Sabtu, 17 Oktober 2015

Travelog : Bonjour Paris (1) - Sehari Di Paris


Sehari di Paris

1/6/2011

Tiba di Victoria Station pada pukul 8.00 malam untuk menaiki bas ke Paris. Kami sempat menukarkan wang sebanyak £100 kepada €106 supaya perjalanan kami lebih mudah ketika di Paris. Wang yang ditukar sekadar cukup  untuk makan dan menaiki Metro. Victoria Station merupakan sebuah stesen yang lengkap dan luas. Mengandungi Stesen keretapi bawah tanah, stesen keretapi dan pusat membeli belah yang sungguh besar. Untuk menaiki bas pula  kami perlu mencari Coach Station yang merupakan stesen bas ekspres, ianya terletak di bahagian belakang Victoria Station. Screen televisyen  memaparkan destinasi dan gate untuk  ke bas yang akan membawa penumpang ke destinasi masing-masing. Kami akan menaiki bas ke Paris melalui Gate 20.


Tiket bas National Express sudah ditempah secara online sebulan yang lepas. Kelihatan  orang ramai mula memenuhi ruang menunggu bas yang akan ke pelbagai destinasi dalam dan luar United Kingdom. Mengimbau kembali di tempat yang sama kami berdua menunggu untuk menaiki bas ke Newcastle pada bulan yang penuh kedinginan Oktober 1996. Pada tahun yang sama hasrat untuk ke Paris melalui Dover tidak kesampaian dek kesuntukan masa. Suasana sekitar stesyen menjadi semakin gelap dan matahari tidak kelihatan lagi apabila jam sudah menujukkan pukul 10.00 malam. Selang masa yang lama mempamerkan banyak perbezaan di ruang menunggu ini. Kelihatan banyak kedai-kedai yang menawarkan makanan halal yang diiklankan di bahagian hadapan kedai. Antaranya ialah Internet Café menyediakan pelbagai makanan halal seperti sandwich dan ayam goreng.

Menunggu bas seawal 8.00 malam tapi suasana masih terang.

Orang ramai mula beratur untuk menaiki apabila kaunter tiket mula dibuka setelah jam menghampiri pukul 10.30 malam. Terlebih dahulu kami masuk ke tandas yang ada di stesen dengan bayaran 30 pence seorang . Ini amat penting untuk memastikan perjalanan kami agak selesa tambahan dengan cuaca yang semakin sejuk.
Terdapat dua bas yang akan bertolak ke Paris pada masa yang sama, jadi keadaan agak sesak kerana masing-masing tidak pasti bas yang mana akan dinaiki. Bas Eurolines seperti juga bas perjalanan jauh yang  lain menawarkan tempat duduk yang selesa dengan kedudukan kerusi berdua setiap baris. Aku merasa agak lega melihat ada tandas disediakan di bahagian tengah bas.

Kami duduk di bahagian tengah selepas pintu kedua. Di hadapan kami adalah sepasang pelancong  Korea bersama anak lelaki mereka yang berusia dalam lingkungan 8 atau 9 tahun. Penumpang lain kebanyakannya adalah warga kulit hitam memenuhi sebahagian besar ruang di dalam bas. Suasana di dalam bas agak bising dengan perbualan warga kulit hitam yang semakin rancak berbual. Kami yang begitu keletihan setelah berjalan seharian mengunjungi Kessington Palace, Malaysia Hall, Covent Garden dan Oxfort Street. Kami bertiga tertidur dengan nyenyak sekali sehingga bas memasuki Perlabuhan Dover yang diterangi dengan cahaya lampu. Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi waktu England  sewaktu bas berhenti untuk membolehkan penumpang berehat sementara menunggu masa menaiki feri yang membawa kami menyeberangi Selat Inggeris itu. Perlabuhan Dover amat luas, dilatari dengan kawasan bergunung ganang pejal.

Atas bas Eurolines

Terkenang kembali pada malam tarikh 30/10/1996. Aku, suami dan Abu Salam berdiri di pinggir Istana Dover melihat cahaya terang dari Perlabuhan Dover dari kejauhan. Pada masa itu kami singgah menziarahi sahabat suamiku seorang lelaki berbangsa Inggeris dan masih baru kembali kepada agama fitrah iaitu agama Islam. Kami berhasrat untuk ke Paris keesokan paginya. Angan-angan kami menjadi hampa kerana harga tiket menaiki keretapi laju Eurostar dari Ashford Station terlalu mahal bagi kami ketika itu. 155 paun (RM800) untuk seorang memanglah mahal. Kami ditawarkan harga yang lebih murah jika kami bermalam di Paris. Malangnya penerbangan kami untuk balik ke Malaysia hanya berbaki lagi dua hari.

"Kita pergi Calais sajalah, dekat sikit." Pujuk suamiku apabila wajahku menjadi kelat.
"Tak mau, nak pi Paris jugak." Kataku geram, walaupun aku faham keadaan kami. Selepas pulang ke tanah air, rasa kesal teramat sangat kerana tidak mahu mendengar cakap suami. Sekurang-kurangnya kakiku sudah sampai ke bumi Eropah.
"Lain kali jika ada rezeki kita pergi la." Janji suamiku.

Alhamdulillah kini aku sedang menanti saat untuk menyeberangi lautan yang akan membawa kami ke bumi Perancis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...