Sejuknya Newcastle
28/10/1996 (Isnin)
Pukul 9.00 pagi kami sudah berada di University Of Sunderland. Cuaca terasa begitu sejuk dengan hujan dan angin yang bertiup. Kami berada di pejabat bahagian rekod Electrical Department kerana suamiku mempunyai urusan di situ. Kesempatan berada di UK membolehkan suamiku singgah untuk mendapatkan beberapa rekod untuk kegunaan peribadi. Malangnya hasrat suamiku tidak kesampaian kerana mereka begitu sibuk dengan urusan kemasukan pelajar baru. Walau bagaimana pun Miss Eileen, pegawai yang kami temui berjanji untuk menguruskannya dalam tempoh dua minggu. Setelah mendapat kepastian tersebut kami pun beredar ke kantin untuk minum pagi.
Kelihatan ramai pelajar dari pelbagai negara di situ. Kami diberitahu oleh Miss Eileen bahawa pelajar dari Malaysia terutama yang berbangsa Melayu tidak ramai belajar di universiti tersebut. Yang ada kebanyakannya berbangsa Cina. Situasi jauh berbeza jika dibandingkan dengan semasa suamiku berada di situ. University of Sunderland asalnya adalah sebuah politeknik yang terkenal di kawasan tersebut. Terletak di tengah bandar Sunderland dengan bangunan yang sudah berusia dan berjauhan antara satu sama lain. Terdapat bangunan yang terletak betul-betul di kawasan bandar sehingga sukar membezakan bangunan milik universiti atau bukan. Bilik kuliah dan bilik pensyarah pula agak berjauhan dan kita terpaksa melalui banyak laluan. Tiba-tiba kami berhadapan dengan ribut yang agak kuat, terasa seperti mahu dibawa terbang. Rupanya situasi seperti itu adalah perkara biasa di Sunderland.
Bersama Dr G. Hilton |
Suamiku sempat bertemu dengan bekas penasihatnya ketika menjadi mahasiswa di universiti tersebut. Dr G. Hilton agak terkejut dengan kehadiran kami di biliknya. Beliau kehairanan apabila diberitahu kami sedang bercuti di Sunderland disebabkan keadaan cuaca yang sebegitu rupa. Kami tidak berada lama di dalam biliknya kerana beliau mempunyai kelas pada pukul 1.00 tengahari. Setelah bergambar dengannya kami terus beredar meninggalkan universiti tersebut. Kami terus ke Newcastle dan singgah di Eldon Square, sebuah pusat membeli belah yang besar di Newcastle. Kami berjalan kaki untuk melihat suasana bandar Newcastle. Di tengah bandar juga terdapat universiti. Orang ramai sibuk dengan urusan masing-masing walaupun di dalam keadaan cuaca yang sejuk dan sesekali hujan renyai-renyai.
Perjalanan berkereta dari Sunderland ke Newcastle |
Kami tidak membeli apa-apa di Newcastle kerana suamiku sudah membeli sepasang kasut berjenama Clark di Sunderland. Seterusnya kami mencari kedai AVIS untuk memulangkan kereta sewa. Semasa di dalam perjalanan mencari kedai AVIS, aku dapat melihat banyak kedai-kedai makanan halal di sekitarnya. Agak lama juga kami mencari kedai AVIS dengan berpandukan bangunan Stesen Keretapi Newcastle. Kami mengisi minyak sehingga penuh sebelum memulangkannya kepada pihak AVIS dengan harga sekitar 11 paun. Ini tercatat di dalam surat perjanjian sewa kereta. Kami menjamu selera dengan hidangan kebab yang begitu enak, daging kambing biri-biri yang lembut dan manis. Kebanyakan kedai di sekitar kawasan tersebut ditutup pada pukul 7.00 malam jadi tidak dapat kami mencuci mata.
Sekitar Bandar Newcastle |
Kami terus ke stesen bas yang terletak agak jauh dari stesen keretapi. Kami meredah suasana malam yang begitu sejuk, sesekali badanku mengeletar menahan kesejukan. Tempat menunggu yang disediakan di stesen tersebut ditutup jadi kami tidak dapat memasukinya. Tidak ramai penumpang yang menunggu di situ. Tiba-tiba terdapat pergaduhan di kawasan stesen bas lalu kami pun tidak mahu berada di situ. Kami ke stesen minyak yang berada tidak jauh dari stesen bas. Angin semakin kuat bertiup sedangkan jam baru menunjukkan pukul 8.00 malam. Stesen minyak tersebut dibuka 24 jam jadi banyak kereta yang singgah untuk mengisi minyak. Tetapi orang tidak ramai di situ, suasana sekitar memang tidak begitu selesa dan aku merasa agak ketakutan. Aku hanya mampu membacakan ayat-ayat al Quran dan berdoa sebanyaknya kepada Allah supaya kami dijauhkan dari sebarang perkara yang tidak diingini. Hanya kepadaNya kami berserah.
Kami tidak berani masuk ke dalam stesen minyak tersebut, hanya menunggu di bahagian luar. Hujan semakin lebat dan keadaan semakin sejuk, aku yakin suhu ketika itu kurang dari 5 C. Keadaan yang begitu sejuk menyebabkan aku teringat kampung halaman. Bertuah berada di Malaysia di mana cuacanya sama sepanjang tahun. Tidak perlu penduduknya berpakaian tebal sewaktu sejuk sebegini. Tidak tertahan dengan cuaca yang menyebabkan aku menggigil, kami bergerak semula ke stesen bas. Alhamdulillah suasana di situ agak tenang dan orang ramai mula berada di sekitarnya. Kami terlindung sedikit dari tiupan angin yang sejuk. Tepat pada pukul 11.10 malam kami menaiki bas National Express. Lega rasanya berada di dalam bas dan keadaan kembali normal setelah sekian lama terasa kaku terutamanya di bahagian kaki dan tangan.
Mercu tanda Newcastle upon Tyne |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan