar universiti. Seperti yang pernah aku ceritakan di dalam entri sebelum ini, pensyarah yang tinggal di sini kebanyakannya adalah warga Amerika Syarikat. Ada juga yang berpangkat Profesor yang diberikan keistimewaan untuk tinggal di DQ.
Teh hijau panas yang direndam dengan daun pudina dihidangkan kepada kami oleh Dr Hamdi sendiri di ruang tamu rumahnya. Aku tersenyum apabila melihat cawan-cawan yang dihidangkan sama seperti yang terdapat dirumah kami. Baklava yang dibuat oleh kakak kepada Pn Urfa turut dihidangkan. Sudah lama aku berpantang makan baklava kerana terlalu manis. Kali ini aku tidak melepaskan peluang untuk menikmatinya. Rasanya tidak semanis bakhlava yang biasa aku beli. Ianya lebih sedap kerana lebih banyak inti ditengahnya yang diperbuat dari pelbagai jenis kekacang.Kami juga diberi peluang merasa sejenis buah limau yang manis dan wangi juga dibawa dari Tunisia. Sayang sekali ianya tidak boleh dibeli di Arab Saudi.
Kami dijemput pula untuk duduk di ruang makan yang agak luas. Ruang makan bersambung terus dengan ruang dapur. Pn Urfa terus menyediakan makanan untuk dijamu dengan dibantu oleh suaminya. Dr Hamdi menunjukkan kepada kami bagaimana memasak couscous yang dibawa dari Tunisia. Couscous tersebut juga disediakan sendiri oleh keluarga mereka. Couscous dikukus dalam masa yang singkat lebih kurang 15 minit.
Seperti masyarakat Timur Tengah yang lain, nasi hanya dimakan seminggu sekali. Roti, couscous dan pasta lebih digemari. Aku pernah makan couscous sebagai hidangan yang disediakan di dalam kapal terbang. Aku sudah lupa bagaimana rasanya kerana terlalu lama. Jadi aku agak teruja untuk merasainya.
Couscous selepas dikukus |
Couscous selepas digaul dengan kuah yang dimasak. |
Makan malam kami dimulai dengan sejenis makanan seperti murtabak tapi kulinya lain sedikit. Isinya berupa campuran telur, cheese, bawang, tuna, daun pasley dan daun ketumbar. Semuanya dicampurkan dan dimasukkan ke dalam kulit dan digoreng dalam minyak yang sederhana banyaknya. Terdapat sejenis salad yang diperbuat dari paprika, buah zaitun, timun dan tomato. Aku tidak sempat merasainya kerana lebih sibuk berbual sambil menikmati makan malam. Mereka juga turut merasa masakanku. Tidak tahu apa nama yang perlu diberitahu kepada mereka untuk roti jala..... 'net bread'? Mereka pernah mendengar masakan kari namun tidak pernah merasainya. Kari yang aku sediakan tidak pedas seperti biasa kerana takut mereka tidak boleh memakannya. Mereka agak tertarik dengan roti jala dan kari ayam itu. Perkataan 'good' yang diucapkan oleh mereka berdua cukup mengembirakan aku.
Murtabak Tunisia |
Couscous dihidang bersama masakan utama yang terdiri dari daging, kentang, carrot dan ubi keledek. Kacang kuda dimasak berasingan. Sedap juga. |
Pn Urfa yang juga merupakan seorang guru mempelawa kami makan buah-buahan pula selepas selesai makan couscous. Dr. Hamdi pula menunjukkan gambar-gambar keluarganya di Tunis melalui laptopnya. Sikap mereka berdua yang begitu peramah dan tidak meninggi diri menyebabkan kami begitu selesa berada di rumah mereka. Tidak ada protokol yang merimaskan. Dr Hamdi juga menunjukkan kepada kami gambar-gambar ladangnya yang seluas 8 ekar. Terdapat sungai, ratusan pokok zaitun, pokok kaktus, ladang gandum dan sebagainya. Teruja kami melihat pokok-pokok kaktus yang memiliki buah yang sedap rasanya. Tunisia memiliki iklim mediteranian, pelbagai jenis pokok buah-buahan boleh ditanam di sana. Terdapat landang-ladang anggur yang luas selain pokok-pokok delima, buah citrus dan sebagainya. Juga gambar-gambar rumahnya yang sudah siap dibina. Villa tiga tingkat yang dilengkapi dengan perigi untuk diambil air bagi kegunaan tanaman di tamannya terletak tidak jauh dari pantai. Villanya terletak di Tunis, ibu negara Tunisia. Kami begitu suka sekali apabila dijemput ke sana. Jika ada rezeki. InshaaAllah.
Bersama Pn Urfa. |
Tengok-tengok gambar. |
Gurauan aku untuk berjalan kaki selepas makan di Yamamah Park diambil serius oleh Pn Urfa. Kami keluar dari blok kediaman mereka menuju taman yang terletak di seberang jalan. Aku yang tidak bersedia dengan winter coat terpaksa menahan rasa sejuk. Alhamdulillah ada baju tebal dua lapis di sebalik abaya yang aku pakai. Sarung tangan juga sangat membantu aku dari kesejukan ketika berjalan berpusing di dalam kawasan taman yang cantik itu. Tersesat seketika, kami mencari jalan keluar dan meneruskan perjalanan menuju arah belakang kediaman mereka. Trek khas untuk berjalan kaki kami lalui sehingga ke tebing bukit untuk melihat keindahan kota Riyadh di waktu malam. Simbahan cahaya lampu neon sekitarnya begitu indah sekali. Di sini angin bertiup agak kuat menjadikan suasana terasa bertambah dingin.
Yamamah Park |
Hanya kami berlima bersiar-siar di taman yang luas itu. |
Belum puas melihat suasana sekitar dan berbual, kami menaiki kereta pula untuk melihat kawasan yang lebih jauh. Kebiasaannya pensyarah atau guru bahasa Inggeris yang tinggal di DQ tidak membeli kereta. Mereka akan diambil dan dihantar oleh bas universiti. untuk ke tempat kerja. Dua hari dalam seminggu mereka akan dibawa untuk membeli belah sekitar Riaydh. Mereka juga boleh menggunakan perkhidmatan kenderaan universiti untuk urusan lain. Di dalam DQ juga terdapat kedai-kedai untuk membeli keperluan. Sebuah mall sedang dibina untuk kemudahan penghuni DQ. R
Ramai juga penghuni DQ yang bersiar-siar pada waktu malam di sekitar DQ atau taman-taman. Kami melalui sekitar Tuwaiq Palace. Di dalam perjalanan pulang kami ternampak rumah kediaman Duta Malaysia di Riyadh. Kedudukannya bersebelahan dengan kediaman Duta Thailand. Baru kami tahu duta pun tinggal di dalam DQ. Selepas pukul 10.00 malam baru kami bertolak pulang. Dr Hamdi kelihatan masih bersemanagat lagi untuk berbual namun kami sendiri sudah keletihan. Aku pula mula merasa sejuk terutama di kedua-dua belah kaki. Mujur ada alat pemanas di dalam kereta, sekejap sahaja aku kembali seperti biasa. Kenangan manis bersama pasangan Tunisia diharap dapat berulang. Kami turut menjemput mereka melawat Malaysia apabila kami pulang ke tanah air nanti. Dr Hamdi begitu berminat dengan ajakan tersebut kerana beliau tidak pernah sampai di sebelah Asia Tenggara@Asia. Aku pula tidak sabar mahu mencuba resepi couscous .
Bergambar di kawasan kediaman universiti. |
Moga bertemu lagi. |
zias/riyadh/16
Tiada ulasan:
Catat Ulasan