Khamis, 7 Januari 2016

Travelog : Jom Pi UK (7)


Kota London Yang Meriah

29/10/1996 (Selasa)

London terasa sejuk  seperti cuaca di Sunderland. Suhu semakin rendah, maksima 12 C berbeza dengan suhu ketika baru tiba sekitar 15C-16C. Kami menaiki Tube  atau popular juga dengan panggilan London Underground untuk ke Cardiff Hotel, malangnya kami belum boleh masuk ke bilik kerana penghuni masih ada di dalamnya. Kami tidak mahu membuang masa dengan menunggu sahaja di lobi hotel. Kami menggunakan masa yang ada untuk melihat pelbagai tarikan yang ada di sekitar Kota London. 

Pergerakan dengan Tube sememangnya memudahkan. Suamiku meminta aku memahirkan diri dengan sistem pengangkutan kereta api yang kedua terpanjang di dunia itu. Tidak semua perjalanan kereta api laju ini berada di bawah tanah kerana hampir separuh perjalanannya berada di atas tanah. Tube di London mempunyai rangkaian yang panjang dengan lebih daripada 100 stesen dan 12 line. Berbeza dengan Metro di Washington DC yang lebih mudah sistem perjalanannya. London Underground atau Tube memudahkan perjalanan pengguna dengan sistem line yang diwakili oleh warna-warna tertentu. Central Line berwarna merah, District Line berwarna hijau, Piccadilly Line pula berwarna biru tua dan sebagainya. Line ini membawa kita ke destinasi yang berbeza dan bersambung di stesen tertentu.


Peta London Underground @ Tube

Peta Underground London atau Tube sememangnya tersangat penting untuk dijadikan rujukan supaya kita tidak sesat. Peta tersebut disediakan secara percuma di stesen  Tube. Ianya sentiasa kami bawa ke mana-mana. Pengangkutan utama di London ini juga menyediakan tambang yang istimewa yang boleh digunakan dalam tempoh tertentu. Lebih menarik lagi ialah terdapat petugas-petugas yang begitu mesra untuk membantu sesiapa sahaja di sekitar kawasan membeli tiket atau laluan masuk ke kawasan menunggu Tube. Mereka sentiasa tersenyum dan tidak jemu-jemu memberi ucapan seperti  "Hello", "Good Morning" atau "How are you?". Terasa begitu dihargai.

Kami singgah di Madame Tussauds, malangnya barisan orang ramai yang menunggu giliran untuk  masuk terlalu panjang. Kami pula belum membeli tiket, barisan untuk membeli tiket juga agak panjang. Kami beredar ke tempat lain pula yang tidak memerlukan tiket untuk melihatnya.

Kami ke Westminster di mana terletaknya Houses of Parliment atau Parlimen British. Bangunan tua berusia ratusan itu kelihatan cantik ukiran luarannya dan memiliki menara tinggi. Di situ juga terpampang Big Ben yang menjadi simbol bagi England dan London di hujung utara Istana Wesminster. Terletak di pinggir Sungai Thames, bangunan ini dapat dilihat dengan jelas dari daratan atau ketika belayar di sungai. Tidak hairan jika ianya begitu menarik perhatian orang ramai. Pelancong dari pelbagai bangsa kelihatan begitu ramai seolah-olah cuti panjang. Selepas bergambar, kami berjalan kaki menuju ke Downing Street. Di jalan ini terletaknya kediaman dan pejabat rasmi  Perdana Menteri British di alamat 10, Downing Street. PM ketika itu ialah John Major. Kami bersama pelancong lain berdiri di depan pagar sambil memerhati sekitar kawasan tersebut yang kelihatan dikawal ketat  dengan harapan John Major keluar. Keadaan agak sibuk di situ, harapan kami tidak tercapai apabila hanya beberapa orang wartawan sahaja kelihatan keluar dari pagar pagar kediaman tersebut.

Big Ben


Kami terus berjalan sehingga tiba di tempat yang turut menjadi perhatian pelancong. Iaitu tempat pengawal berbaju merah dan berkuda dikenali sebagai Horse Guards. Terdapat dua orang pengawal yang bertugas di depan kawasan tersebut. Biasanya pelancong akan bergambar dengan pengawal yang kelihatan tidak bergerak itu. Namun bau kuda dan sekitarnya agak tidak begitu selesa untuk kami berada di situ lebih lama. Kami masuk ke dalam kawasan bangunan yang terdapat di situ. Kawasan di dalamnya begitu luas dan terdapat deretan bangunan yang sudah lama tetapi terjaga. Dari sini pengawal-pengawal berkuda akan pergi bertugas di Buckingham Palace yang berada tidak jauh dari situ. Pertukaran pengawal berlaku pada pukul 11.30 pagi.

Di bahagian hadapan sedikit dari kawasan ini ialah Trafalgar Square. Ianya adalah tempat yang agak istimewa di London dan menjadi tumpuan pelancong untuk bergambar. Tempat ini memiliki sejarah negara yang tersendiri. Dipenuhi dengan monumen seni bina, patung-patung dan air pancut. Yang paling menarik perhatian ialah bilangan burung-burung yang banyak  dan jinak bebas berada di sekitarnya. Berhampiran kawasan ini juga terdapat beberapa tarikan lain seperti National Gallery dan muzium untuk dilawati.


Sekitar Trafalgar Square


Terasa begitu letih berjalan sekitar Kota London. Sebelum kembali ke hotel sekali lagi kami berkunjung ke kantin di Malaysia Hall untuk mengisi perut. Kali ini mee menjadi pilihan kami.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...